APABILA sudah berusia dan mempunyai keluarga sendiri, kebanyakan anggota Black Dog Bone (BDB) kini lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga masing-masing.
Namun, dengan adanya konsert BDB, setiap anggota kumpulan itu akan menggunakan peluang tersebut bagi mengeratkan lagi ikatan persahabatan yang telah mereka bina sejak lebih 30 tahun lalu.
Menurut ketua kumpulan BDB, Jatt, tanpa adanya landasan dalam bidang muzik, setiap anggota kumpulan itu mungkin jarang dapat bertemu antara satu sama lain.
“Ini kerana, apabila ada show (persembahan pentas) seperti ini barulah kami akan berkumpul semula dan berlatih bermain muzik. Sebabnya, ada di antara kami yang sudah tidak aktif lagi dalam bidang muzik dan melakukan pekerjaan yang lain.
“Kalau saya tiada masalah, kerana kerjaya sepenuh masa saya ialah menyanyi dan bermain muzik di kelab-kelab malam. Cuma untuk membawakan semula lagu-lagu BDB saya terpaksa berlatih semula,” katanya.
Biarpun berpengalaman bermain muzik tetapi Jatt mengakui dia terpaksa mengingati semula melodi dan lirik lagu-lagu BDB yang sudah lama tidak dipersembahkannya di atas pentas persembahan.
Malah, Jatt juga tidak menafikan adakalanya dia sering terlupa lirik lagu-lagu BDB yang jarang dinyanyikannya sejak kumpulannya itu dibubarkan lebih dua dekad lalu.
“Maklumlah BDB ada banyak album dan lagu. Tidak semua lirik lagu BDB yang saya ingat. Contohnya lagu Aneka Ragam, Sayang dan Bahagia Dan Derita.
“Sebab itu, saya kenal hafal semula lirik-lirik lagu itu. Selain itu, saya juga berdepan cabaran stamina kerana selain menyanyikan lagu-lagu BDB seperti Khayalan, pada masa sama, saya juga bermain dram,” ujarnya.
Nostalgia manis
Justeru, konsert yang akan diadakan di Istana Budaya pada 8 hingga 10 Mei ini merupakan medan terbaik bagi BDB kembali mengeratkan hubungan sesama anggotanya.
Apatah lagi, mana mungkin mereka melupakan nostalgia manis sewaktu mereka mengadakan konsert sulung di Stadium Negara, Kuala Lumpur, pada 1977 dengan disaksikan hampir 20,000 penonton.
”Ketika itu, saya rasa gemuruh, tetapi apabila ramai penonton memenuhi ruang Stadium Negara dan memekik nama kami, perasaan itu hilang. Itu merupakan konsert pertama dan terbesar kami di Malaysia,'' imbaunya.
Cerita Jatt lagi, konsert itu merupakan persembahan paling meninggalkan kenangan manis buat mereka kerana sambutan yang diberi oleh para penonton di luar jangkaan ramai.
Mana tidaknya kata penyanyi yang berasal dari Tempines, Singapura ini, ketika itu nama BDB sedang berada di kemuncak populariti dalam persada muzik di negara ini.
“Bukan setakat terharu dengan sambutan para peminat tetapi daripada konsert itu jugalah saya mengenali anggota-anggota kumpulan Carefree,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: