Wednesday, April 22, 2009

Dengarnya...: Produksi takut bayang-bayang sendiri


GELI hati betul Cik Normah mendengar cerita ini. Tergelak besar Cik Normah kerana tidak menyangka masih ada pihak yang berfikiran primitif dan takut dengan bayang-bayang sendiri.

Apabila terjadi hal ini, teringat Cik Normah akan pepatah lama iaitu jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Untuk tidak terus berkias, Cik Normah ceritakan saja perkara sebenar.

Cik Normah terasa lucu dengan telatah pasukan produksi sebuah program realiti ini. Mana tak terasa lucunya, sudah bertahun pengalaman menerbitkan program realiti pun masih bersikap keanak-anakan.

Gara-gara keluar gosip kurang enak mengenai produksi mereka, produksi itu melatah bagai nak gila. Puas keliling kampung dia bertanya siapa yang menyebar cerita hal dalam kain mengenai produksi mereka.

Yang buat Cik Normah nak ketawa, sudah namanya gosip buat apalah nak dipedulikan sangat. Pejam mata, tutup telinga sudahlah. Kalau perkara yang ditulis itu tidak benar, pejamkan sajalah mata itu.

Ini tidak, dia pun sama melatah gara-gara keluarga seorang peserta mengamuk apabila gosip itu keluar di akhbar. Kalau dia pun dua kali lima dengan keluarga yang baru nak kenal asam garam dunia hiburan, mahu tak porak peranda produksi itu.

Buat apa nak dilayan pertanyaan keluarga peserta itu. Kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang. Sendiri makan pengat, sendiri mahu ingatlah!

Pelik betul kerana program itu sudah bermusim dibuat. Selama ini pelbagai lagi gosip keluar, lebih buruk daripada itu pun ada, tapi tak ada pula yang melenting dan mengamuk. Hairan sangat Cik Normah dengan produksi berkenaan.

Mungkin dia lupa kontroversi juga sebahagian daripada publisiti. Kalau mahu hanya yang baik ditulis, baik buat program lain. Tak payah lagi buat program realiti yang sememangnya sinonim dengan kontroversi!!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: