Saturday, April 18, 2009

Maut jatuh motosikal


Beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) mengangkat mayat Hafidzuddin (gambar kecil) yang maut di Jalan Kampung Bukit Bayan, Bukit Katil, Melaka semalam.



Hanafiza


MELAKA - Gara-gara panik melihat sebuah kereta peronda polis, sebuah motosikal yang ditunggangi dua pelajar kolej tanpa lesen mengubah haluan masuk ke jalan kampung.

Tindakan itu menyebabkan pembonceng motosikal tersebut terjatuh dari motosikal dan maut di tempat kejadian.

Kejadian tersebut berlaku pada pukul 10.45 pagi di Jalan Kampung Bukit Bayan, Bukit Katil di sini semalam.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd. Hafidzuddin Mohd. Hanafi, 19. Penunggang motosikal Mohd. Ridzuan Ya'cob, 20, tidak cedera.

Semasa kejadian kedua-dua remaja itu dalam perjalanan menuju ke Kolej Komuniti Bukit Beruang dari rumah Hafidzuddin di Kampung Bukit Lintang.

Cerita Ridzuan, ketika melalui Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, dia ternampak sebuah kereta peronda polis sebelum mengubah haluan ke Jalan Kampung Bukit Bayan.

"Semasa masuk jalan kampung itu, saya tiba-tiba mendapati Hafidzuddin tiada atas motosikal," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Ridzuan memberitahu, dia kemudiannya memberhentikan motosikalnya dan berjalan kaki mencari Hafidzuddin.

"Saya kemudiannya menemui Hafidzuddin dalam keadaan tertiarap di tepi jalan dengan muka, mulut dan hidung berdarah," terangnya lagi.

Menurutnya, dia yang ketakutan melihat keadaan Hafidzuddin yang sudah tidak bergerak kemudiannya meminta bantuan orang kampung.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Melaka Tengah, Asisten Supritendan Poon Nam E. Keling berkata, mangsa dipercayai tercampak dari motosikal ketika ia dipercayai dipandu laju semasa melalui satu jambatan di kampung tersebut.

"Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya.

Dalam pada itu, kakak Hafidzuddin, Hanafiza, 27, ketika ditemui di Hospital Melaka berkata, kebiasaannya dia menghantar adiknya ke kolej kerana dia melalui jalan sama ke kolej tersebut untuk ke pejabat di Ayer Keroh.

"Tapi ketika dikejutkan pagi ini (semalam), arwah kata kelas lambat dan dia akan tumpang kawan untuk ke kolej," ceritanya lagi.

Hafidzuddin yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik merupakan pelajar semester pertama Sijil Automotif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: