Sunday, April 26, 2009

Wangian Fabulous Cats


BESAR harapan The Fabulous Cats untuk melihat lagu mereka menembusi pasaran luar. Pelbagai cara dicuba, malah menampilkan anggota baru dari Indonesia juga berkali-kali dilakukan mereka.

Begitupun, The Fabulous Cats harus akur dengan pemergian Yosi Hertiana atau Ochi yang terpaksa pulang ke Indonesia kerana tidak dapat memberi komitmen. Sejak itu, fokus untuk melebarkan karya di sana terpaksa ditangguh buat sementara.

Kini, perginya Ochi tidak mematahkan semangat anggota kumpulan ini. Akui Cat Farish, peluang mereka masih cerah, lebih-lebih lagi kedatangan Wangi Julianda Indrameida dari Bandung, Indonesia melengkapkan kehilangan Ochi.

“Selepas satu sesi uji bakat di Bandung, Januari lalu, akhirnya kami sepakat memilih Wangi sebagai anggota baru. Sebelum ini kami memang mahu anggota dari negara itu supaya The Fabulous Cats dikenali sebagai kumpulan muzik serantau.

“Menariknya, dengan adanya Wangi dalam kumpulan ini, peluang untuk terus melebarkan sayap ke negara itu kembali cerah. Wangi juga mengatakan muzik kami mudah diterima pendengar di sana, asalkan bahasa digunakan diubah sedikit supaya penduduk di sana faham liriknya,” katanya.

Tambah Cat Farish, walaupun Wangi masih muda, pengalamannya dalam muzik luas. Katanya, Wangi punya kelebihan, lebih-lebih lagi dibesarkan dalam dunia muzik yang berkembang seperti di Indonesia.

“Kelebihan itu berguna buat kami. The Fabulous Cats mempunyai anggota yang menyukai genre muzik berbeza. Malah, ia menjadi keunikan buat kami apabila muzik yang disatukan itu menjadi lebih segar dan menarik.

“Begitupun, kami masih memperjuangkan muzik R&B bersama iringan pelbagai elemen muzik. Dari situ, kami dapat mencuba dan mengetengahkan muzik baru buat pendengar,” katanya.

Bersuara lantang dengan nada tinggi dimiliki gadis jelita ini menambah warna kumpulan hip hop ini. Akui Wangi, dia tidak menyangka dapat menganggotai kumpulan popular di Malaysia. Katanya, dia hanya mencuba nasib apabila Cat Farish mengadakan uji bakat.

“Pada mulanya saya hanya mencuba nasib tanpa sebarang harapan. Lagipun saya sudah biasa dengan konsep yang mereka bawa kerana lagu The Fabulous Cats ‘catchy’ dan sesuai dengan cita rasa saya.



“Daripada 12 peserta yang hadir, akhirnya saya terpilih. Mula-mulanya terkejut juga kerana dipilih menyertai mereka. Namun saya memandangnya sebagai cabaran untuk melebarkan bakat dalam dunia muzik,” kata Wangi.

Tambah penyanyi berusia 19 tahun ini, sebelum menyertai The Fabulous Cats, dia bergerak aktif bersama Da Moon Lite, sebuah band yang dianggotainya di Indonesia.

“Begitupun, bukan mudah untuk band baru muncul di persada arus perdana di sana, lebih-lebih lagi terlalu banyak kumpulan yang wujud masa kini. Sebab itu, mengenangkan masa depan yang kabur, saya membuat keputusan mencuba nasib bersama kumpulan ini.

“Alhamdulillah, sepanjang dua bulan bersama mereka, banyak yang saya peroleh. Lagipun, kumpulan ini bukan kumpulan muzik biasa. Mereka punya nama yang kuat di negara ini, malah muzik diketengahkan juga segar dan sesuai untuk golongan muda.

“Dalam masa sama, saya masih boleh bersama band di sana kerana Cat Farish memberi kelonggaran kepada saya. Namun, fokus dan keutamaan saya adalah bersama The Fabulous Cats,” katanya.

Sedar atau tidak, Wangi menjadi anggota kelima kumpulan itu selepas lima kali pertukaran anggotanya. Sepanjang itu juga, kontroversi mengaitkan mereka mengenai anggota yang tidak kekal sering menjadi perbualan.

Menurut Cat Farish, mereka tidak menjangka perkara itu. Sebagai satu kumpulan, ia bagaikan adat apabila anggotanya sering bertukar.

“Selepas Alyah, kami mengambil Farhana. Selepas Alyah keluar, Ochi pula menggantikan tempatnya. Kerana tidak dapat memberi komitmen, dia akhirnya pulang ke negara asalnya dan selepas itu Wangi pula menyertai kami.

“Sebenarnya, kami tiada niat mencari publisiti murahan dengan menjaja cerita begini. Lagipun, mereka keluar dari kumpulan ini kerana keputusan masing-masing.

“Mahu atau tidak, kami harus mencari anggota baru supaya The Fabulous Cats menjadi kumpulan muzik versatil. Sebab itu kami mengambil seorang penyanyi dari Indonesia bagi melengkapkan kekurangan ini. Kedatangan Wangi juga membuka ruang untuk kami meneroka pasaran di Indonesia,” katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan terbaru, Adeep menjelaskan, mereka dalam proses mencari bahan untuk album seterusnya. Katanya, kejayaan Hyperkosmik yang diterima peminat membukakan sifat ingin cuba pelbagai genre menebal.

“Dalam album kedua, kebanyakan lagu ditampilkan menjadi percubaan daripada kami. Kerana diterima, kami mahu beralih kepada elemen baru yang lebih menarik.

“Kali ini, kami sepakat ingin mengembalikan muzik hip hop sebenar ketika era 1990-an. Begitupun, ia akan diberi nafas baru supaya lebih menarik. Insya-Allah, jika tiada aral, kami akan mula merakam lagu sekitar Jun nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: