ASTRO Ceria terus berusaha menghasilkan program tempatan yang bermutu lagi menghiburkan demi mengekalkan statusnya sebagai saluran kanak-kanak nombor satu di negara ini.
Ketika ini, Ceria yang dapat ditonton menerusi Astro saluran 611 itu gah berada pada kedudukan teratas dek kandungan rancangan tempatan dan luar negaranya yang disusun bagi memenuhi selera penonton kanak-kanak negara ini.
Dengan program terbitan produksi dalam negara seperti Tom Tom Bak, Geng Bas Sekolah, Hikayat Putera Shazlan dan Kapten Boleh, selain rancangan kanak-kanak dari luar seperti Loopdidoo, Jim Jam & Sunny, Ninja Boy, Postman Pat dan sebagainya, saluran berkenaan mampu menarik minat penonton kecil untuk terus melekat di saluran terbabit.
Tom Tom Bak dan Geng Bas Sekolah, umpamanya, muncul dua program yang mencatat rating terbaik sejak beberapa musim lalu.
Pengurus saluran berkenaan, Azlin Reza Azmi, bagi memantapkan lagi kandungan Ceria, dua lagi rancangan kanak-kanak baru akan diperkenalkan kepada penonton pada bulan ini. Tidak mahu mendedahkan dulu program terbabit, dia berkata, kehadiran dua program itu pastinya akan menambahkan lagi keceriaan kandungan.
Selain itu, dia turut mengumumkan pencarian bakat baru untuk diketengahkan sebagai pelakon utama siri Geng Bas Sekolah musim ketiga, yang akan dilancarkan September depan.
"Pelakon yang ada sekarang semuanya semakin meningkat remaja. Jadi, kami memerlukan bakat baru untuk menyambung geng berkenaan, berikutan siri terbabit mendapat sambutan cukup baik daripada penonton Ceria," kata Azlin ketika ditemui pada Karnival Vitagen Mempersembahkan Sukaria Ceria! di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bagi yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada Geng Bas Sekolah, mereka bolehlah hadir ke sesi uji bakat yang diadakan pada 18 dan 19 April, di No. 7, Jalan Semangat, 46200 Petaling Jaya, Selangor. Sesi berkenaan bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.
Uji bakat terbabit dibuka kepada semua individu, lelaki mahupun perempuan, yang berusia antara 7 hingga 10 tahun. Peserta diperlukan membawa gambar berukuran 4R, surat beranak serta biodata diri yang lengkap. Sebarang pertanyaan pula boleh dilakukan dengan menghubungi penyelia uji bakat di talian 012-3861015 atau layari laman web www.astro.com.my/astroceria.
Sementara itu, ketika berbicara mengenai karnival berkenaan, Azlin berkata, Sukaria Ceria! ialah karnival kedua diadakan pada tahun ini, selepas penganjurannya di Pulau Pinang.
"Pada tahun pertama, kami anjurkan karnival bertemakan Run For Fun, iaitu sambutan berbentuk maraton yang dibuka kepada kanak-kanak berusia 7 hingga 10 tahun. Tahun pertama, diadakan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, tahun kedua di Johor dan sekali lagi Kuala Lumpur.
"Tahun ini kami mengubah cara sambutannya dengan mengetengahkan pertandingan pakaian beragam. Ia bagi membolehkan lebih ramai kanak-kanak daripada pelbagai peringkat usia menyertainya bersama keluarga masing-masing,” katanya.
Pada acara kali ini, Astro Ceria menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM200,000 untuk peserta yang mengambil bahagian dalam pelbagai peraduan, dengan hadiah utama berupa kereta Naza Citra 2.0 (A) GS untuk kategori keluarga pertandingan pakaian beragam. Kereta berkenaan dipandu pulang keluarga Abdul Qudus Abdul Rahman, yang mengenakan pakaian seragam Transformers bersama isteri, Norshahirah Harun serta anak saudara mereka, Nor Hazwani Abdul Rahman.
Pada karnival yang bermula seawal jam 6.30 pagi itu, pengunjung turut dihiburkan persembahan artis seperti Rizal, Syawal, Zahid, Riz, Farah Asyikin, Dina dan Mila. Personaliti Ceria seperti Abang Zoey, Mat Kacau, serta pelakon beberapa siri tayangan saluran berkenaan turut menceriakan karnival.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: