Sunday, April 19, 2009

Fauziah godam Mahsuri


LEGENDA Mahsuri bukan cerita asing di kalangan kita! Wanita cantik Pulau Langkawi serta sumpah tatkala dijatuhi hukuman mati angkara fitnah sudah berabad-abad lamanya menjadi sejarah orang Melayu.

Keagungan cinta Mahsuri terhadap Wan Darus usah diperkatakan. Dek tohmahan dituduh bermukah bersama Deramang, dia dihukum bunuh.

Barangkali kerana tidak mampu menahan fitnah dan kata-kata orang, Mahsuri yang dikatakan kebal daripada sebarang senjata akhirnya memberitahu, hanya keris milik keluarganya yang mampu menembusi tubuhnya.

Meskipun ia pernah dirakam dalam bentuk filem dan ditayang di kaca TV satu ketika dulu, sumpahan Mahsuri semakin hari semakin dilupakan.

Justeru, dengan nafas lebih segar, kisah ini diangkat semula dalam bentuk teater. Menariknya, arahan Fauziah Nawi ini dipentaskan kepada penonton dalam skala lebih besar hingga mencecah kos keseluruhan RM400,000.

Menurut Fauziah, sejak 1992 hasrat untuk mementaskan teater ini terbit dalam dirinya. Begitupun, baru kini peluang berkenaan diperoleh.

“Secara jujur, sudah lama saya menyimpan angan untuk mengangkat kisah ini kepada penonton. Keberanian dan nilai cinta agung Mahsuri tidak sepatutnya dilupakan, lebih-lebih lagi buat generasi muda.

“Namun jika menggunakan syarikat produksi sendiri, mustahil untuk saya mengarahkan teater ini dan mementaskannya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), lebih-lebih lagi ia memerlukan kos besar.

“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila Ketua Pengarah IB, Juhari Shaarani menawarkan peluang ini kepada saya. Alhamdulillah, dia memberi kebebasan untuk saya berkarya,” katanya.

Akui aktivis teater ini, hampir sebulan latihan diadakan. Walaupun menggabungkan pelakon lama dan baru, dia masih gusar mengenai penerimaan penonton apabila dipentaskan pada pada 24 hingga 30 April ini.



“Menjelmakan kisah yang sebati di hati masyarakat ini bukan tugas mudah. Banyak cabarannya. Namun saya yakin ia mampu dilakukan dengan baik berdasarkan latihan dan komitmen pelakon serta jalan ceritanya yang menarik.



“Untuk Mahsuri, watak berkenaan diamanahkan kepada Vanidah Imran (Vee) manakala Wan Darus pula diberi kepada pendatang baru, Azharuddin Ramli atau Arja lee.

“Menariknya, jalan cerita teater Mahsuri tidak tertumpu kepada wanita jelita berkenaan. Sebaliknya, kehidupan dan diri Mahsuri diceritakan menerusi pandangan suaminya, iaitu Wan Darus. Kali ini kami mahu tampil dengan sedikit perbezaan. Bagaimanapun, naratifnya masih sama,” katanya.

Pertama kali menggalas tugas pelakon utama untuk teater membuatkan Arja gemuruh. Akuinya, sebagai orang baru, masih banyak perlu dipelajari.

“Ini adalah teater kedua dan yang pertama mempunyai dialog. Terima kasih saya kepada Ibu Fauziah kerana memberi peluang ini. Sebagai orang baru, sudah tentu watak ini sangat bermakna kepada saya.

“Banyak yang perlu saya pelajari untuk menghidupkan Wan Darus, termasuk membuat kajian di Internet dan buku. Namun, kebanyakan ceritanya berbeza-beza. Mahu atau tidak, saya perlu membina watak itu sendiri,” katanya.

Menyentuh mengenai gandingan dengan Vee, Arja mengakui mudah bekerja dengan aktres berkenaan. Sikap profesional ditunjukkan Vee menjadikan mereka mudah serasi.

“Sebagai orang baru, siapalah saya untuk bergandingan dengannya. Namun, dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya. Yang salah pasti ditegur. Untuk saya pula, semestinya teguran menjadi azimat untuk saya berkarya,” katanya.

Bagi Vee pula, Mahsuri adalah watak paling diidamkan. Katanya, baru kini peluang muncul di depan mata apabila terpilih sebagai watak utama teater berkenaan.

“Baik teater, filem atau drama sekalipun, watak seperti ini yang saya tunggu-tunggu. Sebagai pelakon, saya mahukan watak yang benar-benar menguji diri saya dan mampu memperlihatkan kredibiliti sebagai pelakon.

“Pun begitu, saya tidak nafikan watak ini susah untuk dijelmakan. Lagipun, saya tidak tahu bagaimana mahu membawa watak itu dengan tepat.

“Dalam teater, tiada betul atau salah. Sebaliknya sebagai pelakon, kita harus pandai mencari karektor yang sesuai untuk watak berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: