|
PEMIMPIN datang dan pergi, begitulah fitrah kita sebagai insan sebelum tiba masa mengadap Ilahi. Kelmarin (Jumaat) tanggal 3 April melakar sejarah buat negara apabila kita dikurniakan Perdana Menteri (PM) Keenam. |
Selamat berehat buat ‘Pak Lah’ (Tun Abdullah Ahmad Badawi) selepas lima tahun memacu negara bertuah ini dan selamat memikul amanah baru buat Datuk Seri Najib Razak.
Apa juga jawatan, sama ada seseorang itu menteri, askar, guru, polis, pemandu teksi hinggalah ‘kuli’, masing-masing ada amanah yang disandarkan. Jika 3 April sejarah baru buat negara, 1 April pula sejarah lama buat RTM (Radio Televisyen Malaysia) yang meraikan ulang tahun ke-63.
Selaras dengan ledakan teknologi maklumat, RTM nampaknya tidak mahu di takuk lama apabila Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mempertaruhkan 2012 ke arah pendigitalan operasi RTM.
Bagi saya ia kena pada masanya, dengan mengambil kira perkembangan pesat teknologi penyiaran bagi mengelak ‘stesen abang long’ kita itu ketinggalan zaman. Mengait RTM, tidak terlewat untuk saya ucap selamat bertugas buat Datuk Ibrahim Yahaya yang dilantik selaku Ketua Pengarah Penyiaran (KPP) pada 16 Mac lalu.
Selama 22 tahun jadi wartawan, saya berurusan dengan ramai KPP termasuk bekas, dan paling tidak dilupakan dengan Allahyarham Zain Mahmud apabila beliau keluarkan pistol lalu diletak atas meja sambil berbual-bual dengan saya, bukan hal RTM tetapi berkaitan produksi Teletrade miliknya.
Berbanding KPP lain, Ibrahim tentu lebih istimewa kerana bekas rakan sepejabat sewaktu beliau bertugas di akhbar Berita Harian (BH). Sekalipun tidak pernah bekerja di bawahnya, ada juga teguran dan nasihat yang diberi sewaktu berselisih di surau yang tidak lekang di ingatan.
Barangkali kakitangan RTM mengetahui gelaran aneh Ibrahim, tetapi bagi yang masih belum mengenali, Ibrahim lebih sinonim dengan panggilan ‘Tiger’. Mengapa disebut ‘Tiger’ saya tidak pasti kerana sejak mula bekerja di Harian Metro pada 1991, memang kami memanggil dia ‘Tiger’.
Tiger dalam bahasa Melayu disebut harimau. Menarik bukan, ‘tiger masuk RTM’. Tidak terkecuali ada rakan produser, artis juga teman di RTM bertanyakan karakter ‘Tiger’ pada saya, macamlah saya ini ‘tidur sebantal’ dengannya, cuma adalah teladan untuk memahami pentingnya disiplin dalam diri Tiger.
Satu ketika seorang wartawan Meja Jenayah di Berita Harian mahu ikut saya ke TV3 di Jalan Liku menonton rancangan Komposer secara langsung. Ketika itu TV3 cuma di belakang Balai Berita.
Ikutkan wartawan itu dalam tugasan, kerana boring tiada apa-apa kes, dia ‘layan’ hiburan. Ditakdirkan, ketika rancangan itu disiarkan, Tiger terpandang wartawan itu di televisyen.
Sebaik balik ke pejabat, apa lagi wartawan itu diharungnya. ‘Kepala’ saya ketika itu cuma fikirkan hiburan saja, tetapi sesudah ditukar ke Meja Am pada 1995, baru saya faham mengapa Tiger naik angin.
Sebagai wartawan jenayah, sepatutnya dalam tugasan, wartawan itu kena ‘standby’ di pejabat, bukan melilau. Namun, wartawan itu tidak lama di BH apabila beralih angin pula ke akhbar Inggeris.
Sebagai bekas orang media cetak, Tiger atau Ibrahim tentu sedia maklum kemahuan pihak akhbar. Saya tertarik dengan tranformasi era digital, di mana Ibrahim mahu perubahan dilakukan menerusi promosi, kempen untuk ubah minda terhadap RTM. Hal promosi, RTM akan berurusan dengan saya.
Biarpun RTM ada stesen tersendiri, harus diingat promosi berterusan di akhbar tidak boleh dipandang remeh. Siapa sangka deejay radio dan pengacara televisyen sekarang populariti mereka setanding artis, boleh bertanding di Anugerah Bintang Popular lagi, semuanya gara-gara akhbar.
Khamis lalu, Pengurus Penjenamaan, Pembangunan & Komunikasi Korporat TV9, Noor Amy Ismail, mengadakan lawatan untuk berkenalan dengan pengarang hiburan di kumpulan New Straits Times.
Sesi perkenalan begini penting untuk media elektronik dan cetak saling bekerjasama. RTM di bawah kendalian Shabery dan Tiger boleh memikirkan cara untuk beramah mesra dengan unit hiburan.
Usah perleceh unit hiburan, sebabnya apa saja berkaitan stesen sama ada radio atau televisyen, ia di bawah tanggungjawab saya. Bukan nak kata, pihak Astro mendahului stesen lain berurusan dengan pihak saya bagaimana untuk membolehkan program, termasuk drama di stesen itu, mendapat publisiti.
Unit promosi RTM boleh dikatakan setiap hari berurusan e-mel dengan saya, tetapi anehnya rata-rata ‘berat punggung’ ke Balai Berita. Ia jauh berbeza dengan Unit PR TV3, 8TV dan ntv7 yang boleh dikatakan dalam seminggu mesti dua atau tiga kali menemui saya untuk memperkenalkan program baru.
Itu belum lagi jika siaran secara langsung, awal lagi saya tahu, umpamanya untuk kemuncak ABP-Berita Harian dan Anugerah AIM bulan depan, kad undangan serta bilik penginapan sudah diketahui.
Agak mengecewakan Sabtu dan Ahad lalu saya ke Kuantan sempena Karnival Jom Heboh. Punyalah ‘bahang’ hari pertama, balik ke hotel terus tersadai, namun seperti biasa saya monitor semua stesen televisyen untuk mengetahui apa program disiarkan. ‘Terkejut badak’ dibuatnya bila menonton TV1, ada siaran secara langsung Hit1. Saya tidak keberatan membuat liputan jika mengetahui program itu sejak awal.
Malah, boleh aturkan wartawan ke Kuantan tanda sokongan untuk RTM. Saya menghubungi Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro, Hartati Hassan Basri mengenai program itu, dia pun tidak tahu.
Dalam hal ini, salah akhbar atau pihak RTM terlepas pandang untuk menjemput media kami? Barangkali Tiger ada strategi bersistematik untuk memancing publisiti RTM di media cetak supaya tidak berlaku ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran’.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: