Wednesday, April 15, 2009

Pengsan dalam keadaan berlutut


AKRAM melakonkan semula bagaimana beliau pengsan selepas ditetak dua penyamun di Jalan Gombak, Setapak Ahad lalu.



Saedah


KUALA LUMPUR - Seorang pembantu kedai bagaikan hilang akal dan hanya mampu menangis apabila melihat majikannya pengsan dalam keadaan berlutut dan dipenuhi darah selepas ditetak bertubi-tubi oleh dua penyamun di sebuah kedai runcit menjual barangan orang Arab di Jalan Gombak, Setapak di sini Ahad lalu.

Pemilik kedai, rakyat Sudan, Akram Abdul Aziz, 29, cedera parah di kepala, belakang badan dan kedua-dua belah tangan akibat ditetak sebanyak enam kali sehingga terpaksa menerima 29 jahitan.

Mencerita kejadian pukul 11 malam itu, Saedah Koto Yuliyanis, 24, berkata, semasa itu dia menjaga kedai tersebut sebelum didatangi dua lelaki menunggang sebuah motosikal dan kemudian membeli air.

"Majikan saya semasa itu ada di dalam bilik melayari Internet menggunakan komputer riba sebelum dia pun keluar menunggang motosikal," kata Saedah semasa ditemui di sini semalam.

Menurutnya, sebaik majikannya meninggalkan kedai, kedua-dua lelaki itu masuk semula ke dalam kedai dan kali ini mereka menunjukkan parang sambil 'meminta maaf' kerana terpaksa menyamun kedai tersebut.

Saedah mendakwa, dia yang berang dengan tindakan kedua-dua lelaki itu terus mengeluarkan parang yang disimpan di bawah meja sambil memberitahu, mereka perlu membunuhnya terlebih dahulu jika mahu menyamun.

Bagaimanapun, menurutnya, kedua-dua suspek itu menasihatinya supaya tidak melawan jika tidak mahu nyawanya melayang sebelum salah seorang suspek itu terus masuk ke dalam bilik majikannya lalu melarikan komputer riba.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: