HIDUP ini memang ibarat roda. Ada ketika kita di atas dan ada masanya kita berada di bawah. Dan Cik Normah sendiri memang percaya dengan kata-kata hikmat itu sebab ia pernah berlaku di depan mata.
Terlanjur bercakap mengenai pepatah popular itu, ingin Cik Normah hendak kaitkan kehidupan seorang artis yang kini khabarnya semakin terpinggir dari segi populariti.
Bukan Cik Normah kata dia tak popular, tapi sejak dua menjak ini, namanya semakin malap dalam dunia hiburan. Tak seperti suatu ketika dulu yang pernah gah sehingga khabarnya mahu menawan persada seni antarabangsa.
Lebih menyedihkan apabila dikhabarkan bahawa persembahan Minggu Setiausaha yang akan dijayakannya tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Senang cerita, tak laku.
Hairan juga Cik Normah apabila mendapat tahu mengenai perkara ini kerana setahu Cik Normah dulu, setiap kali dia muncul dengan persembahan seperti ini, tiketnya laku macam goreng pisang panas.
Tapi apabila mengenangkan yang penyanyi ini yang tak pernah lekang daripada kontroversi, jadi Cik Normah akur dengan apa yang berlaku. Cuma Cik Normah kasihanlah andai benar ini berlaku, bermakna penyanyi itu terpaksalah membuat persembahan di depan 10 orang tetamu yang kebanyakannya adalah mereka yang memang rapat dengannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: