Saturday, April 18, 2009

Guru terlibat rusuhan di stadium sakit mental


KERATAN Kosmo! 8 April lalu.


KOTA BHARU - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mengesahkan guru yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam rusuhan di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV di sini pada 7 April mempunyai masalah mental.

Pengarah JPN, Mohd. Ghazali Abdul Rahman berkata, guru terbabit yang berusia 31 tahun itu akan dikenakan tindakan tatatertib selepas laporan mengenai pembabitannya dalam rusuhan semasa perlawanan bola sepak itu selesai.

"Sebaik mendapat tahu guru itu ditahan, kita yang menyemak rekodnya mendapati guru terbabit pernah menerima rawatan sebagai pesakit mental secara berkala sebelum ini," dedah beliau.

Katanya, guru berkenaan baru sahaja bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garong di sini sejak empat bulan lalu selepas ditukar dari SK Chetok, Pasir Mas.

Menurut Mohd. Ghazali, guru terbabit difahamkan akan didakwa di mahkamah berhubung penglibatannya dalam rusuhan dan memiliki mercun.

Dalam kejadian tersebut, guru yang berasal dari Kota Bharu itu ditahan bersama dua pelajar kerana disyaki membaling dan memiliki mercun dalam rusuhan selepas Negeri Sembilan mengalahkan pasukan Kelantan 1-0.

Hasil pemeriksaan terhadap guru terbabit, polis turut menemui tujuh biji mercun 'bola' di dalam poket seluarnya.

Guru tersebut telah dibebaskan selepas ditahan reman selama dua hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: