KEHADIRANNYA dalam bidang seni suara pada tahun 1982, dengan imej yang tersendiri. Dengan rambut kerinting panjang melepasi punggung, gadis manis berasal dari Kampung Separap, Batu Pahat, Johor itu berjaya menarik perhatian peminat seni suara dengan kelainannya.
Walaupun ketika itu, artis muncul dengan pelbagai gaya termasuk berambut pendek dan potongan mirip Puteri Diana, tetapi Hazlina Kamsan selesa dengan imej rambut kerinting.
Imejnya yang dianggap sebagai gadis kampung yang sopan sebetulnya 'mencuri' hati peminat.
Lantaran itu, sebaik album pertamanya, Hazlina yang mengandungi lagu hits Siapa Dia diedarkan pada tahun tersebut, berjaya meletakkan namanya di persada seni tanah air.
Album edaran Life Record pada tahun 1982 membuatkan Hazlina tidak henti-henti diundang menyertai rancangan TV di samping pelbagai pertunjukan pentas.
"Waktu itu, memang setiap minggu ada saja undangan untuk saya penuhi. Walaupun bayaran ketika itu tidak setinggi mana tapi saya seronok kerana ia mampu menampung kehidupan saya dan membantu keluarga di kampung," kata Hazlina yang sempat muncul tiga album dengan Life Record.
Bagaimanapun, selepas mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Amin Saad, Hazlina akhirnya berpindah ke Pulau Pinang pada tahun 1986.
"Memang waktu itu nama saya sedang popular. Selalu juga jadi penghias muka depan majalah dan poster. Tapi bila sudah kahwin saya kena buat pilihan antara karier dan rumah tangga.
"Kalau kita mahu rumah tangga aman bahagia, kita harus tinggalkan dunia seni. Hidup dalam dunia seni banyak cabarannya.
"Kalau tak kuat iman, boleh tumbang kita dibuatnya. Apapun saya bersyukur kerana sepanjang menyanyi saya tidak menyimpang. Alhamdulillah ditemukan pula dengan seorang suami yang amat penyayang dan memahami saya," cerita Hazlina, 47.
Kini setelah melayari rumah tangga bersama Mohd. Amin Saad, 60, selama 23 tahun, Hazlina merasakan kebahagiaan itu tidak pernah berkurangan sebaliknya antara mereka bagaikan pasangan yang sedang bercinta.
Apalagi kebahagiaan rumah tangga Hazlina dan Mohd. Amin diserikan dengan kehadiran enam cahaya mata, Nor Zubaidaltulshima, 22, (menuntut di UNISEL, Batang Berjuntai - Pengajian Bahasa Inggeris), Noor Syazwanisarah, 20, (Universiti Islam Antarabangsa - dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik) Mohd. Benjamin Shah, 13, Mohd. Hazmin Shah,12, Nur Balqis Safeeya,8, Nur Qistina Aleeya, 4.
Menurut Hazlina, walaupun ada di antara rakan artis yang tidak menggalakkan dia meninggalkan dunia seni, tetapi dia tidak pernah menoleh ke belakang setelah membuat keputusan.
"Saya tahu dalam hidup ini kita tidak boleh terlalu tamak. Bagi seorang wanita apabila jodoh sudah sampai, mereka sanggup lakukan apa sahaja demi menjamin kebahagiaan.
"Apalah gunanya limpahan bintang dan glamor kalau rumah tangga berantakan. Abang seorang suami yang baik, sebab itu apabila mengambil keputusan berkahwin saya tidak pernah menyesal bersara menyanyi," ceritanya mengenai kebahagiaan hidup yang dinikmatinya.
Setelah menetap di Pulau Pinang, sememangnya Hazlina terus melupakan bidang nyanyian dan menumpukan perhatian pada suami, anak-anak dan rumah tangga.
Tetapi begitulah seorang wanita yang sudah biasa bekerja.
Hazlina yang mula mencari rezeki sejak berusia 21 tahun tidak mahu duduk menanti kepulangan suami.
Sebaliknya, dengan semangat yang diberikan oleh suami dan kepandaian yang diwarisi daripada keluarga, Hazlina memulakan langkah.
Disebabkan sudah biasa dengan kerja, akhirnya Hazlina dengan izin suami, menyertai keluarga meneruskan perniagaan keluarga Jamu Asli Putri Ledang.
"Perniagaan milik keluarga ini bermula di rumah pada tahun 1999 dengan modal keluarga sebanyak RM2,000.
"Tetapi pada tahun 2000, saya tambah modal lagi RM50,000 untuk membesarkan perniagaan milik keluarga.
"Kilang memproses jamu ini di Batu Pahat. Walaupun kilangnya tidak begitu besar tetapi syukur Alhamdulillah sambutannya amat menggalakkan.
"Sebenarnya pihak kami menerima banyak tawaran untuk berkongsi sama dengan beberapa syarikat yang berminat. Tetapi bagi saya dan keluarga kualiti itu penting.
"Biarlah kami dengan kilang yang kecil kerana yang penting pelanggan kami puas hati dengan hasil jamu ini yang tidak pernah berubah sejak dulu.
"Bukan itu sahaja, malah Jamu Asli Putri Ledang dijual dengan harga yang berpatutan dan suri rumah mampu membelinya," kata Hazlina.
Menurut Hazlina, resepi jamunya diwarisis daripada peninggalan arwah bapanya, Kamsan yang berasal dari Jawa.
Sementara nama jamu Putri Ledang diberi sempena album terakhirnya Putri Ledang Turun Melayang yang diterbitkan oleh Fauzi Marzuki di bawah syarikat miliknya Kenanga Idea Sdn. Bhd., pada tahun 1994.
Resepi asli itu dijaga dan dipelihara demi memastikan pengguna puas hati dan walaupun harganya murah berbanding lain tetapi khasiat dan kesannya tetap terjamin.
Kini kata Hazlina, setelah 10 tahun menjalankan perniagaannya selain Pulau Pinang beberapa cawangan lain juga telah dibuka seperti di Johor Baharu, Melaka, Kuala Lumpur dan Terengganu.
"Memandang sambutan menggalakkan daripada jamu, kini saya bercadang melebarkan lagi bidang perniagaan Putri Ledang ini dengan membuka spa di Pulau Pinang tidak lama lagi.
"Spa tersebut bukan sahaja memberi khidmat mandi lulur dan mandi susu, malah kami juga akan mengadakan khidmat mengurut kaki, berbekam dan mengurut badan," kata Hazlina.
Menurut Hazlina, dia memilih Pulau Pinang sebagai memulakan pusat spanya kerana mudah dan dekat tempat tinggalnya dan keluarga.
"Jika sambutannya baik, saya akan membuka beberapa cawangan pusat spa dengan wakil-wakil yang saya percayai dengan produk jamu Putri Ledang," kata Hazlina.
boleh saya bertanya? facebook hazlina kamsan apa ye??
ReplyDelete