KUALA LUMPUR - Gara-gara hanya meluluskan empat daripada 157 pelajar jurusan undang-undang, seorang pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendakwa 'dipaksa' meletakkan jawatan demi menjaga reputasi universiti.
Nor (bukan nama sebenar) memberitahu, punca peletakan jawatannya adalah kerana tidak tahan lagi menerima tekanan supaya mengikut kehendak universiti dalam pemberian 'markah kasihan'.
"Bagaimana hendak memberi markah jika itu merupakan markah sebenar yang mereka peroleh. Malah saya sudah memberi markah yang boleh diberikan meskipun mereka (pelajar) tidak layak mendapatnya,'' katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Ampang semalam.
Menurut Nor, 35, pemberian markah itu melibatkan pelajar dua kursus berlainan semester dua sesi akademik 2007/2008 lepas.
Menceritakan apa yang dilaluinya, Nor berkata, ia bermula apabila dia diberikan surat penjelasan mengenai kegagalan pelajarnya pada Jun lalu melalui dekan fakulti terlibat.
Kerana kegagalan para pelajar itu, dia kemudian dikritik hebat oleh pihak atasan dan mereka mahu dia menambah markah termasuk memberikannya berdasarkan kehadiran pelajar ke kelas sepanjang tahun semata-mata mahu mengurangkan jumlah pelajar yang gagal.
"Tapi saya berkeras. Mana boleh saya beri markah cara demikian sedangkan itu memang tanggungjawab wajib mereka untuk hadir ke kelas," ujarnya yang menjadi pensyarah di universiti itu sejak Disember 2007.
Tambah Nor, pelajar terlibat bukan sahaja tidak menjawab soalan tetapi turut gagal mengarang esei dalam bahasa Inggeris.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: