Monday, April 13, 2009

Cheryl kekal terajui Ghost


LEBIH menyeramkan. Cheryl (tengah) bersama tenaga barisan lakonan Ghost musim kedua.


Masihkah anda ingat dengan siri Ghost lakonan Cheryl Samad dan Nazrudin Rahman yang ditayangkan di 8TV sebelum ini? Pertengahan bulan April ini, Ghost kembali mengisi hari-hari anda dengan musim kedua yang pastinya lebih mendebarkan!

"Ghost kini kembali dengan musim terbaru yang bakal melarutkan anda menerusi plot yang lebih menarik dan mendebarkan," ujar Pengurus Besar Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim.

"Musim terbaru ini lengkap dengan elemen suspen menampilkan watak-watak baru bagi menjadikan jalan cerita lebih menarik dan bertenaga," tambahnya.

Tenaga lakonan utama Ghost, Cheryl dan Nazrudin sekali lagi digandingkan masing-masing bagi menghidupkan watak Eza dan Zack.

Memperkuatkan tenaga lakonan Ghost musim terbaru ini ialah Fairil Emran (Fariz), Anding Indrawani (Alam), Isma Hanum (Harum), Melissa Campbell (Alicia Soo), Zahiril Adzim (Ridzuan) dan Colin Kirton (Edmund Soo).

Kisah yang dipaparkan kali ini bermula selepas dua tahun kes pembunuhan Zack berlaku. Kehidupan Eza berjalan seperti biasa.




Kerjayanya sebagai wartawan semakin berkembang dan kehidupan peribadinya juga berjalan dalam keadaan yang baik sehinggalah apabila dia ditugaskan menyiasat misteri kehilangan Alicia Soo, seorang gadis cantik anak kepada seorang peguam terkenal, Edmund Soo.

Berpandukan petunjuk yang diperolehinya, Eza akhirnya bertemu dengan Harum. Eza berasa cukup pelik kerana dapat melihat Harum yang sebenarnya sudah lama meninggal dunia. Kini, Eza cuba menyiasat misteri kematian Harum pula.

Eza menyenaraikan banyak nama-nama suspek berkait misteri kehilangan Alice dan akhirnya mendapati Alicia dan Harum merupakan adik-beradik tiri dan berkongsi bapa yang sama iaitu Edmund.

Pada masa yang sama, gambar-gambar mangsa pembunuhan sering bermain di fikiran Eza dan masing-masing mempunyai satu persamaan iaitu mempunyai ukiran hati di pergelangan tangan masing-masing.

Siapakah pembunuh yang dicari-cari Eza? Eza berusaha untuk menyelesaikan kes yang rumit itu dan mendapati semua kes itu berkait antara satu sama lain.

Bagi mengetahui kisah Eza dengan lebih lanjut, jangan lupa untuk menyaksikan Ghost musim ke-2 bermula 19 April ini, pukul 10.30 malam di 8TV dan Astro (708) serta di telefon bimbit anda menerusi www.mobile.8tv.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: