Friday, April 3, 2009

ABPBH 2008: Artis popular di Klang Parade

TINGGAL lebih kurang seminggu saja lagi sebelum malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 menyingkap tirainya dan selepas menjelajah lima destinasi ke seluruh Semenanjung Malaysia akhirnya siri promosi ABPBH 2008 sampai ke penghujungnya dan pusat membeli belah, Klang Parade, Klang Selangor akan menjadi persinggahan terakhir rombongan ini.

Lima lokasi dijelajahi sebelum ini iaitu Village Mall, Sungai Petani, Kedah; Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, Johor; Mydin Mall, Kuala Terengganu, Kuantan Parade, Pahang dan Batu Pahat Mall, Batu Pahat Johor menunjukkan sambutan hebat pembaca di luar jangkaan.

Jika sebelum ini pembaca akhbar ini hanya berpeluang melihat kemeriahan dan betapa happeningnya acara promosi ini apabila mereka menjelajah di lima destinasi terpilih kali ini peluang untuk beramah mesra dengan artis, merakamkan gambar kenangan, menyaksikan mereka membuat persembahan serta mendapatkan barangan eksklusif keluaran Berita Harian Sdn Bhd (BHSB),.

Pengurus Promosi dan Pemasaran Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Mas Ayie Mas Omar berkata acara promosi yang akan berlangsung selama tiga hari mulai hari ini itu juga akan menjadi sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh mereka yang terpilih sebagai juara Bintang Idola Berita Harian di setiap lokasi .

"Ini kerana pada hari Ahad, 5 April nanti akan menjadi penentu kepada mereka siapakah yang akan layak untuk membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Kota Keriangan Genting Highlands.

"Seramai enam peserta termasuk juara yang dipilih sewaktu siri promosi di Klang Parade akan turut bertanding pada hari itu.Bukan itu saja, malah siri promosi terakhir ini akan menyaksikan kehadiran paling ramai finalis dan terdiri daripada nama-nama besar dalam industri hiburan tanah air,"kata Ayie kepada Hip.

Antara artis yang terbabit dalam siri promosi itu nanti ialah Mawi, Saiful Apek, Aizat, Stacy, Meet Uncle Hussain, Liyana Jasmay, Nubhan, Vanidah Imran, Fahrin Ahmad, Scha, Aaron Aziz, Adam, Nurul Alis, Dynas, Kenchana Dewi, Ayu OIAM, Fizo Omar, Elyana, Noorkhiriah, dan acara ini akan dikendalikan oleh penyampai Hot FM, Tini serta dibantu bekas peserta Raja Lawak, Along dan Angah.

Selain itu kata Mas Ayie, peminat juga berpeluang mendapatkan pelbagai cendera mata dan barangan eksklusif Berita Harian selain memenangi undangan ke acara kemuncak ABPBH 2008.

Untuk kemuncak acara, peminat disajikan dengan pelbagai persembahan hiburan serta kemunculan artis kesayangan mereka untuk menyertai pelbagai permainan dan aktiviti menarik.

Menurut Ayie lagi, lebih istimewa lagi, mana-mana pembaca yang ingin menghadiri acara kemuncak ABPBH, bolehlah menukar kupon yang disertakan di dalam akhbar Berita Harian kepada tiket di kaunter yang akan disediakan pada hari berkenaan.

"Pada hari Sabtu nanti, pembaca bolehlah menukarkan kupon yang disertakan sejak Rabu lalu di kaunter BH yang disediakan. Kaunter akan dibuka mulai jam 10 pagi hingga 12 tengah hari. Untuk setiap keratan kupon pembaca berpeluang mendapat dua keping tiket.

"Dan bagi mereka yang tidak berpeluang berbuat demikian pada hari itu, bolehlah hadir ke Tingkat 4, Jabatan Pemasaran NSTP pada hari Isnin ini untuk tujuan yang sama. Waktu masih sama iaitu dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari,"ujar Ayie.

Berdasarkan kepada nama besar serta populariti yang dimiliki artis yang membuat persembahan pada hari itu, Ayie yakin sambutan yang akan mereka terima kelak cukup menggalakkan dan pastinya acara itu nanti akan meninggalkan seribu kenangan manis buat mereka yang hadir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: