Monday, April 6, 2009

Gabung semua


KEMUNCULAN band dari seberang datang dan pergi. Seperti sudah menjadi lumrah buat penyanyi di sana melebarkan sayap mereka ke negara ini.

Kali ini, lima anak muda yang memiliki pengalaman muzik secara individu mempertaruhkan kredibiliti dan bakat yang dimiliki dalam satu kumpulan - Alexa. Hanya setahun menjalani latihan bersama akhirnya mereka merakamkan album pertama yang turut diberi judul sama.

Alexa yang dianggotai lima anak muda JMono (bass), Jar (drums), Rizki (gitar), Aqi (vokal) dan Satrio (gitar/vokal) sepakat membawa muzik berkonsepkan ‘powerpop.’ Jelas Jar, pada mula kewujudan kumpulan itu, mereka memperjuangkan muzik bergenre rock alternatif dan kemudian beralih kepada muzik yang diminati.

“Sebelum ini, kami memperdengarkan muzik yang menjadi santapan kebanyakan pendengar. Namun, lama kelamaan kami sedar ia bukan kekuatan kami.

“Akhirnya, kami memilih konsep ‘powerpop’ seperti mana yang diperjuangkan Green Day dan Nirvana. Lagipun, kedua-dua band ini menjadi idola kami.

“Namun, sebagai satu kumpulan sudah pasti kami punya selera yang berbeza. Ada di antara kami meminati genre rock, metal, dance dan juga jazz. Untuk menjadikan muzik yang dibawa ini lebih menarik, kami gabungkan kesemua elemen itu menjadi satu,” katanya.

Tambah Jar, pasti ramai tertanya-tanya kenapa mereka memilih nama Alexa mewakili kumpulan itu. Dek kerana anggotanya terdiri daripada lelaki, mereka sepakat menamakan kumpulan itu sempena nama wanita.

“Sebenarnya, nama ini dipilih secara spontan. Lagipun, memandangkan kami semua lelaki yang mencintai wanita, nama itu cukup sesuai mewakili band ini. Siapa tahu, apabila kerap kali disebut ia juga kedengaran menarik.

“Selain itu, Alexa juga berasal dari bahasa Yunani yang bermaksud pembela lelaki. Dengan makna yang unik itu menguatkan lagi sebab mengapa kami memilihnya,” kata Jar berjenaka.

Alexa menampilkan 11 lagu baru dan single yang bakal diperdengarkan tidak lama lagi berjudul Jangan Pernah Pergi dan Tak Kan Pernah Bisa.



Bagi penggemar muzik dari seberang, pastikan anda tidak melepaskan peluang melihat mereka beraksi pada 9 April bertempat di Zouk, Kuala Lumpur bermula jam 8 malam.



Tambah menarik, 30 emel pertama yang dihantar kepada anne.mukhtar@warnermusic.com akan menerima tiket percuma khas untuk persembahan berkenaan. Begitupun, untuk membuktikan anda layak menerimanya, pastikan keratan artikel ini dibawa bersama-sama pada malam ‘showcase’ berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: