Datin Seri Tiara Jacquelina perjelas kritikan mengenai pilihan lagu, imej pelajar AF
JIKA selama ini ada yang menganggap fakulti Akademi Fantasia 7 memainkan peranan utama dalam menentukan imej pelajar dan tugasan lagu sebagai cabaran untuk pelajar, sila buang jauh-jauh tanggapan itu kerana menurut pengetua Datin Seri Tiara Jacquelina, mereka tidak mempunyai kata putus berhubung perkara itu.
Kata-kata itu terpacul juga dari mulutnya selepas dia menerima pelbagai komentar media dan penonton yang menurutnya terlalu banyak bertanyakan hal itu.
"Terlalu banyak soalan yang ditanyakan kepada saya. Contohnya, kenapa bagi pelajar pakai macam itu? Kenapa nyanyi lagu itu? Tak ada lagu lainkah? Sehinggakan saya sendiri tidak tahu hendak jawab apa kerana fakulti sendiri tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan apa-apa.
"Sebaliknya sebarang keputusan kami kena berbincang dengan pihak produksi atau Astro," jelas Tiara yang ternyata cukup tertekan apabila diasak dengan soalan sebegitu.
Menurut Tiara lagi, fakulti hanya diberi mandat untuk menumpukan perhatian terhadap hal pembelajaran saja.
"Jadi selepas ini saya harap mereka memahami situasi saya kerana apa yang berlaku bukannya atas kehendak fakulti semata-mata, tetapi kami mengambil pandangan pihak produksi sendiri kerana mereka juga ada alasan sendiri atas keputusan yang dibuat," kata Tiara meleraikan salah faham yang berlaku.
Tegas Tiara, bukan niatnya untuk bersikap tidak mahu campur tangan atau cuba melepaskan diri sambil menuding jari kepada pihak tertentu apabila ada kritikan yang dilontarkan, tetapi tindakannya itu sekadar menjelaskan situasi sebenar yang mungkin orang di luar tidak tahu.
"Saya bukan mahu menyalahkan sesiapa cuma sekadar ingin menjelaskan hal sebenar. Contohnya macam pakaian, saya tahu ada ketikanya pakaian yang dipakai pelajar kelihatan tidak sesuai dengan imej mereka.
"Tapi saya tahu bukan mudah untuk pihak penata gaya mencari pakaian yang sesuai dalam masa yang singkat. Itu tidak termasuk masalah tidak mendapat penaja dan sebagainya. Bayangkan bagaimana seorang penata gaya terpaksa mencari banyak pakaian dalam masa yang sangat suntuk.
"Begitu juga dengan soal lagu. Saya faham ada yang tidak puas hati dari segi pemilihan lagu yang dinyanyikan pelajar. Ini juga satu proses yang amat sukar. Senarai lagu perlulah dipersetujui pihak produksi terlebih dulu. Kemudian barulah ke peringkat seterusnya iaitu meminta kebenaran dari pemilik hak lagu yang kadang-kadang mengambil masa.
"Selepas disusun muziknya, barulah diberikan kepada fakulti sebelum diserahkan ke tangan pelajar. Kalau kami merasakan lagu itu tidak sesuai untuk seseorang pelajar, kami akan bangkang.
"Bagaimanapun, perkara itu jarang berlaku kerana kami faham, jika kami mahu tukar lagu, ia akan memakan masa yang agak lama kerana terpaksa melalui proses asal yang memang mengambil masa," jelas Tiara panjang lebar.
Disebabkan hal itu, kata Tiara sama ada suka atau tidak, apa saja lagu yang diberikan kepada fakulti mereka perlu menerimanya memandangkan situasi sukar yang mereka hadapi itu.
"Namun, dalam hal menentukan imej pelajar, ada ketika saya akan bersuara kerana ia membabitkan tujuh syarat yang pernah saya nyatakan sebelum ini. Umpamanya, apabila saya mengambil keputusan untuk mencabut gigi Claudia dan Aishah, saya terpaksa menjelaskan kepada pihak produksi mengenai keperluan itu dan mujurlah mereka menerimanya," katanya yang berusaha mendapatkan tajaan bernilai hampir RM50,000 untuk proses ‘make over’ dua pelajar itu.
Untuk konsert minggu keenam ini, peserta perlu menyanyikan lagu asal kumpulan yang mengiringi persembahan mereka malam itu. Bagaimanapun, yang menjadi persoalannya mengapa pihak produksi membenarkan penyanyi asal turut serta mengiringi peserta menyanyi.
Bagi menjawab persoalan itu, Ketua Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, berkata objektif mereka menampilkan penyanyi asal di atas pentas adalah untuk menguji sejauh mana kehebatan peserta mengawal situasi dan pada masa yang sama tidak tenggelam dengan kemunculan penyanyi berkenaan.
Walaupun kedengaran agak murni hasrat itu, namun adalah lebih baik jika mereka membiarkan semua peserta menyanyi sendirian bersama kumpulan kerana dengan cara itu kita dapat melihat apakah mereka mampu menghidupkan persembahan seperti yang dilakukan Aril dan Qhaud yang hanya menjadikan keadaan lebih haru biru.
Penyingkiran Qhaud ditangisi
PENGETUA menyifatkan jejaka ini sebagai seorang yang baik. Malah, persembahannya malam itu cukup meyakinkan penonton apabila lagu Seruan yang dinyanyikannya cukup sedap didengar dan berjaya mendapat pujian.
Namun pada hakikatnya, sedap atau tidak, bagus atau sebaliknya, semuanya ditentukan oleh pengundi. Dan Mohd Qhaud Abdul Rashid atau Qhaud menerima ‘hukuman’ atas persembahan cemerlangnya itu apabila menjadi peserta ketujuh tersingkir.
Biarpun si empunya diri tenang dengan keputusan itu, namun hakikat itu amat berat untuk diterima apabila dua tenaga pengajar, Cikgu Fatimah Abu Bakar dan Siti Hajar serta Tiara sendiri dilihat mengalirkan air mata.
"Qhaud seorang pelajar yang bagus. Malah kami semua bersepakat untuk memilih dia sebagai pelajar cemerlang malam ini. Sejujurnya saya memang sedih dengan penyingkirannya kerana dia menunjukkan persembahan cemerlang.
"Apa yang membuatkan saya sedih, dia adalah seorang yang rajin dan kalau dia dapat sesebuah lagu itu, dia akan mengkaji makna liriknya dengan mendalam. Lebih menyedihkan apabila dialah yang akan mengetuai bacaan doa sebelum konsert bermula," tuturnya sambil menyeka air mata di pipi.
Sementara itu, Qhaud berkata, dia reda dengan keputusan penonton sambil bersyukur kerana diberi peluang untuk berada di AF dan menimba ilmu.
"Selepas ini kalau diberi peluang merakamkan album, saya lebih selesa memilih konsep ketuhanan dan tasawuf. Pun begitu, saya juga boleh menyanyikan lagu berirama lain juga," kata jejaka berusia 25 tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: