|
AKSI ‘pacak’, lumba haram, wanita dan dadah masih menjadi tonggak utama genre ini. Jika mahu dibandingkan dengan filem KL Menjerit arahan Bade Azmi dan Remp-it karya Ahmad Idham, rentak cerita ini tidak terlalu beza. |
Masih memaparkan mat rempit dengan kehidupan mereka, barangkali penonton mula muak apabila cerita sebegini kerap dipaparkan kepada mereka.
Cerita yang dipaparkan agak negatif. Bagaimanapun, saran penulis jangan menilai filem ini daripada sudut luarannya saja. Selami jalan ceritanya dan mesejnya akan dapat difahami.
Gadis yang tidak mendapat perhatian keluarga dan memberontak lalu mencari keseronokan bersama-sama rakan mat rempit sehingga sanggup melakukan maksiat dan seks bebas sememangnya tidak asing lagi di kalangan masyarakat kita.
Bagi penulis, mesej yang ingin disampaikan pengarah muda, Syamsul Yusof tidak dipaparkan dalam bentuk jelas. Namun, jika difikir kembali dan melihat apa yang berlaku terhadap karektor watak di dalam filem ini pada pengakhiran ceritanya akan membuatkan anda menginsafi diri dan berfikir mengapa masalah sosial ini terus berleluasa.
Mengulas soal pelakon, watak digalas Shaheizy Sam sebagai Acai menakjubkan. Pertama kali memegang watak utama dalam filem, Shaheizy melakukan tugas baik. Jika lakonan Zul Huzaimy dalam Remp-it kelihatan dibuat-buat, karektor Acai lebih bersahaja dan menarik.
Watak bohsia lakonan Salina Saibi sebagai Amy dan Nabila Huda sebagai Tasha juga diterjemahkan dengan baik. Sekurang-kurangnya mereka tidak malu, sekali gus mesej filem ini berjaya disampaikan.
Begitupun, harapan penulis filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam akan menjadi cerita terakhir yang mengangkat masalah sosial seperti rempit, dadah, seks bebas dan sebagainya.
Data
FILEM: Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam
PENGARAH: Syamsul Yusof
PELAKON: Diana Danielle, Nabila Huda, Salina Saibi, Shaheizy Sam dan Syamsul Yusof
GENRE: Drama/Aksi
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: