Saturday, April 18, 2009

Alang-alang peluk anak orang...Nabil


TINDAKAN spontan Bintang Paling Popular, Ahmad Nabil Ahmad memeluk kekasihnya, Irma Hasmie, terus hangat diperkatakan meskipun Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) yang diadakan di Arena Of Stars Genting Highlands, berakhir Ahad lalu.

Biarpun Nabil segera tampil membuat penjelasandan permohonan maaf kepada masyarakat Malaysia atas keterlanjuran tingkah yang tidak disengajakan, tidak semudah itu masyarakat melupakan perbuatan Raja Lawak musim kedua itu.

Lalu, Irma yang turut terkena tempias gara-gara tindakan kekasihnya itu akhirnya tampil memberikan pendapatnya.

“Saya sendiri terkejut apabila Nabil peluk saya, tapi hendak marah pun macam mana? Sebab saya tahu dia tidak sengaja.

“Mungkin ini pengalaman pertamanya menang anugerah besar di majlis berprestij seperti ABPBH2008. Sebaik selesai memberi ucapan, dia minta maaf kepada saya kerana sedar isu ini pasti disensasikan.

“Dia maklumkan kepada saya, sewaktu diumumkan juara Raja Lawak dulu, perasaannya tidak begitu gementar seperti ABPBH2008. Disebabkan itu, apabila namanya diumumkan Bintang Paling Popular spontan dia memeluk saya kerana terkejut dan tidak percaya.

“Sebagai manusia yang tidak sempurna, saya dan Nabil mewakili keluarga masing-masing, meminta maaf kepada penonton ABPBH2008, peminat dan masyarakat atas apa yang terjadi.

“Insya-Allah, saya mahupun Nabil akan lebih berhati-hati. Kesempatan ini juga, saya ingin menegaskan apa yang berlaku bukan disengajakan apabila sesetengah pihak mendakwa kami cuba meraih publisiti,” katanya.

Berhubung penerima keluarga kedua-dua pihak terhadap isu hangat itu, Irma tidak menafikan ibunya ada menegur perlakuan itu.

“Emak saya sendiri memperli kami tempoh hari. Katanya, peluk anak orang apa ceritanya ni? Mungkin bagi orang muda mereka tidak hairan atau ambil pusing dengan benda macam ini.



“Tetapi saya faham pada mata orang tua, perbuatan sebegitu tidak manis. Malah, saya sendiri rasa bersalah kepada golongan mak cik yang menonton program itu. Sekali lagi, saya dan Nabil meminta maaf,” katanya.



Mengenai hubungannya dengan Nabil, Irma mengakui mereka bercinta sejak dipertemukan dalam satu program hari raya, tahun lalu.

Kata Irma, mereka belum bercadang untuk mengikat percintaan itu dengan perkahwinan dalam waktu terdekat ini, tetapi memberi tempoh dua tahun lagi jika ada jodoh.

Sementara itu, Nabil bersyukur tatkala menerima kecaman daripada segelintir peminat dan masyarakat, keluarganya tidak melatah bahkan memahami mengapa dia bertindak demikian.

“Cuma mereka kata kepada saya, alang-alang peluk anak orang, sudah sesuai sangat mendirikan rumah tangga. Bila-bila rasa nak kahwin atau masuk minang, cakap dengan emak abah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: