Secara peribadi saya terkilan. Mereka (Astro) bagi notis secara tiba-tiba, jadi apa sahaja yang sudah dirancang oleh Maestro untuk saya juga terpaksa dibatalkan secara tiba-tiba – MAWI

![]() |
| SELEPAS bergelar suami, populariti Mawi bakal diuji tahun ini. |
![]() |
| MASIH keliru mengenai pelaksanaan kontrak dengan Maestro yang telah ditandatangani sebelum ini. |
![]() |
| APAKAH karier Mawi mampu bersinar jika terus bernaung di bawah Maestro dengan pengurusan yang baru ini? |
![]() |
| EKIN sedikit kurus selepas mengalami keguguran pada bulan lepas. |
APABILA syarikat rakaman dan pengurusan artis, Maestro Talent & Management secara tiba-tiba sahaja terpaksa ditutup dan gulung tikar, semua pekerja syarikat itu serta hampir 40 orang artis yang hampir semuanya 'lulusan' Akademi Fantasia (AF) yang bergantung harap kepada 'lembayung' syarikat berkenaan hilang arah.
Hakikat tragis itu terpaksa diterima walaupun masing-masing berdepan dengan kekeliruan.
Kata orang, mungkin hanya artis 'suam-suam kuku' yang akan terjejas dek peralihan pengurusan Maestro yang akan diambil alih oleh Astro Entertainment, namun kepada artis popular yang sentiasa tidak kering tawaran, Mawi umpamanya, penutupan Maestro tetap satu tragedi hitam dalam kamus kariernya.
Apatah lagi, dalam waktu sebelum pintu pejabat Maestro dikunci rapat, dia dijanjikan dengan bermacam agenda.
Selepas operasi Maestro dihentikan secara tergesa-gesa, jadual yang telah dirancang secara teliti oleh Maestro dan Mawi terpadam begitu sahaja.
Mengakui terkesan dek impak penutupan Maestro, Mawi tidak dapat menahan rasa kesal yang bersarang di jiwanya.
"Secara peribadi saya terkilan. Mereka (Astro) bagi notis secara tiba-tiba, jadi apa sahaja yang sudah dirancang oleh Maestro untuk saya juga terpaksa dibatalkan secara tiba-tiba.
"Maestro tutup 1 April sedangkan pada tarikh itu satu majlis pelancaran untuk album terbaru saya sudah dirancang. Kami rancang mahu buat pelancaran ala kenduri doa selamat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tetapi semuanya hangus," ujar Mawi kecewa.
Bukan setakat pelancaran album Qasidah Allah Habeebi terbatal begitu sahaja, bahkan Mawi juga terpaksa melupakan hasratnya untuk meneruskan penggambaran sebuah klip video terbaru yang dijadualkan pada 3 April lalu.
"Banyak benda yang tergendala terutama berkenaan promosi album, semuanya terbatal. Saya terkilan sangat bab pelancaran album yang sepatutnya dijalankan seperti kenduri di pekarangan masjid itu," katanya.
Bukan setakat itu sahaja, apa yang lebih mengelirukan Mawi ialah persoalan tentang pelaksanaan kontrak yang telah ditandatangani sebelum ini.
Apakah pihak Astro Entertainment bakal meneruskan segala kontrak terutama hal berkaitan dengan soal royalti artis sama macam biasa seperti sebelum Maestro ditutup?
"Kegusaran pertama saya ialah soal royalti. Apabila sebuah syarikat rakaman ditutup bagaimana pula dengan royalti penjualan album kami?
"Saya harap semua itu akan dibincangkan secara mendalam menjelang perjumpaan khas dengan pengurusan Astro Entertainment yang akan dibuat tidak lama lagi," ujar Mawi serius ketika ditemui dalam satu majlis meraikan calon Top 5 menjelang Anugerah Bintang Popular (ABP).
Nampaknya Mawi tidak mampu lagi menahan gejolak rasa dek penangan yang diterima selepas Maestro secara rasminya telah 'bungkus'.
Malah, Mawi mengharapkan agar segala perjanjian yang telah dibuat oleh Maestro sebelum ini bakal dilaksanakan oleh syarikat pengurusan baru, Astro Entertainment yang dipimpin oleh Zainir Aminullah.
Mawi tidak sedikit pun memberi reaksi ketika ditanya adakah dia tidak bergantung kepada mana-mana syarikat pengurusan jika diberi pilihan untuk bergerak sendiri.
Akui Mawi, dia masih mahu berada di bawah syarikat pengurusan kerana kurang yakin bergerak sendirian.
Turut simpati mengenangkan nasib teman artis dan kakitangan Maestro yang pernah menyaksikan jatuh-bangun perjalanan dirinya sejak bergelar artis, Mawi bagaimanapun bersyukur setidak-tidaknya, pemenang pencarian program Resume Untuk Mawi, Azman Abdul Manap yang pernah bertugas sebagai kakitangan Maestro kini diterima bekerja di Astro Entertainment.
"Syukurnya Azman terus diberi peluang kerja. Saya sendiri kalau diberi pilihan untuk bergerak sendiri, rasanya susah. Saya tiada pengalaman dan kena betul-betul ada pengurusan profesional.
"Lagipun saya masih terikat dengan kontrak yang masih berbaki sehingga Ogos 2009. Tengoklah nanti macam mana," ucap Mawi yang turut ditemani isteri, Ekin dan pembantu peribadinya, Nasir.
Sedia terima kekalahan
Mengulas tentang persaingan yang sedang dihadapi menjelang kemuncak ABP minggu depan, Mawi sedia berdepan realiti dan apa jua pilihan yang ditentukan oleh peminat.
Kalah atau menang, itu atas kehendak peminat dan dia akur dengan apa juga ketentuan.
Tambahan pula, persaingan yang dihadapinya sengit daripada empat lagi pesaing yang turut tercalon dalam senarai lima teratas iaitu Amy Search, Aizat, Adam dan Nubhan. Mawi menyifatkan setiap penyanyi yang sama-sama tercalon dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular itu ada kelebihan masing-masing.
"Abang Amy Search orang lama tapi datang semula dengan penampilan baru yang bisa menawan ramai peminat baru apatah lagi peminat setianya.
"Aizat pula menunjukkan kerja keras dan usaha sendiri yang sangat mengagumkan. Dia buat lagu sendiri dan terbitkan sendiri album dengan sokongan keluarga, itu maknanya dia bagus.
"Bagi saya, kalau menang lagi, itu satu bonus dan tanda karier saya terus mendapat tempat di mata peminat dan pengundi," tegas Mawi yang terkenal dengan gelaran Raja SMS.
Mampukah Mawi mempertahankan trofi Penyanyi Lelaki Popular dan Bintang Paling Popular yang digenggam selama tiga tahun berturut-turut?
Menjadi persoalan juga, apakah setelah berkahwin dengan Ekin, populariti Mawi langsung tidak terjejas?
Sepanjang perbualan, Mawi kelihatan selamba, jauh sekali untuk tertekan dengan risiko bakal tidak naik pentas untuk menjulang trofi.
Fikirannya lebih banyak terarah terhadap keruntuhan Maestro dan bagaimana rencana masa depannya hendak dilukiskan.
Kelihatan masih dalam emosi berbulan madu, Mawi kelihatan semakin berisi manakala Ekin kelihatan sedikit cengkung gara-gara keguguran yang dialaminya lebih sebulan lepas.
"Saya sihat tapi selepas keguguran tempoh hari, rasanya badan saya semakin kurus," bicara Ekin ceria sambil bertekad tidak mahu 'terlebih aktif' bimbang peristiwa sebulan lepas berulang kembali.




No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: