Thursday, April 23, 2009

Dua pondan menangis kena penjara


WAJAH sedih Mohamad Arbah (kiri) dan Mohd. Fauze ketika keluar dari Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - "Hukuman penjara ini sebagai pengajaran untuk kamu berfikir dan berubah, kerana kamu kata kamu percaya kepada kehidupan di akhirat."

Demikian kata Hakim Syarie, Mamat Haizan Salleh kepada dua orang pondan yang menangis teresak-esak apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam mengenakan hukuman penjara sebulan dan enam bulan ke atas mereka kerana berpakaian dan berlagak seperti wanita pagi kelmarin.

Mamat Haizan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohamad Arbah Utoh, 18, dan Mohd. Fauze Abdul Latiff, 32, kedua-duanya berasal dari Sabah setelah mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mereka berdua ditahan oleh polis pada pukul 3 pagi 22 April lalu di The Beach Club, Jalan P. Ramlee di sini dan didakwa mengikut Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 kerana berpakaian dan berlagak seperti perempuan untuk tujuan tidak bermoral.

Mohamad Arbah dihukum penjara sebulan dan denda RM500. Jika gagal membayar denda, dia akan dihukum penjara 14 hari.

Mohd. Fauze pula dihukum penjara enam bulan serta denda RM1,000, atau penjara sebulan jika gagal bayar denda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: