Thursday, April 23, 2009

Carefree kecewa dengan Jay Jay


TINGGAL KENANGAN... Contoh baju-T dan lencana yang dirancang oleh Cafefree untuk dihadiahkan kepada peminat konsert Untukmu Ibu di Istana Budaya yang tidak jadi disertai mereka.


BELUM PUN dua minggu pengumuman Konsert Untukmu Ibu dengan Carefree sebagai kumpulan undangan tidak menyertainya disiarkan di akhbar, 'perang dingin' antara kumpulan berkenaan dengan penyanyi utamanya, Jay Jay sudah bermula.

'Perang dingin' yang berpunca daripada rasa tidak puas hati anggota kumpulan itu, Charlie (ketua), Wan, Boy, Nana dan Lockman semuanya bermula gara-gara kenyataan Jay Jay yang mengguris hati kumpulan yang pernah mencipta nama dengan lagu Rindu Bayangan pada tahun 1982.

Kenyataan Jay Jay yang disiarkan di Hits Utusan Malaysia pada 10 April kononnya, Carefree menolak penampilan dalam konsert berkenaan kerana komitmen kerja, benar-benar tidak disenangi oleh sebahagian besar anggota kumpulan itu.

Dalam satu pertemuan eksklusif dengan Hits minggu lalu, sambil menunjukkan keratan akhbar berkenaan, Wan yang mewakili anggota Carefree yang lain berkata:

"Bukan hendak memburukkan Jay Jay. Tetapi kami memang kecewa dengan kenyataan yang dibuatnya.

"Dia (Jay Jay) menggambarkan kepada umum seolah-olah kami tidak menghargai tawaran tersebut. Terlalu banyak kesilapan yang berlaku di sini, dan kami ingin membetulkan keadaan tersebut."

Konsert Untukumu Ibu anjuran Istana Budaya dengan artis utamanya, kumpulan Black Dog Bone akan diadakan di Istana Budaya pada 8 hingga 10 Mei depan.

Konsert yang dikendalikan oleh Box Office dengan Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi dan Sinar FM sebagai radio rasmi diadakan sempena Hari Ibu. Carefree sepatutnya menjadi kumpulan undangan konsert berkenaan.

Bagaimanapun, nama Carefree digugurkan apabila Jay Jay mendakwa anggota Careefree yang lain tidak dapat memenuhi undangan kerana komitmen kerja.

Dengan penolakan itu, hanya dua ahli Carefree iaitu Jay Jay (penyanyi utama) dan Rahim Othman yang akan muncul dalam konsert itu nanti.

Menurut Wan, Carefree tidak pernah menolak tawaran IB. Sebaliknya mereka ingin berbincang lebih lanjut, terutamanya melibatkan soal bayaran dan perjanjian hitam putih persembahan tersebut.

"Memang ia berkaitan dengan soal bayaran. Pada awalnya, Jay Jay telah memberitahu bayaran yang akan kami terima selama empat hari persembahan dan sebulan latihan.

"Setelah mempertimbangkan dari pelbagai aspek, kami sependapat untuk meminta bayaran tersebut dinaikkan dan bukannya menolak bulat-bulat tawaran itu.

"Namun, tanpa ada perbincangan lanjut, Jay Jay memaklumkan kepada kami bahawa pihak IB tidak dapat menunaikan permintaan kami dan nama Carefree digugurkan daripada membuat persembahan melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) sahaja,'' tambahnya lagi.

Dalam SMS bertarikh 5 April 2009, Jay Jay memberitahu IB menolak permintaan mereka.

Menurut Wan, sebagai persiapan untuk konsert tersebut, mereka sudah menyediakan sampel cenderamata seperti t-shirt dan lencana Carefree untuk diberikan kepada peminat semasa konsert tersebut.

"Malah saya sendiri menyimpan rambut afro untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan kumpulan kami.

"Jadi tidak timbul isu bahawa kami menolak tawaran IB tersebut bulat-bulat,'' tambah Wan lagi.

Tawaran dikemukakan

Menurut Wan, Jay Jay pernah mengemukakan tawaran tersebut sejak awal Mac, tetapi selepas itu senyap dan tiada perkembangan.

"Namun pada 30 Mac, Jay Jay sekali lagi mengutarakan tawaran tersebut secara serius, dan anggota Carefree yang lain bersetuju untuk membuat persembahan serta ingin membuat perbincangan rasmi dengan pihak IB dan Box-Office.

"Tetapi, apa yang menghairankan sehingga hari pembatalan (merujuk kepada SMS Jay Jay pada 5 April), semua perjanjian dan maklumat persembahan termasuk soal bayaran hanya melalui mulut.

"Tidak ada sebarang hitam putih dikemukakan oleh Jay Jay daripada pihak IB ataupun Box-Office.

"Sebenarnya segala urusan untuk konsert ini, Jay Jay bertindak sebagai orang tengah. Dia banyak menguruskan sendiri walaupun ia melibatkan Carefree dan kadang-kala kami sendiri tidak tahu urusan tersebut.

"Misalnya apabila iklan Konsert Untukmu Ibu ini dikeluarkan oleh pihak IB dengan menyatakan Carefree terlibat, kami sendiri masih belum memberikan sebarang kata putus untuk terlibat sama.

"Memang tidak ada perbincangan apatah lagi persetujuan dicapai antara Carefree dengan pihak terbabit,'' ujar Wan lagi.

Tidak restu nyanyi lagu Carefree

Bagi Nana pula, mereka tidak mempunyai masalah jika Jay Jay dan Rahim membuat persembahan solo tanpa kehadiran anggota Carefree yang lain.

Tetapi apabila membaca laporan Hits pada 10 April yang menyatakan Jay Jay akan berduet dengan Jatt (Black Dog Bone) mendendangkan lagu Rindu Bayangan, ternyata itu kurang disenangi.

"Rindu Bayangan adalah lagu Carefree, bukan milik mutlak Jay Jay. Jangan nyanyi lagu Carefree pada konsert itu nanti. Kami tak restu.

"Dia (Jay Jay) mempunyai koleksi lagu-lagu sendiri yang popular. Nyanyi lagu sendiri lebih baik.

"Carefree belum ada 'batu nisan' lagi, jadi segala tindakan untuk menyanyikan lagu Carefree perlu meminta kebenaran kami. Tolong hormat Carefree," pesan Nana kepada Jay Jay.

Dalam pada itu, mereka turut mempersoalkan keikhlasan Jay Jay untuk menyatukan semula Carefree.

"Kami tidak ada masalah untuk bersama semula, membuat comeback. Malah sudah lama kami fikirkan.

"Tetapi Jay Jay tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Mungkin disebabkan dia boleh bergerak solo.

"Tiba-tiba keluar kenyataan seolah-olah kami yang tidak mahu bergabung kerana menganggap gabungan tersebut tidak penting,'' kata Nana.

Terima kasih IB dan peminat

"Pada kesempatan ini, saya mewakili anggota Carefree yang lain mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak IB kerana sudi menawarkan Carefree membuat persembahan di IB.

"Mungkin bukan rezeki untuk bekerjasama kali ini dan kami ingin memohon maaf atas apa yang berlaku.

"Tetapi percayalah, tanggapan bahawa kami menolak bulat-bulat dan tidak menghargai tawaran IB adalah tidak benar sama sekali.

"Apa yang kami perlukan ialah perbincangan dan perjanjian hitam putih. Buat peminat-peminat yang membeli tiket Konsert Untukmu Ibu semata-mata ingin menyaksikan Carefree, minta maaf banyak-banyak,'' kata Nana lagi.

Carefree tanpa Jay Jay dan Rahim Othman

"Mulai malam ini (15 April) secara rasminya kami mengambil keputusan bahawa Jay Jay dan Rahim tidak mempunyai apa-apa hubungan perniagaan dengan Carefree.

"Perancangan Carefree untuk membuat comeback dengan lagu baru pasti tidak akan melibatkan mereka berdua.

"Dalam erti kata lain, mereka kini adalah bekas anggota kumpulan Carefree .

"Insya-Allah, kumpulan Carefree akan dianggotai oleh majoriti ahli asal dan mungkin melibatkan penambahan dua anggota baru bagi menggantikan Jay Jay dan Rahim.

"Kami sudah mempunyai empat buah lagu yang belum dirakamkan lagi. Mudah-mudahan kami mampu melakukannya,'' ujarnya kepada Hits.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: