Wednesday, April 15, 2009

Dengarnya... Antara pereka tamak, eksperimen pelik



Sharifah Shahirah

CIK Normah nak ucapkan terima kasih kepada Sharifah Shahirah kerana menyebut nama Cik Normah dan Kak Pora ketika mengacarakan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008). Iyalah, siapa Cik Normah kalau dibandingkan dengan barisan artis yang datang pada malam itu.

Cik Normah tengok Shahirah pun nampak anggun walaupun dalam keadaan mengandung. Walaupun celotehnya sederhana saja, tetapi masih juga boleh mencuit penonton untuk senyum dan ketawa.

Bercerita mengenai ABPBH 2008, Cik Normah berasa terkilan, kasihan pun ada bila mendengar kisah seorang penyanyi yang kecewa kerana kesediaannya untuk bekerjasama dengan seorang pereka muda menjadi petaka buat dirinya.

Biarpun tidak tersenarai dalam Top 5, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, penyanyi tadi tetap bersedia memenuhi jemputan untuk memberikan sokongan.

Dia pun bertemu seorang pereka muda untuk berbincang mengenai gaya yang diinginkan. Banyak idea diberikan kerana masing-masing mahukan kepuasan. Lagi pun, penyanyi ini memang dikenali sebagai seorang yang bijak bergaya.

Tetapi lain pula jadinya apabila tiba hari yang dijanjikan. Penyanyi ini begitu bersemangat untuk berjalan di permaidani merah biarpun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan. Tapi dia tetap kuatkan juga semangat kerana tidak mahu mengecewakan penganjur.

Selesai bersolek, pakaian yang dijanjikan itu pun tiba di kamar penginapannya. Muka penyanyi tadi yang awalnya ceria berubah sebaik melihat persalinan yang ada di depan matanya.

Mahu tak terkejut kerana lain yang dijanjikan, lain pula yang menjadi. Sudahlah warna bajunya kusam, perincian juga tidak seperti yang mereka bincangkan membuatkan penyanyi tidak mahu menggayakannya.

Disebabkan tidak mahu merosakkan nama pereka berkenaan, penyanyi wanita ini membatalkan saja niatnya untuk ke acara gemilang itu. Dia pun tidak mahu memalukan dirinya sendiri kerana bimbang menjadi cercaan pengulas fesyen.

Dengan wajah yang sudah disolek rapi dan dalam keadaan terkilan, penyanyi tadi memandu pulang ke Kuala Lumpur dan memilih untuk menonton siaran langsung acara menerusi kaca televisyen saja.

Dulu pun pernah berlaku satu insiden membabitkan pereka berkenaan dengan artis baru. Tak sangka pula Cik Normah kali ini berlaku lagi. Sebenarnya Cik Normah sudah dengar macam-macam cerita fasal pereka ini sepanjang ABPBH 2008. Ada pereka yang tamak konon ambil tempahan banyak akhirnya tak sempat siap dengan sempurna. Buat ‘cincai’ saja. Ada pula pereka yang menggunakan ABPBH 2008 jadi medan untuk bereksperimen dengan mereka fesyen pelik-pelik sehingga jadi entah apa-apa. Yang malu dan dipersalahkan artis juga, kononnya mereka tidak tahu berfesyen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: