KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan semalam bertindak membuka serta-merta bilik gerakan dalam usaha memantau situasi wabak selesema babi.
Langkah itu bagi memastikan penduduk di negara ini dilindungi dan memudahkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut jika ada menerima laporan kes itu.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya memandang serius wabak itu di Mexico dan Amerika Syarikat yang sehingga kini telah meragut 81 nyawa melibatkan 854 kes.
Katanya, penularan wabak itu dianggap kes berisiko tinggi dan pihaknya nekad untuk mengambil sebarang langkah perlu untuk menyekat ia dari menular ke negara ini.
"Bagi mereka yang ke Mexico bermula 17 April dan pulang ke negara ini perlu menjalani pemeriksaan untuk memastikan mereka bebas dari wabak tersebut,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Tiong Lai juga menasihati penduduk di negara ini tidak panik dan jika mengalami simptom selesema babi perlu mendapatkan rawatan segera.
Sehubungan itu, katanya, sesiapa yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai wabak itu boleh menghubungi talian 03-88810200 atau 03-88810300.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: