![]() |
| PERSEMBAHAN yang menggegarkan pentas daripada vokalis Korn, Jonathan Davis. |
KEJUTAN budaya agaknya. Lagak gadis-gadis tempatan ketika diminta naik ke pentas oleh Pharrell, penyanyi daripada kumpulan N.E.R.D pada konsert Sunburst KL Internasional 2009 baru-baru ini menampakkan sebahagian mereka bagaikan hilang arah seketika.
Dengan pakaian terdedah disulami tarian yang boleh diklasifikasikan sebagai 'ghairah' membuatkan pentas itu tidak ubah seperti 'disko mini'. Apalagi bila mereka berebut-rebut untuk mendapatkan Pharrell. Mereka menjerit, melompat dan mendekati pemuda itu supaya sudi dipeluk.
Bagi penonton-penonton yang berada di bawah pula, mereka mendapat persembahan percuma daripada gadis-gadis 'pukauan' Pharrell itu.

Bukan sengaja mahu membangkitkan isu yang mungkin kecil bagi sesetengah pihak, tetapi adakah ini gaya dan cara budaya kita?
Benar, kumpulan itu turut mengajak peminat lelaki bersuka ria di pentas bersama mereka tetapi keterujaan peminat-peminat lelaki tidaklah nampak keterlaluan.
Mungkin bagi artis barat seperti N.E.R.D, mereka tidak kisah dengan situasi sebegitu kerana ia sudah menjadi kebiasaan dan trend di negara mereka.
Lalu mereka tidak boleh dipersalahkan 100 peratus kerana perbezaan budaya membuatkan mereka tidak tahu batas-batas yang perlu dijaga di negara ini.

Apa yang mereka tahu ialah mereka mahu memberikan persembahan terbaik agar dapat menggembirakan dan memuaskan hati penonton yang hadir, memandangkan inilah kali pertama kumpulan itu menjejakkan kaki ke Malaysia.
Pihak penganjur sepatutnya peka dengan isu seperti ini dan mereka juga perlu menjelaskan kepada penyanyi luar tentang batasan yang perlu dijaga. Hairan juga, ke mana pergi kod etika yang perlu dipatuhi oleh artis luar jika mahu membuat persembahan di negara ini?
Sepanjang persembahan N.E.R.D, mereka begitu bersemangat dan teruja menghiburkan peminat-peminatnya. Malah, mereka tidak lokek masa apabila mempersembahkan nyanyian mereka yang sepatutnya hanya satu jam dilanjutkan sehingga hampir dua jam.
Namun, mereka yang sedang menyanyikan lagu Bad Girls terganggu apabila melihat peminat-peminatnya tidak selesa. Beberapa pengawal keselamatan dan jurugambar cuba menahan mereka untuk tidak terlalu ke depan.
![]() |
| VOKALIS Butterfingers, Emmett memberikan sepenuh tenaga dan fokus kepada persembahan. |
Apabila insiden itu berlaku, dengan serta-merta muzik diberhentikan dan Pharrell menegur kedua-kedua jurugambar dan pengawal itu dengan perkataan yang boleh dianggap kurang sopan.
"Kamu hanya sekadar jurugambar. Kamu boleh naik ke pentas untuk mengambil gambar jika mahu, tetapi jangan mengganggu peminat-peminat saya di bawah sana.
"Dan kamu pula hanya pengawal keselamatan dan saya tahu kamu hanya menjalankan tugas. Jangan menolak atau menghalang mereka kerana mereka telah membayar wang untuk menyaksikan konsert ini. Saya mahu mereka berada dekat dengan saya.
"Mereka hanya mahu berhibur dan kami melayan mereka seperti sebuah keluarga. Tindakan kamu membuatkan mereka tidak selesa. Saya mahu ingatkan sekali lagi, jika kamu cuba menghalang mereka, saya tidak teragak-agak untuk meninggalkan pentas," kata Pharrel yang kelihatan berang ketika itu.
Persoalan sekali lagi, wajarkah artis 'memarahi' pihak yang berusaha untuk menjaga keselamatan mereka seperti yang dilakukan oleh Pharrel?
Malangnya, penonton di situ menjerit tanda menyokong tindakan Pharrel itu. Mereka melaungkan nama N.E.R.D berulang kali dengan harapan persembahan kumpulan popular ini tidak dihentikan.

Tewas dengan jeritan ribuan peminatnya, Pharrell meneruskan nyanyian dan menggegarkan suasana malam di Bukit Kiara Equestrian Club.
N.E.R.D yang turut dianggotai Chad Hugo selain Pharrell memberi amaran buat kali kedua dan berkata: "Di sini bukan Tokyo, di sini bukan Paris, di sini bukan London, di sini bukan Australia, di sini bukan Virginia tetapi ini adalah Malaysia. Ini adalah kunjungan pertama kali N.E.R.D ke Kuala lumpur dan kami mahu peminat berseronok. Jangan pedulikan sesiapa pun di sekeliling anda," katanya.
Artis kita masih diianaktirikan
Nasib penyanyi tempatan agaknya. Bila timbul masalah dari segi susunan persembahan artis ataupun masalah teknikal, mangsanya pasti akan terkena kepada penyanyi Malaysia.
Jika tahun lepas kumpulan Search dan Estranged menjadi mangsa pertukaran jadual persembahan, tahun ini pula kumpulan Pesawat pula jadi mangsa keadaan.
Hasrat kumpulan yang popular dengan lagu Mirage itu untuk membuat persembahan di Sunburst berkecai apabila ia dibatalkan di saat-saat akhir.

Pada mulanya Pesawat yang dijadualkan membuat persembahan pada permulaan konsert terpaksa ditangguhkan kemunculan mereka ke sebelah malam, iaitu pada akhir persembahan konsert itu. Alasannya ialah masalah teknikal.
Sanggup menunggu giliran yang terakhir, tiba-tiba mereka diberitahu persembahan Pesawat terpaksa dibatalkan kerana permit masa hanya sehingga pukul 2 pagi.
"Kami sudah buat soundcheck di sebelah pagi. Tapi nak buat macam mana, tiba-tiba mixing board ada masalah pula.
"Oleh kerana pihak penganjur tidak mahu menganjakkan masa untuk semua persembahan, mereka letak persembahan kami kepada yang terakhir selepas Korn. Tetapi masa pula sudah terlalu suntuk.
"Kecewa memang ada. Hendak buat macam mana, cuma saya kasihan pada peminat yang turut menunggu dari pagi sampai malam semata-mata hendak menunggu Pesawat," kata Jipi, salah seorang anggota kumpulan tersebut.
Sunburst yang dibawakan oleh Pineapple Concert berjaya menghimpunkan nama-nama besar penyanyi tempatan seperti Meet Uncle Hussain, Estranged, Bunkface, Hujan, They Will Kill Us All, Gerhana Ska Cinta, Dead Mushroom dan Reza Salleh.
Selain N.E.R.D dan Korn, artis antarabangsa yang turut menggegarkan pentas Sunburst ialah Nidji, Andra & The Backbone serta Sixx.
Selain itu, kawasan Speedzone Interactive Tour yang memaparkan kehebatan Formula 1 dan Moto GP menarik perhatian ramai apabila suasana kelab futuristik dengan iringan deejay yang memacu adrenalin membuatkan pengunjung terasa untuk berdansa.
Persembahan Silent Disco mencatatkan antara pengunjung yang teramai, membuatkan penonton lebih berintimasi dengan suasana groove yang dicetuskan deejay ternama.
Secara keseluruhan, konsert Sunburst sukses dan ia berjaya mengumpulkan lebih 10,000 penonton. Apa yang diharapkan, segala kesilapan kecil atau besar yang berlaku dapat diperbaiki pada masa akan datang jika pihak penganjur mahu Sunburst berlegasi.
Biarlah hiburan yang dipaparkan bersesuaian dengan budaya bangsa Malaysia yang kita sayangi ini. Juga jangan dengan mudah membenarkan orang luar melakukan apa saja yang mereka suka, atas tiket seni yang mereka perjuangkan.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: