Monday, April 13, 2009

Berakhirnya pengaruh muzik seberang




BARANGKALI terlalu awal untuk menghukum, jauh sekali meletakkan tanda noktah betapa pengaruh muzik dari Indonesia sudah tidak lagi relevan di kalangan peminat muzik Malaysia ketika ini.

Namun, pandangan skeptikal itu ternyata sukar dikikis semasa menyaksikan Konsert Johor Tour of Sound 2009 di Stadium Bandaraya Johor Bahru, malam Sabtu lalu.

Persembahan Meet Uncle Hussain (MUH) dari Malaysia dan band yang tidak asing lagi dari Indonesia, Samsons dilihat seolah-olah satu 'perlawanan persahabatan' bagi menunjukkan siapa sebenarnya yang paling berpengaruh di negara kita.

Tidak perlu memberikan jawapan mengenai band manakah sebenarnya jaguh atau yang lebih mencuri tumpuan pada malam itu.

Cukuplah sekadar menyaksikan majoriti 3,000 penonton yang hadir pada konsert tersebut bagaikan diserang histeria menjerit perkataan, "Hussain! Hussain! Hussain!" semasa MUH beraksi, manakala persembahan Samsons pula dilihat lebih menarik perhatian gadis-gadis terutama warga Indonesia.


MEET UNCLE HUSSAIN membuktikan peminat tempatan mampu beralih arah untuk lebih menghargai bakat seni artis tempatan.


Memang betul, pentas Konsert Johor Tour of Sound 2009 dikira agak kecil sekiranya dibandingkan dengan apa yang telah diraih oleh Samsons yang telah ditubuhkan sejak 2000. Itu hakikat yang tidak wajar dipertikaikan.

Namun dari sudut positif, sekurang-kurangnya itu satu petanda kepada penganjur-penganjur lain supaya membuka mata betapa Malaysia sendiri sudah ada band yang tidak kurang hebatnya.

Samsons kurang impak

Menghayati lagu-lagu Samsons sebelum ini, harus diakui muzik dan lirik yang mereka terjemahkan begitu dekat dengan jiwa peminat-peminat mereka. Namun pada malam konsert tersebut, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Entah di mana silapnya, persembahan Samsons kali ini terasa hambar dan kurang impak.

Keadaan itu dilihat agak berbeza berbanding semasa mereka membuat persembahan di ibu negara beberapa tahun dahulu. Faktor sistem audio yang kurang memberangsangkan juga sedikit sebanyak mencacatkan persembahan mereka.




Mujurlah vokalis Samsons, Bam bijak menceriakan suasana. Diakui, Bam sememangnya individu yang cukup bijak bermain dengan kata-kata. Setiap ruang persembahan yang terasa kosong diisi sebaik mungkin dengan celoteh dan interaksinya bersama penonton.

Malah, Samsons juga cukup bertuah apabila beberapa lagu popular mereka seperti Kenangan Terindah, Kisah Tak Sempurna dan Bukan Diriku berjaya menggamit perhatian penonton untuk turut serta menyanyi sehingga akhir persembahan.

Selain itu, Samsons juga menghiburkan penonton dengan beberapa lagu lain yang termasuklah Seandainya, Akhir Rasa Ini, Di Penghujung Muda, Naluri Lelaki, For You, Tak Bisa Memiliki, Luluh dan Hei Gadis.

MUH penuh bertenaga

Umum sudah mengetahui vokalis MUH, Lan menderita penyakit tiroid sehingga kadang-kadang terpaksa disorong dengan kerusi roda.

Namun pada konsert anjuran Rentasche Carriers Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Tourism Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Celcom, Air Asia dan Kedutaan Republik Indonesia itu, persembahan Lan bersama Taja, Afat dan Bakri sememangnya cukup terasa kelainannya.




Menyedari penonton yang gelisah gara-gara konsert dimulakan lewat setengah jam daripada jadual iaitu sepatutnya pukul 9 malam, MUH yang terdahulu beraksi sebelum Samsons dilihat bersahaja menjadikan pentas seolah-olah milik mereka sepenuhnya.

Jeritan "Hussain! Hussain! Hussain!" seolah-olah satu tonik buat empat anak muda Kuala Lumpur ini untuk terus bertenaga membuat persembahan.

Disifatkan seribu dalam satu oleh Taja, vokal Lan sememangnya tidak mengecewakan ketika menyampaikan lagu-lagu popular mereka seperti Pura-Pura, Halusinasi, La La Kerjalah, Hilang dan Pari-Pari Bawah Angin.

Mungkin ramai yang tidak sedar dan percaya Lan hanya meneguk air sekali sahaja sepanjang persembahan walaupun menyanyikan lagu yang bernada tinggi berbanding Bam yang meneguk air sebanyak tiga kali.




Paling melucukan, botol minuman Lan juga menjadi rebutan peminat lelaki dan wanita!

Malah, andai ada yang mengatakan MUH bertegang urat sesama sendiri sebelum ini sehingga bakal berpecah, lupakan sahaja tanggapan itu.

Apa yang jelas pada konsert tersebut, kesemua anggota MUH saling melengkapi antara satu sama lain.

Ketika menyampaikan lagu wajib MUH, Lagu Untukmu sebagai lagu penutup persembahan mereka, ia membuktikan sememangnya malam itu menjadi milik MUH sepenuhnya.

Dengan persembahan bertenaga tersebut, tidak hairanlah ramai anak muda yang kini berlumba-lumba menubuhkan band sendiri dengan harapan dapat beraksi di pentas yang sama bersama MUH dan band-band lain seperti Hujan, Bittersweet, Pesawat, Selamat Pagi Gadis, Joanna & Co, Bunkface dan lain-lain.


SAMSONS lebih memikat kepada gadis-gadis Indonesia yang berada di bumi Malaysia.


Namun, adakah kuantiti sahaja perlu diambil kira dan cukupkah sekadar mempunyai band semata-mata? Dan cukupkah meraih kemuncak populariti di negara sendiri dan sekadar bergelar juara kampung sahaja?

Tidak perlulah berangan-angan ingin menerobosi pasaran Indonesia sekiranya di Malaysia sendiri pun hanya 'suam-suam kuku'.

Meminjam kata-kata Bam semasa sidang media dua hari sebelum berlangsungnya konsert tersebut: "Ia sesuatu yang biasa sekiranya peminat Malaysia mendengar muzik Malaysia manakala peminat Indonesia mendengar muzik Indonesia. Namun, apabila yang berlaku adalah sebaliknya, itu baru luar biasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: