KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) semalam meminta agar kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak menyambung semula projek jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor yang dibatalkan pada 2006.
Presidennya, Syed Ali Alattas berkata, rata-rata ahlinya di negeri itu mengadu kerana sejak pembukaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pada November tahun lalu, perniagaan mereka merosot teruk.
"Pembatalan jambatan bengkok telah menyebabkan laluan ke dan dari Singapura tidak lagi melalui bandar raya Johor Bahru sebaliknya terus ke CIQ.
"Johor Bahru sekarang bagaikan bandar mati. Itulah pandangan usahawan khasnya usahawan kecil," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Perundingan dan pelaksanaan pembinaan jambatan bengkok atau 'Jambatan Indah' itu diilhamkan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia ekoran Singapura yang tidak memberikan keputusan muktamad untuk bekerjasama membina jambatan lurus menggantikan Tambak Johor.
Bagaimanapun pembinaan jambatan bengkok dibatalkan atas keputusan kerajaan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu di Johor Bahru, Pergerakan Pemuda UMNO Johor turut berpendapat perlunya kerajaan mengkaji semula projek jambatan bengkok kerana ia mampu merancakkan ekonomi negara, khususnya di Johor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: