Saturday, April 18, 2009

Tidak mengaku bersalah pandu bas melulu


FAUZI tiba di Mahkamah Trafik Selayang semalam bagi menghadapi pertuduhan memandu bas secara melulu.



KERATAN Kosmo! 14 April.


KUALA LUMPUR - Pemandu kedua bas ekspres yang menyebabkan kematian lima penumpang dan pemandu pertamanya dalam kemalangan ngeri di Rawang Isnin lalu, didakwa di Mahkamah Trafik Selayang di sini semalam atas tuduhan memandu secara melulu dan berbahaya.

Fauzi Muhamad, 33, yang dilihat berjalan terhincut-hincut dan berpakaian hospital mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Najib Ismail.

Dia didakwa sebagai pemandu bas ekspres dua tingkat KBY 6006 telah memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lima penumpang iaitu C. Magenthiran, 26; Mohd. Yusril Zakaria, 27; Md. Zaher Mohamed, 33; Muhamad Ismail, 27; dan Muhamad Fauzi Awang, 64 tahun.

Seorang lagi yang terbunuh pemandu pertama bas itu, Zulkibri Md. Saad, 35.

Fauzi dari Kuala Nerang, Kedah didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 442.9, Lebuh Raya Utara-Selatan, Rawang di sini pada pukul 5 pagi, 13 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Cif Inspektor Abd. Raheem Eliyas mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda maksimum RM20,000 selain lesen digantung selama tiga tahun jika sabit kesalahan.

Tertuduh ditawarkan jaminan RM10,000 namun bapanya, Mohamad Abd. Kadir yang hadir sebagai penjamin memohon jumlah dikurangkan kepada RM4,000 kerana dia hanya bekerja kampung.

Mahkamah kemudiannya membebaskan tertuduh dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta lesennya digantung sehingga kes itu selesai. Kes tersebut ditetapkan 20 Mei depan untuk lantik peguam.

Dalam kejadian itu, bas ekspres milik AB Express yang membawa 33 penumpang dalam perjalanan dari Changlun, Kedah, menghala ke ibu negara merempuh pembahagi lebuh raya selepas kenderaan itu hilang kawalan.

Akibat rempuhan itu sebahagian besi penghadang lebuh raya sepanjang 60 meter itu terperosok memasuki tingkat bawah bas dan mencederakan penumpangnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: