CIK Normah rasa sudah lama peminat penyanyi kelahiran Barbados, Rihanna menanti waktu untuk melihat dia beraksi di Malaysia. Selepas konsertnya yang dijadualkan pada 13 Februari lalu dibatalkan pada saat akhir gara-gara dipukul kekasihnya, Chris Brown. Tunggu juga bila tarikh baru yang akan dimaklumkan penganjurnya, Pineapple Concert Sdn Bhd, tapi sampai ke sudah senyap begitu saja.
Silap hari bulan, tak jadi langsung dan Cik Normah harap peminat penyanyi lagu Umbrella dan Unfaithful ini jangan bergantung harap sangat. Tak mustahil konsert yang sedang ditunda ini tidak akan direalisasikan di negara kita.
Sebelum ini, kawan Cik Normah ada tulis artikel mengenai pihak penganjur nak umumkan tarikh baru konsert itu pada 12 Mac lalu, tapi sekarang sudah masuk April, mana dia?
Kasihan kawan Cik Normah yang baru pulang dari Australia semata-mata nak tengok persembahannya di Malaysia. Siap berpakat dengan temannya yang lain nak bawa payung dan bergaya ala Rihanna. Cik Normah pun antara yang cukup mengagumi bakat penyanyi ini, tapi Cik Normah beritahu dia jangan berharap sangat, nanti tak jadi makan hati pula.
Menurut firasat Cik Normah konsert ini berkemungkinan tak akan jadi langsung. Iyalah dah berbulan-bulan pihak penganjur cuba mencari tarikh baru, tapi hingga sekarang macam tak menentu keadaannya. Tak jadi pun tak apa, lebih baik kita semua sokong artis tempatan yang bakat pun tak kurang hebat, cuma biasalah selalu dianaktirikan di negara sendiri.
Bab diskriminasi ini, Cik Normah malas nak komen panjang. Sudah berbuih mulut Cik Normah bercakap mengenai sikap sesetengah daripada orang kita yang tak yakin untuk menganjurkan persembahan artis tempatan. Tapi kalau yang luar negara, tetap sanggup.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: