Sunday, April 26, 2009

Hidup poyang terakhir


TOK ULANG cuma mahu dipanggil 'doktor kampung'.





SEBUT sahaja nama Jalan Gombak Lama, mungkin kebanyakan kita segera mengaitkan laluan itu dengan Muzium Orang Asli. Juga jalan itu menempatkan ibu pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan pelbagai agensi di bawahnya.

Namun, laluan tersebut yang suatu ketika dahulu menjadi penghubung utama antara negeri Selangor dan Pahang turut terkenal dengan kewujudan perkampungan Orang Asli suku Temuan.

Uniknya, kawasan tempat tinggal mereka itu biarpun agak tersorok di sebalik rimbunan aneka pokok hutan tetapi mudah dicari. Ini kerana ia terletak bersebelahan dengan sebuah pusat penyelidikan biologi kendalian Universiti Malaya (UM).

“Kawasan ini masih baru diteroka. Generasi awal kami menduduki tempat ini hanya untuk membina Jalan Gombak-Bentong lebih separuh abad lalu,” jelas Mohamad Ulang, 60, membuka bicara.

Penampilan Tok Batin ini cukup sederhana. Rumah kampungnya yang dibina di hujung jalan mati di Batu 16, Hulu Gombak tidak menggambarkan jawatannya.

Bagaimanapun, beliau yang selesa membahasakan diri sebagai Tok Ulang boleh dianggap sebagai ensiklopedia hidup. Ramai penyelidik universiti datang menemuinya untuk mendokumentasi sejarah suku Orang Asli yang penuh misteri itu.

Tok Ulang malah menjadi sumber rujukan pakar asing untuk mendalami mistik dunia perubatan komuniti pribumi itu yang dikenali sebagai poyang. Poyang menyamai fungsi bomoh, pawang atau dukun dalam masyarakat Melayu tradisional.

“Secara jujur saya tidak mahu dipanggil poyang. Poyang sebenar hanya ada dalam generasi lama Orang Asli. Poyang yang pernah saya jumpa pun sudah lama tiada. Panggil saja saya ‘doktor kampung’,” tambah beliau merendah diri.

Pada umumnya poyang dianggap ketua untuk beberapa orang bomoh bertaraf amatur di bawahnya. Mereka terkenal cukup lasak sehingga sebahagian besar mereka diambil menyertai pasukan Senoi Praaq ketika zaman sebelum Merdeka.

Kehebatan unit separa tentera di bawah pasukan polis hutan itu diakui pihak penjajah sebagai sangat cekap memburu pengganas Komunis. Bayangkan mereka mampu menghidu kehadiran musuh dari jarak jauh manakala kesetiaan mereka tidak diragui.

“Mungkin sebab itu moyang saya diminta membina jalan raya dari Gombak ke Bentong yang penuh dengan jerangkap samar yang ditabur Komunis. Waktu itu Pahang dan Selangor cuma dihubungkan melalui Sungai Sempah yang bersambung dengan Sungai Gombak,” imbau beliau.

Tok Ulang bahkan masih teringat peristiwa datuknya berakit sehingga ke Bukit Nanas di Kuala Lumpur untuk membawa alat pembinaan. Di situ terdapat sebuah jeti kecil dekat Menara Berkembar Petronas hari ini sebagai pusat jualan barang basah dan bijih timah.

‘Saya baca sedikit ayat al-Quran’

Namun semasa kemuncak darurat, mereka ditempatkan di Bukit Legong, Kepong yang kini menjadi tapak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Di sana Tok Ulang belajar dunia perubatan Orang Asli terus daripada datuknya.

Hakikatnya, ujar Tok Ulang, masyarakat Orang Asli merawat penyakit dengan bergantung sepenuhnya kepada hutan. Ubat mereka ialah akar dan daun kayu yang direbus sebelum diminum atau disapu di badan. Proses sampingan ialah membaca mantera.

“Itu dulu tapi sekarang saya baca sedikit ayat al-Quran dan berdoa kepada Allah agar pesakit diberi peluang hidup lama. Jika kanak-kanak, saya mohon Tuhan memberi belas ihsan supaya budak itu dijauhi daripada angkara iblis syaitan,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Tok Ulang, mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Bagi Orang Asli, mereka banyak pantang larang ketika memasuki hutan dan percaya tentang gangguan makhluk halus di tempat tertentu seperti air terjun dan pokok besar.

Jika punca penyakit didapati dari kawasan tertentu, bomoh akan pergi semula ke situ dan meminta semangat di tempat tersebut dipulangkan kepada pesakit. Lazimnya kemenyan diasap kerana ia dipercayai mengandungi makanan roh untuk makhluk halus.

“Itu untuk kes yang serius tetapi bagi yang biasa, saya cuma guna akar kayu. Misalnya saya sendiri pernah cedera di kaki dan hampir lumpuh. Ubatnya ialah rebusan akar pokok teja dan ia memang mujarab untuk menghilangkan bisa dalam badan,” jelas Tok Ulang.

Tidak hairanlah beliau pernah berkhidmat dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur selama lapan tahun pada 1970-an. Beliau juga dihantar ke Sarawak untuk mengenal pasti tumbuhan hutan yang sesuai dijadikan ubat herba.


UPACARA sewang digunakan bomoh Orang Asli untuk berhubung dengan makhluk halus.


Biarpun enggan mengakui diri sebagai poyang, kehebatannya pernah menyebabkan ramai doktor moden datang berubat pelbagai penyakit misteri. Hasilnya tidak kurang yang menghantar ‘buah tangan’ sebagai tanda terima kasih ke rumahnya.

Antara pengalaman paling tidak dapat dilupakan Tok Ulang ialah mencari pokok buluh perindu yang terkenal dijadikan sebagai ubat pengasih atau tangkal. Daun dan batang kecilnya perlu disimpan cermat di dalam bekas serta tidak boleh menyentuh tanah.

“Jumpa pun nasib tetapi apabila sudah dapat, bayangkan lipan, burung, harimau, lebah dan lain-lain ikut saya pulang. Haruman baunya menyebabkan haiwan liar ‘berkampung’ di luar rumah saya selama beberapa hari,” katanya ketawa.

Bercerita mengenai masa depan, Tok Ulang hanya mampu tersenyum. Beliau berharap ilmunya itu diwarisi generasi muda. Tanpa mengharapkan apa-apa balasan, beliau tidak jemu berkongsi rahsia alam dengan mereka yang masih berminat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: