|
|
SIAPAKAH gerangan mereka bertiga ini? Sekali pandang kecantikan mereka seperti finalis Miss Malaysia yang akan mewakili Malaysia untuk Miss World tahun ini.
Dan jika diteliti pada warna kulit, pastinya jelas menunjukkan betapa majmuknya negara kita yang mewakili kaum Melayu, Cina dan India.
Tetapi dua kali pandang, seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka. Walaupun pada zahirnya penampilan kewanitaan jelas terpancar, namun jika diteliti setiap inci - bentuk muka, potongan badan yang agak berotot serta posing yang agak kasar, sudah tentu menimbulkan keraguan di hati pembaca.
Bagi mereka (khususnya kaum lelaki di luar sana) jangan terus jatuh hati kepada tiga 'wanita' ini yang dikenali sebagai Deq Chu, Karina Lau dan Kareen Kapoor. Ini kerana mereka melalui transisi semata-mata untuk menjayakan teater Patung Kertas 2 (PK2). Dan mereka yang dimaksudkan ialah Ashraf Muslim, Kelvin Lau dan Vishnu Nadarajah.
Untuk pengetahuan pembaca, bukan mudah untuk meminta mereka mengadakan sesi fotografi ini (berpakaian dan bersolek seperti perempuan) memandangkan isu ini agak sensitif di kalangan masyarakat kita di Malaysia hari ini.
Namun, atas permintaan Hits dan rasa tanggungjawab dalam rangka promosi teater PK2 arahan Lokman Ghani yang akan dipentaskan pada 23 April hingga 3 Mei di Matic, Ampang, Kuala Lumpur mereka akhirnya bersetuju.
Sepanjang sesi fotografi berlangsung, wartawan Hits dan jurugambar tidak kering gusi melihat telatah dan aksi ketiga-tiga bintang PK2 ini, kerana buat pertama kalinya mereka 'dipaksa' berlagak seperti wanita bagi menghidupkan suasana.
Walaupun keletihan mengenakan pakaian yang sendat di samping menahan sakit kerana berkasut tumit tinggi lima inci, tetapi mereka sedaya upaya melakukan seperti yang diminta jurugambar.
"Tak boleh nak gerak lebih-lebih. Perut saya sendat. Bahagian paha dress ini sempit," ujar Ashraf ketika diminta mempelbagaikan posingnya.
Bagi Kelvin Lau pula, dia tidak banyak masalah untuk beraksi di depan kamera dan berlagak seperti seorang wanita.
"Nak pose macam ini kah?" katanya sambil menunjukkan aksi yang menggoda.
Paling kelakar Vishnu Nadarajah (Vish) ketika mengenakan pakaian gaun berwarna merah.
"Aiyoyo... seksi sangat la kakak. Belakang terdedah sangat. Ada baju lain tak?" ujarnya yang mampu membuatkan semua yang berada di Studio Ika Fancy (lokasi sesi fotografi) pecah perut.
Tetapi akhirnya, Ashraf, Kelvin dan Vish berjaya menemukan pakaian yang bersesuai dengan bantuan jurusolek dari Ika Fancy yang turut menyediakan solekan dan pakaian untuk persembahan PK2 nanti.
Walaupun ketiga-tiga 'wanita' ini cuba memberikan kerjasama sebaik mungkin kepada Hits, namun jelas kelihatan di wajah mereka segaris kegusaran akan penerimaan orang ramai sebaik sahaja gambar ini menghiasi Hits.
Antara mereka bertiga, riak wajah Ashraf Muslim paling ketara kelihatan bimbang semasa sesi fotografi dijalankan.
Malah antara mereka bertiga, Ashraf merupakan pelakon yang terakhir memberi persetujuan untuk memenuhi permintaan Hits.
"Saya memenuhi permintaan (fotografi) ini bertujuan untuk mempromosi PK2. Begitu juga Kelvin dan Vish.
"Saya berharap tidak ada yang salah faham dan memandangnya dari sudut yang negatif," ujar Ashraf.
Menurut pelakon utama drama Yusuff ini, memang susah baginya untuk menjiwai watak ini kerana 100 peratus tidak menggambarkan dirinya yang sebenar.
Namun sebagai seorang pelakon, tidak layak rasanya digelar pelakon, jika tidak boleh menghayati setiap watak yang diberikan termasuklah watak mak nyah.
"Bagi menghayati watak mak nyah, saya banyak melakukan pemerhatian terhadap mak nyah. Setiap gerak geri mereka ketika berjalan, berbual, merokok dan makan, saya perhatikan sebagai panduan saya dalam menjiwai watak Deq Chu.
"Kadang kala, saya akan mengikuti golongan ini ketika mereka melakukan persembahan di sekitar Kuala Lumpur intuk lebih memahami kehidupan mereka,'' ujarnya.
Bagi Ashraf, bukan bayaran yang menjadi ukuran ketika berada di dalam produksi PK2 tetapi pengajaran di sebalik teater berkenaan.
"Seperti PK1, PK2 ini bukan bertujuan untuk mengagungkan kehidupan golongan ini (mak nyah), tetapi lebih kepada memberi panduan kepada mereka.
"Paling penting teater ini juga mengajak masyarakat untuk menilai semula tanggapan masing-masing terhadap golongan mak nyah di samping mengajak mereka memahami kehidupan mak nyah yang sebenar,'' kata Ashraf lagi.
Selain itu, menurut Ashraf, sebab utama dia bersetuju membintangi teater ini adalah untuk meningkatkan lagi mutu lakonan pada masa depan.
"Berlakon dalam drama dan teater jauh berbeza. Jika dalam drama, berlaku kesilapan seperti salah dialog dan sebagainya, rakaman boleh dibuat semula. Tetapi teater, segala kesilapan perlu dielakkan kerana dipersembahkan secara live.
"Di sini juga saya banyak mempelajari teknik-teknik lakonan seperti lontaran suara, pernafasan serta emosi yang sememangnya menuntut komitmen serta kebolehan seorang pelakon.
"Jika lakonan yang ditawarkan kepada saya itu mendatangkan pengaruh yang tidak baik kepada masyarakat, saya tidak akan menerima tawaran walaupun dibayar dengan jumlah yang tinggi," kata Ashraf.
Kelvin Lau teruja
Melakonkan watak sebagai mak nyah yang bernama Karina Lau, benar-benar membuatkan Kelvin teruja.
Karina Lau digambarkan sebagai mak nyah yang kecoh namun dalam masa yang sama suka terlibat dalam perkara-perkara yang berkaitan perniagaan.
"Terus terang saya katakan saya tidak mempunyai pengalaman untuk melakonkan watak begini dan ini merupakan kali pertama melakukannya.
"Walaupun saya pernah berlakon dalam teater Ma Hu Huan bergandingan dengan Vanidah Imran, tetapi bukan melakonkan watak mak nyah,'' ujar Kelvin.
Ketika ditanya kenapa dia menerima tawaran daripada Bintang Emas Pictures Sdn. Bhd., Kelvin berkata, dia begitu mengagumi pementasan teater PK1 pada tahun lepas dan dari situ timbul keinginan di hati kecilnya untuk menjayakan watak mak nyah.
Tidak seperti Ashraf, Kelvin tidak banyak bergaul dengan golongan mak nyah dalam menjiwai watak Karina Lau.
"Saya banyak melakukan latihan sendiri. Di rumah, saya sering kali menghadap cermin sambil cuba memerhatikan gerak geri yang boleh saya gunakan untuk watak Karina.
"Setakat ini, saya masih belum menemui gaya yang sesuai untuk watak mak nyah berketurunan Cina. Tetapi saya berharap saya mampu memberikan lakonan yang dikehendaki pengarah dalam watak Karina nanti.
"Adakalanya gaya lelaki saya terkeluar semasa latihan seperti melakonkan adegan menyanyi kerana terlupa bahawa ketika itu saya seorang mak nyah.
"Sebelum saya bersetuju, saya telah memberitahu keluarga dan memberi penjelasan kepada mereka.
"Mereka tidak mempunyai masalah kerana mereka menaruh kepercayaan kepada saya bahawa ia sekadar lakonan semata-mata,'" ujar Kelvin sambil tersenyum.
Vish yang kelulusan dalam bidang tarian klasik India dari Universiti Kalashetra, Chennai, India, mengakui, perkara yang paling sukar baginya menjayakan watak Kareen Kapoor ialah bertutur bahasa Melayu dalam loghat India.
"Keadaan ini memang menyukarkan kerana setiap hari saya bergaul dengan orang Melayu sehingga menyebabkan saya fasih berbahasa tersebut.
"Jadi untuk menjiwai watak serta memastikan pertuturan saya mengikutkehendak watak saya harus berkawan dengan rakan-rakan kaum India dan terpaksa bercakap Melayu dengan mereka," ujar Vish lagi.
Bagi Vish, walaupun PK2 merupakan teater pertama lakonannya dengan membawa watak mak nyah namun ia tidak sedikit pun memberi masalah kepadanya.
"Mengenai gerak-geri mak nyah, saya boleh menjiwainya kerana sebelum ini, saya banyak bergaul dengan mereka semasa menjayakan persembahan tarian dahulu.
"Bukan itu sahaja, malah saya juga boleh menari dengan baik kerana pengalaman sebagai penari selama hampir 23 tahun saya terlibat dalam bidang tarian.
"Cuma saya risau apabila ada adegan yang memerlukan saya berlakon di samping pelakon berpengalaman Datuk Jalaludin Hassan,
"Saya takut jika tersilap bila berdepan dengan orang yang hebat sepertinya," kata Vish yang pernah berlakon drama Tamil terbitan Suhan Movie.
Seperti juga Ashraf dan Kevin, Vish juga diajukan soalan yang sama, pandangan orang-orang terdekat dengannya mengenai penglibatan Vish dalam PK2.
"Keluarga saya tahu akan hal ini dan mereka tidak menghalangnya. Selepas membaca skrip, bagi saya tidak salah berlakon dalam teater PK2 ini.
"Mengenai PK2 pula, ia banyak memberikan nasihat dan pengajaran bukan sahaja kepada golongan mak nyah tetapi juga masyarakat amnya secara humor dan bersahaja.
"Saya berharap pementasan ini berjaya dan saya mampu menjayakan watak Kareen Kapoor. Kepada orang ramai ingin saya berpesan kepada mereka, datang tonton dahulu teater ini dan nilaikan dengan akal fikiran sendiri," pintanya sebelum sesi temu bual berakhir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: