DALAM kamus hidupnya kini, Azharina atau mesra disapa Nina hanya inginmeletakkan komitmennya di dalam bidang seni dan perniagaan yang diceburinya.
Tutur penyanyi berusia 24 tahun ini dalam nada perlahan, dia tidak mahu lagi perjalanan hidupnya dihiasi oleh kontroversi.
Cukup-cukuplah pengalaman pahit yang dilaluinya dulu gara-gara perkahwinan'diam-diam' yang dibina dengan usahawan Datuk Shukri Mohamed kira-kira tiga tahun lalu.
Perkahwinan yang berakhir dengan perceraian pada awal Februari tahun lalu juga menjadi buah mulut ramai, apatah lagi ketika itu Nina sering menafikan bahawa dia sudah berkahwin.
Apapun, itu semua disimpan kemas dalam diari hidupnya. Penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Berbekalkan semangat kental dan kesungguhan untuk meneruskan kehidupan, Nina nekad untuk meletakkan fokus yang tinggi di dalambidang nyanyian dan perniagaan miliknya.
Bagi Nina, dia ingin ketepikan dulu soal hati dan perasaan. Apa yang penting ialah untuk kembali melonjakkan karier seninya di samping memastikan syarikat miliknya, Top 3 Production Sdn Bhd dan Azharina Entertainment berjalan lancar.
"Saya akui, masa saya sekarang cukup padat dengan urusan kerja. Selain menguruskan bisnes, saya juga sibuk dengan pembikinan album terbaru saya yang akan menemui peminat pada bulan Julai nanti.
"Apapun, saya gembira dengan hidup saya ketika ini. Nak kata sunyi, saya akui adakalanya terasa juga. Tetapi saya tidak mahu leka dengan perasaan dan akan cuba lakukan perkara-perkara lain serta berfikiran positif.
"Lagipun saya memang tidak ada masa untuk fikir tentang hal-hal remeh seperti mencari pengganti. Lebih baik saya bercinta dengan karier saja ketika ini," kata Nina sambil disulam dengan tawa kecilnya.
Kata penyanyi yang melonjak namanya menerusi lagu Elergi Sepi ini, walaupun ikatan perkahwinannya dengan Datuk Shukri itu telah berakhir, dia sentiasa ingat akan nasihat bekas suaminya itu untuk kembalimenaikkan karier seninya.
"Walaupun kami bukan lagi suami isteri, tetapi hampir 90 peratus perkara yang saya ingin buat akan saya rujuk kepadanya terlebih dahulu. Kami masih berkawan baik seperti dulu, cuma status saja yangsudah berbeza.
"Ada juga saya bergurau dengannya untuk bawa dia berjumpa dengan kekasih saya jika satu hari nanti saya sudah bertemu seseorang. Dia setuju dan cukup 'sporting'.
"Memang banyak nasihat yang Datuk berikan kepada saya, terutamanya tentang karier seni," kata Nina yang menambah, bekas suaminya itu juga masih merupakan rakan kongsi perniagannya.
'Rasa' sehebat Elergi Sepi?
Beralih kepada perkembangan bidang nyanyiannya, tutur Nina, setelahmenerima sambutan memberangsangkan menerusi lagu Rawan ciptaan Hazami, juara Bintang RTM 2001 ini bakal tampil pula dengan single keduanya, Rasa, yang merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi itu dansepupunya, Kayneed.
"Lagu Rasa ini cukup istimewa buat saya, apatah lagi saya berpeluang menghasilkannya bersama sepupu saya. Kami cukup rapat walaupun sebenarnya kami sudah hampir lima tahun tidak bertemu.
"Dia hubungi saya dan beritahu ingin buat lagu untuk saya. Dari situlah bermulanya kerjasama kami. Rasa sudah pun mula diputarkan di beberapa stesen radio dan buat pertama kalinya nanti saya akanpersembahkan di khalayak sempena Minggu Setiausaha anjuran Lord's Tailor di Hotel Istana pada 22 April ini yang turut menampilkan persembahan Jaclyn Victor dan lebih 20 selebriti lelaki.
"Sejujurnya, saya merasakan Rasa ada kekuatan seperti mana Elergi Sepidulu. Lagu Rawan juga sebenarnya mempunya tarikan tersendiri, tetapi bagi saya, Rasa lebih banyak mempunyai persamaan dengan Elergi Sepi," katanya.
Bukan itu saja, malah ujar Nina, dia juga akan tampil dengan sebuah lagi single berjudul Hey Lelaki dalam masa terdekat ini yang menyelitkan elemen hip-hop dengan penampilan istimewa Mimi One NationEmcees.
"Memang sengaja saya nak 'push' dua single sekaligus. Buat masa ini, saya masih dalam proses untuk siapkan single Hey Lelaki ini yang juga merupakan ciptaan saya dan Kayneed sepenuhnya," kata Nina yang akuiseronok dapat mengembangkan bakatnya di dalam penciptaan lagu.
Malah, lebih menarik lagi, video muzik lagu Rasa juga akan diarahkan sendiri oleh Nina dan diterbitkan oleh produksinya, AzharinaEntertainment.
Gandingan Nina dan Kayneed juga tidak berakhir di situ. Kedua-duanya turut bergabung tenaga menghasilkan dua buah lagu lagi yang akan dimuatkan di dalam album terbaru Nina nanti.
Sebanyak enam buah lagu akan ditampilkan di dalam album ketiga penyanyi itu yang mana sebuah daripadanya adalah 'cover version' lagu dendangan Allahyarham P.Ramlee iaitu Gitar Berbunyi.
"Album ini memang amat dekat dengan hati saya. Hampir kesemuanya dilakukan oleh saya sendiri. Malah, syarikat saya juga akan mengedar sendiri album ini.
"Sengaja juga saya hanya muatkan enam buah lagu saja di dalam album ini kerana jika mengikut perancangan, saya sebenarnya ingin 'push'semua lagu di dalam album ini sebagai 'single'.
"Saya pun tidak meletakkan sasaran yang tinggi terhadap jualan album ini, tetapi 'at least' ia mampu menjadi hadiah buat peminat dan satu bonus untuk diri sendiri juga," ujar Nina yang akan menerbitkan album sulung artis pertama di bawah naungan Azharina Entertainment, Chen,tidak lama lagi.
Menurut Nina, Chen akan mengenengahkan genre pop rock dangdut serta imej ala-Mulan Jameela.
"Chen sebelum ini sering menjadi penyanyi latar saya dan saya rasa dia mempunyai bakat yang bagus untuk terus digilap. Kemungkinan selepas habisnya penghasilan album saya, kami akan terus buat single untuk Chen pula," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: