DALAM temubual bersama kumpulan Butterfly baru-baru ini, mereka menjelaskan bukan populariti yang mahu diraih. Namun, sebagai band yang dianggotai wanita, mereka meminta diberi ruang untuk menonjolkan bakat. |
Lagipun, selepas Candy, kumpulan ini hadir dalam dunia muzik tempatan. Berbekalkan kebolehan mengendalikan alat muzik dan mempersembahkan muzik berentak rock, Butterfly unik daripada band lain.
Vokalis kumpulan ini, Nursyuhaada Baharudin, 21, atau Ada berkata, meskipun masih muda, mereka menyukai elemen rock. Begitupun, genre diketengahkan kali ini berbeza dan lebih segar.
"Kami punya persamaan dalam cita rasa mengenai muzik. Masing-masing menyukai muzik rock moden. Jadi, kami sepakat untuk memperjuangkan muzik ini.
"Begitupun, kami turut mencampurkan pelbagai elemen dalam satu genre. Pendek kata, lagu yang dipersembahkan menjadi lebih menarik dan pelbagai.
"Jika dilihat, kebanyakan band yang memperjuangkan muzik seperti itu adalah lelaki. Sebab itu kami tampil dengan keunikan apabila semua ahli kumpulan ini wanita," katanya.
Selain Ada, Butterfly disertai adiknya, Nor Syamsella Baharudin (Syella), 18, selaku pemain keyboard dan kakaknya, Noor Rol Bismina Baharudin (Biss), 21, bass, manakala dua lagi rakan mereka, Nadia Helda Pily Azman (Helda), 17, gitar dan Nur Adha Abdul Hamid (Adha), 18, dram.
Selepas muncul dengan album pertama berjudul Rockmania tahun lalu, Butterfly bakal tampil dengan single terbaru berjudul Oh Kawan dan Shalala.
Menurut Ada, dua lagu terbaru ini dimuatkan dalam album kompilasi yang akan dikeluarkan tidak lama lagi. Selain Butterfly, album itu menampilkan kumpulan Kristal dan beberapa artis lain.
"Buat masa ini kami menumpukan perhatian untuk dua single berkenaan. Mungkin nanti apabila semuanya stabil, kami akan kembali merakam album kedua pula.
|
"Insya-Allah, jika tiada aral, kami akan mempersembahkan dua lagu baru ini ketika persembahan di Dataran Kejora, Desaru, Johor Bahru sempena Kembara Metro Ahad (KMA) 2009 yang berlangsung 18 April ini.
|
"Harap-harap kami diterima pendengar di sana. Biasalah, kami orang baru dan mungkin ada yang tidak kenal kumpulan ini. Namun, dengar dulu apa yang kami tampilkan dan selepas itu nilailah kebolehan kami," katanya yang bersemangat untuk menjayakan KMA 2009.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: