Monday, April 6, 2009

Buka fikiran


MEREKA punya persamaan - petah berbicara dan punya tarikan. Malah, kedua-dua pengacara ini juga berdiri di atas pendirian tidak mahu berganjak daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) meskipun ada tawaran luar yang lebih lumayan.

Tanpa berselindung, mereka menjelaskan bukan wang dan populariti yang menjadi ukuran. Sebaliknya, ilmu yang diraih apabila dibimbing tenaga kerja yang berpengalaman lebih berharga.

Namun, jauh di sudut hati kadang kala mendengus apabila ada yang menganggap RTM stesen televisyen ‘usang.’ Jelas dua pengacara ini, jangan cepat menilai kerana RTM sudah mula berubah untuk menjadi lebih baik.

Bagi Angelene Chong Aimay dan Hisham Salleh, bekerja di RTM mempunyai cabaran tersendiri. Malah, mereka bertuah apabila berjaya menempatkan diri dalam lingkungan mereka yang berpengalaman.

Jelas Angelene, RTM sudah berubah. Tidak lagi terkongkong dengan pemikiran lama dan konsep dulu. Demi penonton, stesen itu berusaha menjadi yang terbaik sejajar dengan perubahan yang dilakukan.

“Sebenarnya, persekitaran kerja di RTM tidak seperti apa yang disangkakan. Bagi saya, RTM dalam proses berubah untuk memantapkan kualiti program mereka.

“Jangan samakan RTM dulu dan sekarang. Beri kami peluang untuk tampil hebat,” katanya.

Menurut Hisham pula, RTM kini mempunyai rentak dan konsep baru. Apa yang penting, penonton perlu beri ruang dan buka fikiran serta menilai sejauh manakah perubahan yang diketengahkan.

“Sekarang ini semuanya berbeza. Pinta saya, bersihkan fikiran dengan pelbagai program menarik yang ditayangkan. Selepas itu, nilailah sendiri,” katanya.

Angelene yang memulakan kerjaya sebagai pengacara tahun lalu, bersyukur atas rezeki yang diperolehinya kini. Meskipun sebelum bergelar pengacara, kerjayanya lebih tertumpu kepada bidang korporat, namun pendedahan yang diperolehi anak jati Melaka dalam bidang ini cukup bererti.



“Mulanya, saya langsung tidak terfikir mahu bergelar pengacara. Lagipun, membina kerjaya dalam bidang korporat ini menjamin masa depan.



“Namun semuanya berubah apabila saya menerima panggilan telefon daripada RTM. Mereka meminta saya menghadiri sesi temu duga pengacara. Sekadar mencuba nasib, saya hadir ke sesi uji bakat itu dan terpilih bergelar pengacara rancangan Hello On 2.

“Mulanya, saya hanya melakukannya demi mencari rezeki. Kini saya mula seronok melakukannya,” katanya.

Tidak jauh bezanya dengan jejaka berasal dari Sarawak ini. Bermula sebagai pelakon, kini tugasnya tertumpu dalam mengacarakan Selamat Pagi Malaysia, Biz Malaysia dan Hujung Minggu Malaysia. Jelas Hisham, dia juga berpeluang mengacarakan program berbentuk isu semasa dan Bicara Siswa.

“Setahun bersama RTM, saya bertuah menjadi salah seorang warga kerjanya. Bagi saya, RTM memberi ruang buat saya untuk mengasah bakat dalam bidang ini” katanya yang pernah dihulurkan tawaran bergelar pengacara di stesen swasta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: