Monday, April 13, 2009

“Ekin tidak mengawal saya” -Mawi


kata Mawi, dia selesa ekin menjadi pengurus peribadinya kerana isterinya itu memahami perangainya.


APABILA mahu membicarakan tentang penyanyi lelaki popular yang seorang ini, ada kalanya sukar juga untuk diluahkan.

Ini kerana hakikatnya sudah terlalu banyak kisah tentangnya terpampang di media baik sewaktu dia masih bujang mahupun selepas mendirikan rumah tangga dengan wanita pujaannya, Nora’Asikin Rahmat atau Ekin pada 20 Disember tahun lalu.

Menjadi seorang artis popular seperti Asmawi Ani atau Mawi memang begitu sukar sekali kerana apa sahaja yang dilakukan sering kali menjadi perhatian dan perbualan mulut orang sekeliling.

Sudah menjadi adat manusia, ramai yang suka dan tidak kurang pula yang mengeji dan bagi Mawi sendiri, dia sudah tidak kisah dengan apa yang diperkatakan tentang dirinya dan isteri tercinta.

Kisah Ekin yang kelihatan setiap masa bersama Mawi mungkin boleh dianggap sebagai satu kisah menarik untuk dikupas.

Masakan tidak, hampir setiap masa dan dalam apa jua majlis sekalipun, kelibat Ekin akan tetap ada untuk berada di samping suaminya sehingga ramai yang sudah jelik melihatkan gelagat mereka.

Sehinggakan ada yang mendakwa Ekin mengawal Mawi dari semua aspek sehingga tiada lagi kebebasan untuk Mawi menguruskan dirinya sendiri.

Bukan itu sahaja, ada juga kata-kata nakal yang singgah di telinga bahawa kaki dan tangan Mawi sudah dikunci rapat isterinya.

Tidak kurang pula yang dengan nakal merumuskan Mawi kini hidup di bawah ketiak isterinya sehinggakan langkah Mawi akan dituruti oleh Ekin.

Semua itu menimbulkan perasaan kurang selesa orang sekeliling terutama sekali peminat fanatik Mawi.

Banyak juga maklum balas yang diterima Hits yang memperkatakan tentang gelagat Ekin sehingga mereka sendiri berasa mual dan mempersoalkan kredibiliti Ekin sehingga mampu untuk bersama Mawi setiap masa.

Kata mereka, jika hendak diukur kejayaan, sumbangan dan populariti Ekin dalam bidang seni, bagaikan langit dan bumi dengan pasangan selebriti lain.

Mengajukan persoalan ini kepada Mawi dan Ekin sewaktu sesi fotografi yang berlangsung di studio Utusan petang Jumaat lalu, Mawi tenang menjawab setiap dakwaan yang dilemparkan kepadanya.

Kalau sudah namanya suami, sudah tentu Mawi akan menyebelahi isterinya.

Malah, Mawi berpendapat, segala dakwaan itu bukanlah satu perkara yang seharusnya diperbesarkan kerana apa yang dilakukan tetap ada batasnya.

Setidak-tidaknya, kata Mawi, kehadiran isterinya itu adalah bertujuan untuk mengelakkan fitnah mahupun kata-kata dusta dilemparkan kepadanya.

“Saya tidak pernah ikut telunjuk Ekin mahupun dikawal olehnya seperti mana yang diperkatakan. Dia tahu tanggungjawab dia sebagai seorang isteri. Malah, saya senang apabila dia ada bersama untuk menjaga penampilan dan pakaian saya.

“Bayangkan kalau dia tidak ada bersama saya, orang boleh berkata macam-macam kepada saya dan seterusnya akan sampai ke telinga isteri saya,” katanya memulakan perbualan.

Menurut jaguh SMS itu juga, setiap kali Ekin di sisinya, banyak manfaat yang mereka peroleh.

Paling utama, Mawi dan Ekin dapat mengelakkan fitnah daripada mereka yang mungkin kurang senang dengan kebahagiaan yang sedang mereka kecapi.

“Ini adalah tentang soal kehidupan peribadi saya dan saya tahu apa yang saya lakukan. Tidak perlu untuk mereka di luar sana untuk menentukan tindakan yang perlu saya buat.

“Minta maaf, saya tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak. Malah, saya kini sudah tidak kisah lagi apa yang orang mahu perkatakan tentang diri saya,” luah Mawi lembut namun sarat dengan maksud yang mendalam.

Ekin yang tenang di samping suami tercinta juga menyuarakan pendapatnya dan sebagaimana Mawi, dia juga tidak peduli dengan kata-kata nista orang sekeliling.

Baginya, perkara itu sudah menjadi lumrah dalam hidupnya sejak dia mula berkawan dengan Mawi hampir tiga tahun lalu.

Ekoran itu, dia sering kali menjadi mangsa ketidakpuasan masyarakat sekeliling terutama peminat Mawi yang melihat dirinya sebagai satu ancaman.

Bahkan, kegusaran orang lain terhadap mereka dianggap Ekin sebagai permainan dunia seni kerana wanita itu sedar apa dilakukannya.

Kata Ekin, bukan selalu dia mendampingi Mawi, kalau ada sekalipun kehadiran mereka berdua sebagai memenuhi undangan.

Begitu juga dengan dakwaan Ekin menumpang populariti Mawi juga diibaratkan sebagai tidak masuk akal.

“Saya terlibat dalam bidang seni pun bukan atas kehendak saya tetapi kerana kembar saya, Aein yang mengheret saya sekali sewaktu membintangi drama Kawan. Jadi semuanya, atas nama kebetulan,” kata Ekin mempertahankan dirinya tentang isu kehadirannya bersama Mawi yang menjadi buah mulut orang.

Pemilik vokal lagu Aduh Saliha dan Angan dan Sedar ini turut disoal tentang popularitinya yang dikatakan jatuh merudum sejak bernikah dengan Ekin dan ternyata anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini begitu optimis terhadap jawapannya.

Apatah lagi, namanya juga tercicir daripada menjadi pilihan pihak penganjur bagi menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha tahun ini.

Sedar diri

Sebagai manusia yang waras akal fikirannya, Mawi tidak cepat melatah dengan perkembangan itu, sebaliknya, dia sangat realistik dan percaya semua itu kerja Yang Maha Esa.

Menyalahkan Ekin kerana popularitinya merudum tidak pernah terlintas di fikiran Mawi.

“Saya seorang yang sentiasa sedar diri. Saya tahu tidak selamanya saya akan berada di atas, satu hari nanti saya akan berada di bawah,” kata Mawi menyambung perbualan.

Pada masa yang sama, Mawi tidak pernah putus memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana ketika orang lain merungut akibat terasa tempias kegawatan ekonomi, undangan untuk dia mengadakan persembahan masih ada.

“Alhamdulillah, tawaran untuk persembahan masih lagi ada walaupun saya akui, dengan keadaan ekonomi sekarang, ia sedikit sebanyak terkesan juga kepada saya.

“Tetapi, satu yang pasti, saya kini mempunyai masa yang banyak untuk melakukan aktiviti yang tidak mampu saya lakukan dulu sama ada bersendirian mahupun bersama Ekin,” tuturnya yang kelihatan semakin berisi selepas berumah tangga.

Satu yang pasti, Mawi juga kini berjinak-jinak dalam bidang penulisan skrip apabila dia kini dalam proses menyiapkan skrip telemovienya yang pertama.

“Ini merupakan langkah baru saya selain daripada menyanyi. Yang pasti, bukan saya dan Ekin akan berlakon kerana saya tidak mahu jadi syok sendiri. Insya Allah, banyak lagi perancangan yang saya mahu lakukan menerusi syarikat saya, MW Entertainment Sdn. Bhd.,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mawi yang kini popular dengan lagu Sujud kolaborasinya bersama kumpulan KRU turut menyatakan keterujaannya apabila baru sahaja mengikat kontrak selama setahun sebagai duta makanan segera, Marrybrown selama setahun.

Selain itu, anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai Johor ini juga menjelaskan, dia akan kembali ke lokasi untuk menjayakan musim terbaru Langkah Mawi yang akan membawanya mengembara ke Melbourne, Hong Kong dan Itali.

Sementara itu, Mawi juga menyatakan rasa gembira apabila album terbarunya, Allah Habeebi berjaya membolosi tembok kebal Anugerah Industri Muzik ke-16 apabila menerima empat pencalonan dalam dua kategori.

Pencalonan itu merangkumi tiga pencalonan untuk Lagu Nasyid Terbaik bagi lagu Allah Habeebi, Serulah Namanya dan Teman Hakiki selain kategori Album Nasyid Terbaik.

“Alhamdulillah, pengorbanan dan pelaburan semuanya berbalas. Saya gembira dengan penghasilan album ini yang saya sifatkan sebagai sebuah album yang menarik dari segi lagu dan susunan muziknya.

“Menang atau kalah, itu adat pertandingan. Saya tidak kisah,” ujarnya yang akan terlibat dengan Konsert Rock Rohani pada 18 April ini di Shah Alam, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: