Tuesday, April 21, 2009

Dengarnya...: Perbezaan antara Tomok dengan Isma


KETIKA ini, peserta adik-beradik, Tomok dan kakaknya, Isma, bagai sedang bersaing sesama sendiri untuk bergelar juara dua program realiti berbeza. Jika Tomok sedang melangkah maju dalam pertandingan One In A Million (OIAM) musim ketiga, Isma pula mendahului carta pelajar Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7).

Bagaimanapun, jika dibandingkan antara kedua-duanya, Cik Normah dapat rasa lebih ramai peminat bercerita mengenai Tomok buat masa ini. Iyalah, saban minggu, ada saja kejutan dilakukan peserta lelaki berusia 24 tahun itu sewaktu mengadakan persembahan. Pendek kata, penonton ternanti-nanti kemunculannya.

Cik Normah sendiri tidak pernah bosan melihat aksi Tomok di pentas. Susah hendak jangka, apa lagi yang dia boleh buat pada lagu yang akan dipersembahkan. Tomok bagai keluar daripada kepompong diri sendiri apabila dia mengadakan persembahan secara berseorangan.

Maklumlah, mungkin ketika bersama kumpulannya dulu, New Boyz, dia banyak terikat dengan kemahuan syarikat rakaman. Kini, dia bebas melakukan apa saja yang bersesuaian dengan kemampuan dirinya.

Kini, Tomok ialah antara peserta OIAM3 yang dilihat berupaya melangkah ke final, seterusnya berpeluang merebut wang RM1 juta yang ditawarkan sebagai habuan. Kita pakat tengoklah macam mana kesudahan cerita si Tomok ini, apabila program terbabit tinggal dua episod saja lagi.

Isma pula, biarpun mampu menyanyi dengan baik, tetapi Cik Normah rasa, dia tidak mempunyai sesuatu yang boleh mengingatkan orang ramai kepada dirinya. Apatah lagi apabila pengkritik dan peminat sering menyamakannya dengan Datuk Siti Nurhaliza.

Berapa ramai artis klon yang bertahan dalam industri? Mungkin untuk satu atau dua album, mereka boleh popular. Namun, peminat akhirnya mencari keaslian dalam seseorang penyanyi.

Cik Normah harap sangat agar Isma boleh mencontohi adik lelakinya itu apabila tiba ke bab menyanyi. Paling tidak, Tomok sudah mula nampak kekuatannya sebagai artis. Dia boleh menggubah sesebuah lagu menjadi miliknya. Dia boleh menguasai pentas dan penonton yang berada di depannya. Faktor itulah yang meletakkan dirinya di depan, walaupun kakaknya sentiasa berada di tangga teratas carta pelajar AF7.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: