Wednesday, April 15, 2009

Dengarnya... Pengurus lebih sudu dari kuah


SIKAP pentingkan diri sendiri seorang pengurus artis ini sudah lama Cik Normah dengar. Ada saja gelagatnya yang memeningkan kepala banyak pihak. Sudah kerjanya menguruskan artis, jalankan saja tanggungjawab yang diamanahkan.

Ini tidak, dia pula yang lebih sudu daripada kuah. Baru-baru ini, Cik Normah dapat tahu pengurus ini sudah mengecewakan hati teman baiknya sendiri. Awalnya, pengurus itu beriya-iya berjanji untuk membantu satu kerja amal yang diusahakan oleh seorang artis popular ini.

Artis tadi bersimpati dengan nasib malang anak-anak kecil yang menghidap pelbagai penyakit kronik. Atas rasa tanggungjawab sebagai seorang insan, dia pun mengumpul beberapa selebriti untuk turut serta dalam kerja amal itu.

Ada juga artis yang dijemput tidak dapat ikut serta kerana terikat dengan komitmen lain. Tapi dari awal mereka sudah memaklumkan, malah tidak lokek menghulur seringgit dua untuk menggembirakan hati kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, pengurus artis yang dari awal memberikan kata persetujuan mula buat hal sejam sebelum lawatan dibuat. Dia menarik diri pada saat akhir kerana mempunyai kerja lain.

Disebabkan kecewa dengan sikap pengurus artis ini, selebriti tadi pun mula merisik apa punca mereka menarik diri. Meruntun hati artis itu apabila mendapat tahu pengurus berkenaan enggan turut serta hanya kerana ingin menonton persembahan artis baru dari luar negara yang kebetulan menyanyi pada waktu sama.

Yang membuat dia lebih kecewa, pengurus itu turut mengheret artis naungannya bersama sebagai ‘lesen’ untuk dia menyaksikan persembahan itu percuma.

Agaknya pengurus itu sedar diri jika bukan kerana populariti artisnya, siapa yang akan memberi kebenaran untuk dia masuk percuma.

Cik Normah tak rasa pelik pun dengar cerita itu kerana ini bukan kali pertama dia buat hal. Banyak masalah lain pernah ditimbulkannya, cuma malas Cik Normah nak senaraikan satu persatu. Patutlah ada seorang artis itu sanggup menguruskan dirinya sendiri walaupun sudah lama bekerjasama dengan pengurus tadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: