ALHAMDULILLAH, berakhir sudah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 semalam. Terlebih dulu, Cik Normah nak ucapkan sekalung tahniah kepada yang berjaya diumumkan sebagai pemenang untuk setiap kategori yang dipertandingkan. Buat pihak penaja yang terus sudi menaja hadiah untuk artis yang menang dan pembaca bertuah, kami di Berita Harian ingin sekali lagi mengucapkan terima kasih. Ada rezeki, boleh taja lagi tahun depan.
Kejutan semalam pastinya ada yang membuatkan ramai yang terkesima beberapa detik waktu kerana mungkin ada di antara calon kegemaran anda tidak berjaya mempertahankan gelarannya sebelum ini. Buat Bintang Paling Popular yang dinobatkan semoga terus menjadi ikon dan contoh terbaik untuk terus memantapkan pacuan kerjaya seni yang diatur. Jangan lupa diri cukuplah ya buat semua pemenang. Buat yang tidak berjaya itu, cuba lagi pada tahun mendatang ye.
Terima kasih Cik Normah ucapkan kepada semua yang bertungkus-lumus memastikan perjalanan atur cara majlis berjaya seperti yang dirancang. Buat tenaga penting, sekretariat ABPBH 2008 termasuklah pihak Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) dan rakan sekerja, Cik Normah tabik spring kepada anda semua. Begitu juga kepada stesen radio HotFM yang membuat promosi bertalu-talu untuk menghangatkan ABPBH 2008 dan juga dengan TV3. Terima kasih juga kepada kawan-kawan media Cik Normah yang lain kerana turut memberikan kerjasama yang sangat baik. Cik Normah sangat menghargai.
Cik Normah tumpang bangga apabila ramai penyanyi dan pelakon, selebriti, personaliti TV dan radio, baik yang lama atau baru, tercalon atau tidak, masing-masing pada malam kemuncak ABPBH 2008 dengan menggayakan pelbagai rekaan pakaian mengikut tema Sentuhan Tenun yang ditetapkan kali ini.
Memang ‘meletup’ dan cantik semua yang hadir. Rakan media Cik Normah pun tak ketinggalan melaram biarpun mereka bertugas.
Walaupun ABPBH 2008 sudah berakhir, Cik Normah yakin setiap individu dan artis yang terbabit secara langsung atau tidak pasti akan menyimpan kenangan termasuk yang mengikuti siri jelajah promosi ABPBH 2008 membabitkan enam buah lokasi terpilih. Cik Normah pun rindu nak naik bas Sinarmas Travel & Tour Sdn Bhd lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: