Monday, April 13, 2009

Cara wanita Arab bertudung

Cara wanita Arab bertudung hanya menggunakan sebiji kerongsang untuk disematkan di bahagian leher supaya tudung tidak tertanggal.




FESYEN wanita bertudung berubah seiring dengan masa. Saban hari, butik-butik Muslimah muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Masing-masing berlumba-lumba menampilkan konsep fesyen terkini dan moden tanpa menjejaskan penampilan yang sopan.

Trend tudung juga menawarkan kepelbagaian rekaan dan corak mengikut cita rasa wanita moden dan remaja yang gemarkan gaya ringkas dan funky.

"Sebelum ini wanita Malaysia lebih cenderung mengikut trend fesyen bertudung dari Indonesia yang menggunakan banyak lapisan tudung dan teknik lilitan yang sarat. Hari ini, mereka beralih pada konsep baru.


GAYA solekan dan fesyen wanita Arab cenderung menggunakan warna terang.


"Situasi ini dapat dilihat khususnya di kalangan golongan remaja yang mula mencari konsep pakaian dan padanan tudung yang ringkas tetapi tampak ranggi dan stailo. Justeru aliran fesyen wanita Iran dan Turki merupakan pilihan yang paling sesuai dan tepat," jelas pemilik Butik Feenaz, Ida Shafinaz Nazri, 27, yang memperkenalkan variasi busana dan kerudung stail wanita Timur Tengah.

Gaya wanita Iran tidak keterlaluan dan seiring dengan peredaran fesyen yang semakin moden dan trendy. Fesyen tersebut bukan sahaja sesuai digayakan ke pejabat, malah sesuai untuk gaya kasual, santai atau menghadiri kuliah.

Wanita Arab gemar menggayakan jaket labuh (trench coat) paras lutut yang memiliki taburan butang di bahagian depan baju. Begitu juga konsep jaket mengikut potongan badan dan menampilkan poket di kiri dan kanan.


KOLEKSI selendang Turki yang boleh didapati di butik Feenaz PKNS, Shah Alam.


Bukan itu sahaja, bagi memastikan penampilan mereka sentiasa kelihatan segar dan ceria bahagian kepala diberi tumpuan. Lazimnya, mereka akan padankan dengan tudung bercorak abstrak, motif flora atau warna terang.

"Selendang panjang dan skaf segi empat sama paling diminati oleh wanita Arab. Memandangkan koleksi pakaian berkonsepkan polos, maka tudung bercorak adalah salah satu cara menyerikan penampilan selain memakai aksesori nuansa terang.

"Rata-rata pelanggan kerap bertanyakan tip untuk bergaya ala wanita Arab. Mereka bimbang sekiranya faktor bentuk fizikal dan warna kulit tidak sesuai dengan fesyen sebegini," terang Shafinaz yang turut memberitahu bahawa setiap wanita tanpa mengira bangsa boleh bergaya sama seperti wanita Iran dan Turki.


JAKET merah paras lutut serasi digayakan bersama denim potongan tirus.


Asalkan bijak mengatur gaya dan kesesuaian acara. Pada masa yang sama, wanita tempatan dinasihatkan supaya memilih baju yang tidak diperbuat daripada fabrik yang tebal kerana ia tidak sesuai dengan cuaca panas di Malaysia.

Jelas anak kelahiran Bagan Datoh, Perak itu, kunci utama fesyen ini adalah terletak pada cara pemakaian tudung. Sebelum memakai selendang atau skaf pastikan rambut disisir ke belakang dan diikat supaya dijadikan sanggul tinggi.

Dandanan sanggul tinggi mampu membuatkan bentuk muka kelihatan bujur dan kecil. Inilah gaya yang dipraktikkan oleh wanita Arab.

Hakikatnya fesyen tudung wanita Arab lebih ringkas berbanding pemakaian tudung wanita tempatan. Biasanya mereka hanya menggunakan sebiji kerongsang untuk disematkan di bahagian leher supaya tudung tidak tertanggal.

Selebihnya lilitan tudung di bahagian belakang hanya dikemaskan dengan jarum peniti bagi mengelakkan posisi tudung berubah.


SELENDANG nuansa ceria menyerikan penampilan.


"Selain teknik lilitan, kita juga boleh meniru gaya ikat simpul di bahagian depan atau di bahagian bawah tudung ke dalam baju.

"Dari segi pemilihan anak tudung pula, wanita boleh memilih serkup jenis nipis, berwarna mengikut kesesuaian baju atau anak tudung pasang siap," tambah Shafinaz yang turut menyatakan wanita Arab tidak lagi tertumpu pada busana warna gelap dan suram.

Sebaliknya, mereka lebih berani mencuba pelbagai baju warna terang dan ceria, di samping mengaplikasikan teknik suai dan padan.

"Kadangkala apabila mereka memakai baju dan jean biru mereka akan memakai tudung merah yang sepadan bersama tali pinggang atau kasut warna yang sama. Jangan bimbang mengadunkan warna asalkan sesuai dengan konsep dan warna kulit.

"Lagipun tidak salah meniru gaya Timur Tengah kerana meskipun fesyen yang ditampilkan ranggi tetapi ia masih menutup aurat dan sopan. Sesuai dengan gaya wanita moden dan urban," tutur Shafinaz

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: