Thursday, April 23, 2009

Saingan sengit Anugerah Shout!


AHMAD Izham Omar (dua dari kiri) bersama Lam Swee Kim (tengah) dan Jennifer Thompson (dua dari kanan) pada sidang media pertama Anugerah Shout! di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


JIKA dihitung jumlahnya, industri hiburan boleh dikatakan 'mewah' dengan acara anugerah yang mengiktiraf anak seni baik dari segi

populariti mahupun menobatkan mereka yang terbaik.

Antara yang sering menjadi tumpuan ialah Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Skrin, Festival Filem Malaysia, Anugerah Era serta Anugerah Planet Muzik.

Lalu, apabila stesen televisyen 8TV memperkenalkan Anugerah Shout! yang bakal berlangsung pada 18 Julai ini, persoalan pertama yang terlintas adalah apakah signifikan dan rasional anugerah ini diwujudkan.

Tidak cukupkah acara anugerah di negara ini sehingga 8TV mencetuskan Anugerah Shout! pula?

Pada sidang media pertama Anugerah Shout! yang berlangsung di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar menjelaskan, Anugerah Shout! diwujudkan untuk memeriahkan industri hiburan yang dilihat semakin pesat dan membangun.

Meskipun beliau tidak menafikan industri hiburan berdepan dengan kesuraman, namun Izham optimis gelanggang seni tanah air masih lagi menampakkan sinar cahayanya.

Jelasnya, biarpun Anugerah Shout! merupakan acara anugerah populariti yang dipilih berdasarkan undian peminat, namun ia tidak sama dengan anugerah berlandaskan populariti yang sedia ada.

Sebaliknya, aspek kualiti masih lagi ditekankan untuk memastikan pemenangnya kelak benar-benar layak menggenggam anugerah yang dipertandingkan.

"Disebabkan itu, kami serahkan kepada jawatankuasa yang ditubuh khas bagi memilih lima calon terbaik untuk disenaraikan dalam 15 kategori yang dipertandingkan.

"Ini merupakan satu kelainan kerana kita tahu apabila melibatkan populariti, pemenangnya memang sudah dijangka. Jadi anugerah ini akan melihatkan saingan yang hebat dan sengit," jelasnya yang memberitahu idea Anugerah Shout! timbul sejak tahun 2005.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim dan Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson.

Untuk itu, 8TV telah mendapatkan khidmat PAIMM yang diketuai Jennifer bagi menubuhkan jawatankuasa yang terdiri daripada juri-juri profesional bagi memilih senarai calon yang berkaliber dan terbaik.

Jawatankuasa Khas

Kriteria utama yang dilihat oleh jawatankuasa ini dalam menentukan calon-calonnya ialah kreativiti serta idea baru yang diketengahkan oleh karyawan seni secara menyeluruh dan telah memberikan impak yang besar dan hebat.

Apatah lagi, Anugerah Shout! memberikan penghargaan kepada empat cabang seni yang merangkumi muzik, televisyen, radio dan filem yang semakin hari semakin menunjukkan peningkatan.

Mungkin ramai beranggapan apabila Anugerah Shout! yang dicetuskan 8TV selaku anak syarikat Media Prima Berhad ini diwujudkan, ia hanya membuka pintunya kepada produk terbitan konglomerat media terbesar itu sahaja.

Jika ada anggapan itu, buangkan saja kerana anugerah ini membuka pintu dan peluangnya kepada semua pihak yang terlibat dalam empat cabang seni yang menggerakkan industri hiburan tanah air untuk menghantar pencalonan mereka.

"Kami mahu anugerah ini menjadi anugerah yang berprestij dan menjadi platform kepada semua artis terutamanya bakat baru untuk memberi ledakan baru dalam industri," ujarnya yang tidak menafikan Anugerah Shout! diinspirasi daripada anugerah luar negara yang mengetengahkan konsep sedemikian.

Anugerah Shout! akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan bakal disiarkan secara langsung menerusi 8TV (saluran 708, Astro).

Sidang media kedua bagi mengumumkan senarai lima calon terbaik akan diadakan pada Jun depan dan bermula detik itu, peminat boleh mula mengundi bintang kesayangan mereka menerusi www.shoutawards.com.my.

Cuma kategori The Ultimate Shout! Award sahaja yang akan menyaksikan pemenangnya dipilih oleh pihak juri daripada kesemua calon Top 5 dalam 15 kategori lain yang dipertandingkan.

Bagi mereka yang mahu menghantar pencalonan, bolehlah melayari laman web www.shoutawards.com.my untuk syarat penyertaan dan memuat turun borang pencalonan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: