Tuesday, April 14, 2009

Bagaikan artis



DARI kiri; Siti Hawa, Nuramalina, Rohani dan Kamarulzaman sangat teruja dapat berjalan bersama artis melintasi permaidani merah di Genting Highlands.

Empat pemenang GBB tidak lupa kenangan berjalan di permaidani merah bersama bintang popular

BUKAN lagi mimpi atau sekadar fantasi, dikelilingi selebriti sewaktu malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sudah pun menjadi kenyataan buat empat pemenang siri Peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB) yang sudah berlanjutan hingga ke tahun keempat tanggal 12 April lalu.

Biarpun berasa janggal buat julung kali duduk di sisi penyanyi, pelakon, pengacara, penyampai radio dan pelawak yang selama ini hanya ditatap di akhbar mahupun majalah atau pun paling tidak hanya sekadar menonton di kaca TV, empat pemenang tidak sesekali melupakan detik indah lagi bermakna itu.

Selain diberi peluang melaram rekaan pereka fesyen terkemuka dan duduk berdekatan dengan selebriti popular tanah air, empat pemenang siri satu hingga empat peraduan itu, Siti Hawa Mohd, Rohani Abu Hassan, Kamarulzaman Abd Rahman dan Nuramalina Mohd Amin juga dilayan seperti bintang terkemuka berjalan di atas permaidani merah.

Pengalaman menakjubkan buat pertama kali ini pasti tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat ini, malahan menjadi bekalan untuk dikongsi rakan dan keluarga terdekat. Perasaan asing dikelilingi selebriti ditolak ketepi, sebaik melihat artis pujaan masing-masing saat menanti untuk berarak di permaidani merah.

Kata Siti Hawa yang ditemani suaminya, usaha ini harus diteruskan Berita Harian supaya pembaca lain juga berpeluang menyelami perasaan artis berjalan di permaidani merah.

Menurutnya, mungkin ada beranggapan berjalan di permaidani merah ini semudah yang disangka tetapi akuinya debaran yang dirasanya pasti dirasai selebriti lain.

“Saya menyertai pertandingan ini sejak kali pertama ia diadakan, namun belum rezeki saya untuk memenanginya. Alhamdulillah penantian itu tamat dan tidak sangka kerjasama bersama suami menghasilkan slogan menarik berjaya menjadi perhatian pihak Berita Harian.

“Berdebar juga apabila pertama kali menjejakkan kaki ke atas permaidani merah. Ketika berjalan, Sazzy Falak dan suaminya berada di hadapan. Pengalaman ini adalah satu kenangan yang tidak akan saya lupakan.

“Bukan mudah untuk mendapat peluang seperti ini. Ia meninggalkan satu pengalaman manis buat saya. Berita Harian harus meneruskan lagi usaha ini supaya pembaca lain dapat merasakan apa yang saya rasakan,” kata Siti Hawa.

Bagi Rohani pula impiannya untuk berada dalam kerlipan glamor biarpun hanya untuk tempoh seketika akhirnya berjaya direalisasikan. Paling indah, penyanyi pujaannya Datuk Siti Nurhaliza terus unggul mempertahankan kejuaraannya untuk kategori Penyanyi Wanita Popular.

“Tak dapat jadi artis sekalipun, setidak-tidaknya peluang ini menjadi azimat berharga untuk terus dikenang saya untuk hari mendatang. Perasaan saya hanyut seketika dan berjalan-jalan di permaidani merah seolah-olah saya pula artis dan finalis yang tercalon. Malah, debaran saya ketika melalui permaidani merah mungkin boleh mengalahkan artis sebenar.

"Pada mulanya terasa janggal juga berjalan di permaidani merah. Maklumlah kita ini siapa jika dibandingkan dengan artis, tetapi apabila melihat orang ramai yang menanti kemunculan artis di atas permaidani merah timbul pula perasaan seronok,” katanya yang begitu teruja menonton persembahan Datuk Siti menerusi lagu Di Taman Teman.

Sementara itu, Kamarulzaman bukan saja leka seketika ketika cahaya lensa kamera mula menerjah susuk tubuh dan wajahnya, bahkan pekerja Pos Malaysia yang turut menjadi penaja rasmi ABPBH 2008 ini turut gembira melihat persembahan mantap yang mengisi slot persembahan pada malam itu.

“Siapa boleh melupakan aksi lincah permulaan Anita Sarawak dan Stacy hinggalah ke slot penghargaan kepada penyanyi Jamal Abdillah, Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir. Saya pasti kenangan malam itu akan terus bersemadi dalam ingat semua peminat setia ABPBH dan pembaca Berita Harian.

“Ini adalah kenangan paling manis dalam hidup saya kerana berpeluang mendekati artis dengan lebih dekat. Peluang seperti ini bukannya datang selalu, Berita Harian wajar meneruskan usaha seperti ini," kata Kamarulzaman.

Manakala pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, Nuramalina bersetuju dengan pemilihan Nabil sebagai Bintang Paling Popular kerana menyifatkan juara Raja Lawak musim kedua itu dilahirkan dengan bakat semula jadi yang cukup mengesankan.

Katanya lagi, detik 12 April itu akan pasti dikenang sampai bila-bila. Menurut Nuramalina, dia yakin peluang yang mungkin datang seumur hidup itu harus dimanfaatkan pembaca Berita Harian yang bertuah.

“Dulu saya hanya menonton lagak selebriti menyusun langkah di atas permaidani merah. Malah, saya kerap menyelak majalah tempatan dan antara bangsa yang memaparkan gaya selebriti di atas permaidani merah.

“Mungkin lepas ini, saya pula dapat menonton wajah dan aksi saya di permaidani merah,” kata Nuramalina yang turut meminati Nabil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: