Apakah yang membuatkan beca seberat lebih 100 kilogram dan sarat dengan pelbagai hiasan itu cukup istimewa?
DENGAN tambahan aksesori dan pelbagai peralatan seberat lebih 100 kilogram pada beca miliknya, Abdullah Muhamad, 53, pernah dianggap tidak waras.
Beca yang dibeli sekitar tahun 70-an itu sudah tidak kelihatan seperti beca-beca lain yang beroperasi di bandar Kuala Terengganu.
Kombinasi warna kuning dan merah menjadikan beca itu kelihatan garang. Malah, ia satu-satunya beca yang seolah-olah seperti sedang menyertai perarakan kenderaan berhias kerana sarat dengan bunga plastik.
Beca itu umpama sebuah rumah kecil bergerak. Kenderaan penumpang tiga roda itu juga dilengkapi pemain video cakera padat, set karaoke, sistem pembesar suara, televisyen kecil dan kipas angin.
Kesemua peralatan tersebut dipasang untuk kemudahan penumpang dan berfungsi dengan kuasa daripada dua biji bateri.
Tempat duduk penumpang juga mengalami pengubahsuaian apabila dilapik dengan kain songket, manakala payung pengantin dan puluhan lampu kecil berwarna-warni turut dipasang pada beca.
Becanya juga unik kerana mampu mengeluarkan lima jenis bunyi haiwan melalui hon seperti ayam, kambing, lembu, anjing dan kuda.
Keistimewaannya tidak hanya pada aksesori berharga lebih RM2,000, tetapi juga mereka yang pernah menggunakan khidmat becanya.
|
|
Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pok Loh memberitahu, becanya pernah dinaiki oleh beberapa pembesar dan selebriti tanah air.
Antaranya termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo.
Di kalangan selebriti popular pula termasuklah Noraniza Idris, Mustafa Kamal, A.R Badul, Azean Irdawaty dan Azwan Ali.
Sebagai tanda pengesahan bahawa tokoh kenamaan terbabit pernah menaiki beca tersebut, nama mereka dicetak di bahagian depan beca.
Walaupun ada kesilapan ejaan pada beberapa orang nama pemimpin, namun Pok Loh tidak kisah asalkan orang tahu penumpang yang dimaksudkannya.
"Semua hiasan ini saya buat sendiri sejak lebih setahun lalu. Saya buat sikit-sikit bila dapat idea. Adakalanya saya menghias beca sampai pukul 3 pagi," kata bapa kepada empat anak itu hasil perkahwinannya dengan Sharifah Pakwe, 37.
Mencari rezeki dengan mengayuh beca di sekitar pusat bandar Kuala Terengganu, Pok Loh mengakui ada di kalangan rakan-rakannya menganggap dirinya 'gila'.
Menurut Pok Loh, hiasan luar biasa tersebut membawa 'rezeki tambahan' kerana ramai penumpang terutama pelancong asing lebih berminat menaiki becanya.
|
|
"Kadang-kadang pelancong hanya bergambar di depan beca dan kemudiannya hulur duit tanda penghargaan kepada saya," kata anak kelahiran Kampung Tanjung Kapor, Kuala Terengganu itu.
Menceritakan sejarah becanya Pok Loh memberitahu, dia membeli kenderaan itu selepas kecewa dengan sikap beberapa pengayuh beca yang memilih penumpang, enggan membawa sayur dan ikan yang dibelinya.
Beca tersebut dibeli pada harga RM230 dengan berat asalnya adalah 100 kilogram. Bagaimanapun, beratnya meningkat sekali ganda selepas ditambah aksesori.
Menurut Pok Loh, becanya dipasang alat power booster ciptaan pereka tempatan, Zulkifli Harun. Dengan alat tersebut, becanya mempunyai keupayaan kuasa tujahan semasa mendaki kawasan berbukit dan ketika mahu memulakan perjalanan.
Walaupun dikenali sebagai beca VIP, ia bukan tiket untuk Pok Loh mengenakan tambang mahal kepada penumpangnya.
"Biasanya saya tak pernah tetapkan bayaran tambang sebaliknya saya serahkan kepada budi bicara penumpang," jelasnya yang keluar mencari rezeki dari pukul 10 pagi hingga 7 malam setiap hari.
Bagaimanapun, untuk perjalanan di sekitar pusat bandar Kuala Terengganu, tambang yang dikenakan antara RM5 hingga RM20.
"Cuma untuk perkhidmatan bersiar-siar selama sejam, saya kenakan bayaran sebanyak RM30," katanya yang mendapat antara 10 hingga 20 penumpang setiap hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: