DRAMA seram kerap mendapat perhatian pelbagai lapisan masyarakat. Disebabkan jalan ceritanya yang menakutkan dan ngeri. Malah tidak ramai produksi yang memilih untuk menghasilkan drama berbentuk komedi seram. |
Bagaikan melawan arus, Pena Creative Pictures Sdn Bhd tampil dengan drama terbaru, Ceplos yang bakal disiarkan di TV9 setiap Jumaat hingga Sabtu jam 9 malam bermula 4 April ini.
Penerbit Penyelaras, Jumal Yunus berkata perkembangan genre yang mendapat tempat di kalangan penonton televisyen mendorong pihaknya menghasilkan drama berbentuk komedi seram.
"Memang kami mahu menghasilkan drama seram. Kebanyakan drama tidak dinafikan menayangkan pelbagai aksi menakutkan dan ngeri yang kadang kala mendatangkan kesan yang kurang baik kepada penonton terutama kanak-kanak.
"Begitupun untuk mencipta satu kelainan dan mensasarkan kepada golongan kanak-kanak. Kami memilih untuk menampilkan drama dengan genre ini. Di samping memaparkan pelbagai unsur pengajaran. Objektif menghasilkan drama ini juga kami mahu memaklumkan di samping pengaruh negatif yang dibawa hantu ada juga perkara positif," katanya.
Menurutnya lagi, kewujudan makhluk halus Ceplos adalah rekaan semata-mata. Biarpun berada dalam kategori hantu Ceplos mempunyai tarikan dan kebaikan tersendiri.
Drama seram padat dengan aksi lucu dan mendebarkan diarahkan oleh Emi Suffian Abdul Sabhe dan Ziela Jalil selaku Penerbit. Drama ini dibarisi pelakon mantap dan berpengalaman seperti, Kazaruddin Saisi (Ipin), Muhammad Shazrin (Ceplos), Maimunah Ahmad (Mak Senah), Kamarozaman Yusoff (Mail Pilin), Syarifah Sahirah (Ijah), Norliza Abdullah (Rosma), Yusof Mohamed (Alfid) dan Shahrulzaman (Mat Trumpet).
Ia mengisahkan kematian Pak Shuib yang berhasrat untuk mewariskan pendampingnya, Ceplos kepada anaknya Ipin lakonan Kazaruddin Saisi. Namun, Ipin enggan mewarisi Ceplos kerana tidak berminat memilik makhluk halus atau perkara ghaib. Tambahan, fikiran Ipin berkecamuk selepas dikecewakan kekasihnya Ijah. Ipin lalu membawa diri ke Kuala Lumpur.
Ceplos terpaksa kembali kepada ketuanya Alfid selepas Ipin menolak kehadirannya. Namun, Alfid tidak mahu menerima Ceplos kerana kebaikan yang pernah dilakukan sepanjang bersama dengan Pak Shuib. Niat Alfid dan konco-konconya hanya untuk membawa kemusnahan dan kejahatan kepada penduduk kampung.
Perkara ini tidak dipersetujui Ceplos dan membuatkannya mencari jalan supaya dirinya diterima Ipin. Akhirnya, Ipin menerima Ceplos sebagai pendampingnya dengan syarat Ceplos perlu menolong melakukan perkara kebaikan. Kepulangan Ipin ke kampung membuka lembaran baru kepada penduduk.
|
Malah, kekasih lamanya, Ijah yang bercerai cuba mengambil kesempatan untuk kembali kepada Ipin. Namun, Ceplos sentiasa menggagalkan rancangan Ijah agar Ipin tidak terpedaya dengan tipu daya Ijah. Berjayakah Ceplos membantu tuannya itu? Adakah Ijah dapat menawan semula hati Ipin?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: