PERCUBAAN yang membawa hawa baru kepada perjalanan karier seni Fazura dan Rusdi. |
Kedua-duanya digandingkan untuk program realiti terbaru, Anak Wayang
SETIAP apa juga perkara baru yang ingin dicuba pasti mengundang risiko namun andai dilandaskan kejujuran, ia akan membuahkan sesuatu yang bermakna lantas menyuntik sebuah kemanisan untuk dikenang selamanya.
Itu yang cuba dicari Nur Fazura Sharifuddin yang digandingkan dengan Rusdi Ramli untuk mempelopori program realiti terbaru, Anak Wayang.
Keberanian menggalas peranan itu hadir bersama tanggungjawab untuk melihat bakat baru dunia lakonan. Awal tawaran, pemenang Bintang Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia Ke-17 ini mengaku, minatnya kembali mengacara sudah pudar.
Mengenang saat pedih untuk menelan segala kritikan dan komen diterima ketika mengacara sedikit masa lalu, gadis berusia 25 tahun ini serik mahu mengulanginya.
“Saya senang menerima jika diberi ruang yang mencukupi untuk melakukan persediaan. Saya tahu di mana kelemahan, jadi saya selesa membuat persediaan supaya tidak kelam kabut dan kekok pada saat akhir,” katanya.
Anggun dengan rekaan Nurita Harith, Fazura yang ditemui pada sidang media pelancaran Anak Wayang siaran Astro Ria, manakala drama pula disiarkan Astro Prima berkata, antara sebab lain dia menerima tawaran itu kerana Rusdi.
Biarpun mereka hanya akan bertemu pada kemuncak pertandingan nanti, namun gadis yang mula mencipta nama menerusi filem Bicara Hati percaya keserasian antara mereka pasti hadir.
“Saya pernah berlakon sebuah telefilem dengan Rusdi. Jadi saya dapat merasakan keserasian antara kami berdua. Lagipun kami sama-sama gila, jadi mengapa tidak saya mencuba,” jelasnya lagi.
Program Anak Wayang juga mengheret komitmen Fazura selama dua bulan sebagai pengacara namun sekiranya datang tawaran lakonan yang bersesuaian dia tidak akan menolak.
Katanya, semua perkara itu sudah dibincangkan dengan pihak produksi supaya tidak timbul kekalutan nanti.
Percubaan pertama Rusdi
LAKONAN di layar lebar pernah menghadiahkan Rusdi trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-20, dua tahun lalu selain trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007.
Nama pelakon berusia 39 tahun ini tidak perlu diperkenalkan lagi, malah kehebatan bakat serta lakonan kerap memberinya ruang untuk menggalas peranan utama.
Bagaimanapun, buat kali pertama anak kepada pelakon senior, Norlia Ghani ini mencabar dirinya untuk mencuba sesuatu yang berbeza.
“Saya tidak berani kerana setiap kali naik pentas saya akan ‘goyang’. Namun, saya mencabar diri untuk menerima kerana mahu melihat sejauh mana saya mampu menggalas tanggungjawab ini,” katanya.
Akui suami kepada komposer, Sharon Paul ini, dia bukan seorang yang mahir bermain dengan lensa kamera kerana ketika berlakon mereka tidak dibenarkan melihat kamera.
Semua itu katanya, memberikan pengalaman baru dan percaya dengan latihan mencukupi tanggungjawab itu dapat dibawa dengan berkesan.
Dia yang kembali dicalonkan untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, ABPBH 2008, bersedia untuk berdepan segala kemungkinan.
“Saya percaya dengan membuat latihan akan membantu saya memberi yang terbaik apabila program itu mula bersiaran nanti,” katanya.
Melihat usaha melahirkan Anak Wayang akan memperkayakan barisan pelakon pelapis, Rusdi berkata, dia positif jika nanti terpaksa bersaing dengan mereka yang mencipta nama menerusi program realiti seperti ini.
Rusdi berkata, melihat keberkesanan program Akademi Fantasia yang melahirkan ramai bakat baru dalam bidang nyanyian, Anak Wayang juga mampu memainkan peranan yang sama.
“Ketika berlakon, saya bertemu dengan ramai pelakon tambahan yang baik namun tidak ada ruang untuk diketengahkan bakat mereka.
“Jadi dengan adanya Anak Wayang, ia membantu mereka untuk hadir lebih bersedia apabila tiba masanya kelak,” katanya.
Program realiti ini akan menemui peminat menerusi Astro Ria bermula 22 Mei ini, dijana dua saluran iaitu Ria dan Prima yang menayangkan pencarian bakat lakonan dan drama bersiri serentak.
INFO: Fazura
Nama Penuh: Nur Fazura Sharifuddin
Tarikh Lahir: 27 September 1983
Tempat Lahir: Pekan, Pahang
Status: Bujang
Kerjaya: Pelakon dan pengacara
Iklan: Omex dan Breeze
Filem: Bicara Hati, Senario XX, Qaisy dan Laila, Gol & Gincu, Kayangan, Selamat Pagi CInta, Pisau Cukur dan Kantoi.
Pencapaian: Bintang Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia Ke-17.
INFO: Rusdi
Nama Penuh: Rusdi Ramli
Tarikh Lahir: 16 Jun 1970
Tempat Lahir: Selangor
Status: Berkahwin
Kerjaya: Pelakon
Filem: Leftenan Adnan, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Bilut, Qabil Khusry Qabil Igam, Waris Jari Hantu, 1957: Hati Malaya, Cuci dan Anak.
Pencapaian: Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-20.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: