Thursday, April 23, 2009

Bohsia ' ketuk ' kesedaran masyarakat


SALAH satu babak Tasya lakonan Nabila Huda (duduk, kiri) dilanggar kereta yang dipandu Aisyah lakonan Diana Danielle (kanan).


MENGETENGAHKAN jalan cerita mengenai kehidupan dua bohsia bernama Tasya lakonan Nabila Huda dan Amy (Salina Saibi), filem terbaru arahan Syamsul Yusof iaitu Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam sememangnya sarat dengan unsur-unsur pengajaran.

Meskipun isu bohsia sudah lama diperkatakan, kehadiran filem dengan bajet RM1.5 juta itu dilihat bertepatan pada masa kini dalam 'mengetuk' kesedaran semua pihak agar peka terhadap persekitaran yang melingkari kehidupan keluarga dan masyarakat kita.

Tolak ketepi untuk berdebat soal mengapa adegan-adegan 'panas' dipersembahkan menerusi Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam, kerana realitinya itulah yang sebenarnya akan berlaku andai kita lupa kepada tanggungjawab menjaga nilai diri.

Terlibat dengan gejala dadah, pil khayal, pergaulan bebas, judi dan arak, semuanya itu merupakan 'ibu kehancuran' yang mampu merosakkan jiwa.

Bukan sahaja terletak pada ibu bapa, tanggungjawab menjaga nilai diri sebenarnya menuntut semua pihak termasuk diri sendiri supaya memikirkan akan baik buruk terhadap apa jua tindakan yang kita lakukan.

Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam, filem kritikan sosial yang menjalani penggambaran di sekitar Lembah Kelang bermula 20 Mac tahun lalu itu juga tidak lupa menyelitkan betapa lemahnya institusi kekeluargaan dalam menjaga 'tepi kain' anak remaja.

Bertambah menyedihkan, ada kalangan mereka yang tidak ambil endah serta sanggup menghancurkan masa depan anak sendiri dengan melakukan sesuatu yang di luar batas-batas agama.

Salleh (lakonan Nasir Bilal Khan) contohnya, akibat berjudi dan mabuk, dirinya hilang pertimbangan dalam menilai antara halal dan haram sehingga sanggup merogol anaknya sendiri iaitu Amy.

Itulah antara intisari dan contoh yang dapat dikupas mengenai filem berkenaan yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 23 April ini.

Selain Nabila, Salina, Nasir dan Syamsul, Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam turut membariskan pelakon seperti Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle, Lando Zawawi, Yazid Lim dan Adam Corrie.

Diterbitkan secara bersama antara Skop Productions Sdn. Bhd. dan Grand Brilliance Sdn. Bhd., ia merupakan filem kedua arahan Syamsul selepas Evolusi KL Drift (2008).

Selain 60 buah pawagam di seluruh negara, filem ini juga akan ditayangkan di beberapa pawagam di Singapura.

Menurut Syamsul, filem keduanya itu tampil berbeza dan memfokus kepada permasalahan remaja khususnya gejala bohsia.

Jelasnya, ia dihasilkan berdasarkan kepada pemerhatian dan kajiannya mengenai bohsia dan mat rempit di sekitar ibu negara.

"Sebenarnya, kalau hendak ditiru 100 peratus mengenai kehidupan bohsia, ia lebih teruk daripada yang dipaparkan dalam filem ini.

"Saya mengharapkan agar filem ini dapat memberi pengajaran kepada penonton,'' katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam di GSC Midvalley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Syamsul, di awal proses pembikinan filem tersebut, pihaknya mengalami permasalahan berkenaan pelakon yang hendak membawakan watak bohsia.

"Mujur Nabila dan Salina bersetuju dan berani untuk membawakan watak itu. Juga kepada pelakon-pelakon lain yang begitu komited dalam menghidupkan watak masing-masing,'' jelasnya sambil menambah Diana Danielle tidak dapat menghadiri siri promosi filem kerana terikat dengan latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ditanya mengenai babak sekumpulan mat rempit diketuai Muz membelasah Acai dan kumpulannya yang dilihat menyamai lagak filem-filem Hindi dan Hong Kong, Syamsul menjelaskan, itu merupakan elemen baru yang ingin diterapkan menerusi filem Melayu.

"Saya bukan meniru tetapi itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini,'' ujarnya mempertahankan karya terbarunya itu.

Ditanya mengenai sasaran penonton terhadap filem berkenaan, Syamsul berkata, dia menetapkan tiga perkara iaitu kepuasan diri dalam berkarya, jumlah kutipan tiket dan harapan filemnya balik modal.

"Harapnya filem ini berjaya mencatat kutipan yang tinggi. Kalau boleh jangan rugi agar saya dapat menghasilkan filem lagi pada masa depan,'' tambahnya.

Harapan Yusof Haslam

Sementara itu, bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam selaku penerbit Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam berkata, filem tersebut merupakan ekspresi anak muda yang tidak harus diperkecilkan.

"Pemikiran baru yang dilontarkan oleh pengarah muda perlu diberikan peluang dan sokongan. Apabila hendak menerbitkan filem ini, saya tidak boleh dibelenggu dengan aliran dahulu.

"Segalanya kini sudah berubah dan bakat pengarah muda janganlah diperkecilkan,'' katanya yang bangga apabila Evolusi KL Drift telah berjaya mencapai kutipan RM4.5 juta.

Menurut Yusof, Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam penuh dengan pengajaran dan penonton perlu mentafsirnya dengan positif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: