Friday, April 3, 2009

Dengarnya...: Promoter minta bayaran enam angka?


DALAM sibuk Cik Normah menyiapkan artikel mengenai Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang akan berlangsung tak lama lagi, tiba-tiba seorang teman terkedek-kedek datang ke meja Cik Normah. Dah agak dah, daripada cara dia berjalan, mesti ada cerita hendak disampaikan.

Maklumlah, apabila sudah bertahun-tahun buat kerja macam ini, Cik Normah dah boleh baca gerak-geri rakan, sama ada mereka datang saja-saja atau hendak menyampaikan berita. Kedua-duanya memang Cik Normah alukan, terutama yang kedua itu.

Demi menyiapkan ruangan, katakan.

Kata teman Cik Normah tadi, dia terkejut besar apabila seorang promoter konsert minta jumlah yang boleh dikatakan agak tinggi daripada pihak pengurusan sebuah lokasi persembahan terkenal. Kononnya, mereka akan mengadakan kerjasama untuk ke sekian kalinya.

Paling baru, si promoter dikatakan akan mengadakan sebuah konsert yang menggabungkan beberapa kumpulan terkenal di tempat berkenaan. Jadi, si promoter ini pun mintalah pengurusan tempat itu menyediakan peruntukan berjumlah enam angka untuk persembahan terbabit.

Wah, banyak pula yang diminta oleh penganjur pertunjukan tu? Dia hendak buat apa dengan peruntukan sebanyak itu? Pihak pengurusan tempat itu pula ada ke wang sebanyak itu? Pengurusan ini bukanlah sebuah syarikat korporat atau firma besar pun. Lagi pun, pihak pengurusan tempat itu sudah pun menyediakan lokasi, kenapa pula mereka hendak mengeluarkan belanja pula? Isy... Cik Normah tak fahamlah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: