BARISAN pelakon yang memeriahkan Gadis Kosmo, dari kiri; Adriefaiz Adzlan, Ang Pei Chern, Rabecca dan Wan Aliazar. |
SYARIKAT Global Station Sdn Bhd (GSSB) bukan asing lagi dalam penerbitan drama tempatan dan telefilem. Drama bersiri seperti Spa Q 1 & 2, Seputeh Qaseh Ramadan antara karya yang terus mengukuhkan label syarikat penerbitan yang dimiliki kakak ipar kepada penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Datin Zaiton Mohd Jiwa.
Bukan hanya terbatas di TV3, syarikat itu drama bermutu di TV1 dan TV2. Terbaru, drama 13 episod berjudul Gadis Kosmo menjadi pertaruhan GSSB yang diarahkan Nik Johan Nik Mohamed Noor.
Drama hasil tulisan skrip Zaidi Ahmad Tajuddin itu dimantapkan dengan gabungan Zaiton sendiri sebagai penerbit, manakala Rina Khan sebagai penerbit eksekutif. Drama yang bakal disiarkan di TV2, mulai 15 April ini disiarkan selama setengah jam mulai jam 10 malam. Melihat kepada promo drama itu, terbit pandangan mengatakan ia semata-mata lebih kepada drama iklan yang mahu mempromosikan produk yang ingin dijual.
Menafikan perkara itu, Zaiton mempunyai alasan sendiri mengapa drama itu dihasilkan. Hakikatnya, pendekatan yang dilaksanakan ini pernah dilakukan dalam drama sebelum ini seperti Kisah Kaisara yang ditaja sebuah jenama tuala wanita.
“Idea menerbitkan drama ini datang daripada penaja sendiri yang ingin menerbitkan cerita urban yang menyelitkan unsur kecantikan. Melalui produksi 13 episod kita timbulkan penceritaan mengenai dunia kecantikan yang dizahirkan pada watak yang diwujudkan.
“Drama ini juga menceritakan mengenai persahabatan dan pengalaman kehidupan. Perkembangan watak dapat dilihat daripada episod pertama hinggalah ke akhir. Setiap watak memaparkan nilai murni seperti sikap tolong menolong dan gaya hidup sihat. Saya berpendapat, drama ini bukan drama iklan semata-mata kerana ia digarap dalam cara yang berbeza.
“Kebetulan syarikat yang menaja drama ini memang pengeluar produk kecantikan. Drama ini tidak 100 peratus seperti iklan di TV,” kata Zaiton.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya yang turut hadir di sidang media drama ini, memuji usaha GSSB menampilkan bakat baru untuk diketengahkan dalam drama terbitannya.
Pelakon utamanya Rabecca Nur Al Islam bukanlah orang baru, namun dia antara bakat yang semakin meriah menerima undangan berlakon. Selain Esma Danial, drama itu turut menampilkan pelakon baru seperti Ang Pei Chern, Adriefaiz Adzlan dan Wan Aliazar.
Kata Ibrahim, industri seni perlu pelakon pelapis untuk terus menjana arena seni supaya penonton tidak terus dihidangkan dengan pelakon yang sama saja di kaca TV mahupun di medium filem.
“Kita tidak mahu tekan butang stesen TV itu dan ini, alih-alih muka yang sama saja berlakon. Setidak-tidaknya, kehadiran bakat baru memberi kepelbagaian kepada penggemar dunia seni.
“Seperti drama Gadis Kosmo, kita dapat lihat ada pelakon baru terbabit memberi kelainan. Diakui RTM ada produk drama atau tele filem yang berkualiti cuma kurang publisiti, masyarakat kurang menyedarinya. Drama seperti Gadis Kosmo inilah yang dilihat mampu terus menaikkan nama RTM.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: