SYAMSUL mahu masyarakat tidak cepat menghukum filem Bohsia kerana filem terbarunya itu sarat dengan elemen moral. |
Syamsul dakwa perkataan Bohsia digunakan supaya tema filemnya difahami secara jelas
BOHSIA, judulnya saja sudah mampu mengundang kontroversi. Itu belum lagi menyaksikan filemnya kerana khabarnya, bersesuaian dengan judul serta kerana ingin memaparkan isu yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dulu, filem arahan anak pengarah terkenal, Datuk Yusuf Haslam iaitu Syamsul, padat dengan adegan ranjang.
Malah keberanian pelakonnya melakukan aksi panas itu membuatkan ramai percaya bahawa Syamsul sebenarnya mempertaruhkan adegan seperti itu semata-mata kerana ingin menarik perhatian penonton untuk menyaksikan buah tangan terbarunya itu.
Andai benar itulah tujuan asalnya, ternyata Syamsul berani bermain api kerana sudah pasti Bohsia bakal mencetuskan kontroversi serta polemik yang berlarutan. Silap percaturan, kredibilitinya sebagai pengarah muda tentu akan tercalar.
Namun ketika diajukan pertanyaan ini kepada si empunya diri, Syamsul meminta supaya masyarakat tidak lekas menjatuhkan hukuman ke atas filemnya sebelum menyaksikannya sendiri.
Hip: Bohsia, tajuknya saja sudah cukup kontroversi. Boleh komen sikit?
| SYAMSUL sempat bertanya khabar Diana Danielle pada ABPBH 2008. |
Syamsul: Sebelum saya bercerita dengan lebih panjang lebar lagi, ingin saya jelaskan di sini bahawa Bohsia bukan filem yang hanya memaparkan kisah Bohsia semata-mata tetapi ia turut membongkar kisah mat rempit, lumba haram yang selama ini memang wujud dalam masyarakat kita. Sebenarnya tajuk filem ini bukan saja Bohsia tetapi ada sambungannya iaitu Jangan Pilih Jalan Hitam. Jangan menilai buku itu berdasarkan muka depannya semata-mata. Apa yang boleh saya katakan filem ini padat dengan mesej serta ada moral di sebalik apa yang berlaku. Apabila mengarahkan filem ini, saya terlebih dulu membuat kajian, turun ke Dataran Merdeka jam 2 atau 3 pagi untuk melihat terbabit sendiri bagaimana kehidupan mereka yang terbabit dalam gejala sosial seperti ini.
Hip: Masyarakat kita hari ini selalunya tidak begitu kisah dengan elemen moral yang diselitkan. Bagi mereka melihat adegan ranjang atau aksi panas pelakon filem ini memberi kepuasan buat mereka. Apakah Syamsul mengambil kesempatan dalam hal ini atas nama komersial?
Syamsul: Saya akui, filem ini memang ada memaparkan dengan ranjang. Malah filem ini turut diklasifikasikan sebagai 18PL. Ia pertama kali diberikan memandangkan filem ini padat dengan adegan ganas. Tidak dinafikan adegan ranjang dalam Bohsia memang panas. Tapi ini bukanlah rencah utama untuk menarik penonton ke pawagam tetapi apa yang dipaparkan itu adalah bersesuaian dengan jalan cerita terbabit.
Hip: Ketika filem ini dibuat, Syamsul dan Diana Danielle, masih lagi pasangan kekasih. Apakah dengan situasi sekarang akan menjejaskan promosi filem itu?
Syamsul: Semua tahu Diana sedang mengikuti Program Khidmat Latihan Negara (PKLN). Ia hanya berakhir pada Jun ini. Dalam keadaan itu saya akur memang agak sukar untuk dia hadir dalam promosi filem ini. Tapi bukan untuk filem ini saja, filem lain yang membabitkan dia juga turut berdepan masalah serupa. Mujurlah dalam filem ini dia hanya pelakon pembantu, jadi kalau dia tak ada, tak kisah sangat. Mengenai ketidakhadiran Diana sewaktu majlis pratonton Bohsia kelmarin, saya dimaklumkan dia terpaksa pulang ke kem pada hari yang sama kerana dia hanya mendapat surat pelepasan untuk menghadiri Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2008) saja.
Hip: Bagaimana hubungan kalian ketika ini selepas apa yng berlaku?
Syamsul: Hubungan kami macam biasa. Kami tetap kawan. Bagi saya, apa yang berlaku biarlah berlaku. Kalau boleh saya tak mahu ingat kembali cerita lama dan mahu memadamkannya dari kotak ingatan. Apabila berkaitan soal kerja, saya tetap profesional. Malah, kalau saya mengarahkan filem baru dan ada watak yang sesuai untuknya, tidak mustahil saya menawarkan watak itu padanya.
Hip: Sudah ada pengganti?
Syamsul: Belum. Buat masa ini saya lebih senang bersendiri. Bukannya serik tetapi kerana saya ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya saya yang semakin rancak. Saya tidak mahu mencari dan sekiranya ada jodoh, biarlah ia datang dengan sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: