Friday, April 3, 2009

Hidayah ganti Taubat


KISAH teladan yang dipaparkan dalam bentuk drama memberi kesan positif kepada masyarakat kini. Buktinya, drama bersiri Taubat yang disiarkan menerusi slot Naluri setiap Jumaat, jam 3.30 petang mendapat sambutan penonton.

Drama 27 episod yang dijayakan pelakon kacak Primus Yusticio sebagai ustaz, mencatat jumlah penonton hingga mencecah 1.5 juta.

Kini TV3 meneruskan drama dakwah itu menerusi slot sama dengan siri baru, Hidayah mulai esok (3 April). Kedua-dua siri masih diterbitkan MD Entertainment tetapi berbeza kerana setiap episod Hidayah paparkan kisah berbeza, tetapi Taubat setiap episod menampilkan lakonan Primus berhadapan pelbagai kejadian membabitkan kematian.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, berkata TV3 cuba mempelbagaikan kelompok penonton dengan mempersembahkan slot Naluri memaparkan drama keagamaan dari Indonesia.

"Sesuai waktu siaran pada Jumaat, drama ini sesuai dijadikan santapan rohani dengan mengambil iktibar dan pedoman di setiap kisah dipertontonkan.

"Antara kisah-kisah menarik yang dapat ditonton mengenai kehidupan yang tidak berjaya, perkara aneh berlaku di tanah perkuburan lantaran dosa yang menyelubungi dirinya dan penyakit yang tidak boleh dirawat kesan daripada penyalahgunaan ilmu hitam.

"Turut dipaparkan, cereka teladan iaitu kisah mereka yang dimuliakan kerana budi pekerti yang dimiliki untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian.

"Siri ini diperkenalkan untuk memberi pedoman dengan menekankan mesej bermoral yang menyeru penonton tidak lalai dan mengulangi salah laku seperti jalan cerita dan watak dilakonkan," katanya.

Slot Naluri diilhamkan dari majalah popular seberang berjudul Hidayah mengandungi pelbagai cerita menarik dengan mengetengahkan kisah iktibar dan pengajaran kepada manusia sejagat dari sudut Islam.

Elemen penting yang ditekankan ialah di setiap kesudahan episod memaparkan watak yang ingkar akan menerima petunjuk dan kemaafan dari Yang Maha Esa asalkan mereka bertaubat.



Setiap minggu, penonton akan dipaparkan dengan kisah berlainan seperti Si Sombong Kaya Raya Jadi Babu, Akhir Hayat Seorang Hajjah Kikir, Sekujur Tubuh Penuh Kudis, Kusir Sederhana, Sumpah Si Miskin Pada Orang Kaya Yang Pelit Dan Kikir dan Seorang Pembantu Yang Dimuliakan Allah.



Turut disiarkan, Penyesalan Seorang Ibu Terhadap Anaknya, Pemimpin Zalim Setelah Dibunuh Gerombolan Pencuri, Mayatnya Hangus Terbakar Tiba Tiba, Menipu Wang Derma Masjid, Maut Menjemput Sakaratul Maut, Memanggil Manggil Para Pengurus Masjid, Wanita Solehan Jenazahnya Berbau Harum, Meninggal Setelah Tahu Hakikat Mengenakan Jilbab, Gemar Memasang Togel Rumah Hangus Dilalap Api, Meninggalnya Tengkulak Beras dan Perbudak Anak Yatim Piatu Mati Terhimpit Gerbong Kereta.

Episod pertama Hidayah menampilkan kisah Anak Durhaka Lumpuh Di Kubur mengisahkan Mak Nuraini dikurniakan anak derhaka bernama Saad yang sanggup mengasari ibunya dan meninggalkan amalan syariat Islam.

Akibat sering tertekan dan bersedih di atas sikap anaknya itu, Mak Nuraini meninggal dunia dengan berkeadaan bersujud dan ketika jenazahnya hendah dimasukkan ke liang lahad, satu kejadian aneh menimpa Saad.

Apakah natijah yang menimpa Saad setelah ibunya meninggal tanpa memberi keampunan kepadanya? Jangan lupa menyaksikan Hidayah setiap Jumaat jam 3.30 petang di TV3 kerana memaparkan banyak pengajaran dalam menjalani kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: