|
|
Figura ini bukan lagi asing di bidang pengacaraan. Lontaran suaranya bagaikan sudah begitu sinonim mengacarakan kebanyakan majlis-majlis kenamaan termasuk beberapa majlis penting negara.
Kalau diukur dari segi pengalaman, Datuk Mahathir Lokman selayaknya bergelar pengacara serba boleh.
Selama suku abad menghambakan diri di bidang pengacaraan, pengalaman yang dikumpul individu ini ternyata bukan sedikit.
Kepetahan dalam mengacarakan majlis-majlis rasmi serta kebijaksanaannya dalam mengendalikan pelbagai majlis lain termasuk majlis-majlis hiburan dan perkahwinan membuktikan pengacara ini begitu versatil.
Sebagai seorang yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun di bidang pengacaraan, dia kini sudah diangkat sebagai idola bagi mereka yang baru bertatih di aliran yang sama.
Bukan setakat pengacara malah, Mahathir pernah berperanan sebagai wartawan penyiaran dan hos rancangan televisyen tidak lama dahulu.
Tidak cukup dengan itu, kebolehannya menutur kata dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Perancis, Sepanyol, Itali dan Portugis menjadikan dirinya begitu 'mahal' di mata masyarakat.
Biarpun tawaran demi tawaran yang diterima tidak pernah putus namun, terdapat juga suara resah pelbagai pihak yang mahu menyuntingnya sebagai pengacara.
Tanggapan mereka, sudah pasti dia perlu dibayar mahal berdasarkan kebolehan' dan pengalaman yang dimilikinya.
Mengulas tanggapan negatif tersebut, kata Mahathir: "Bagi saya mahal itu terlalu subjektif buat diri saya yang telah lama berkecimpung sebagai pengacara.
"Membayar seseorang pengacara bukan seperti membeli baju. Kalau beli baju di tepi-tepi jalan, tahannya mungkin setakat sehari atau dua hari.
"Tetapi jika kita beli di tempat yang terjamin mutunya, sudah tentu ia dapat bertahan sehingga bertahun-tahun.
"Saya tidak nafikan perlu letak harga kerana saya mempunyai keluarga untuk dijaga, bagaimanapun mungkin orang ramai tidak tahu bagi acara-acara amal yang saya acarakan, biasanya saya tidak ambil bayaran," katanya.
Sekilas mengenai sejarah hidup seorang Mahathir Lokman, dia yang pernah bercita-cita sebagai seorang doktor akhirnya terpaksa melupakan hasrat tersebut apabila terlibat dalam program pertukaran pelajar, American Fields Service pada tahun 1974.
Dia kemudian meneruskan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan di Universiti Ohio, Amerika Syarikat sehingga ke peringkat ijazah sarjana.
Bagaimanapun, pada usia 26 tahun beliau mengambil keputusan berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Institut Teknologi Mara (ITM), yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Setahun selepas itu, Mahathir mencuba nasib memohon jawatan sebagai wartawan penyiaran di TV3.
Prestasi baik yang ditunjukkan membuatkan dia diberi kepercayaan menjadi penyampai berita bagi bahasa Melayu dan Inggeris di stesen berkenaan.
Sejak itu, dia mula dikenali ramai sebagai selebriti yang disegani.
Menginjak ke angka usia 52 pada 9 April lalu, Mahathir diraikan dalam sebuah majlis meriah yang berlangsung di Hotel Nikko, Kuala Lumpur.
Tidak seperti insan lain, Mahathir lebih senang menganjurkan sendiri majlis ulang tahun kelahirannya.
Menariknya, pada majlis tersebut dialah pihak yang menganjurkan, dialah yang diraikan dan dialah juga pengacara bagi majlis itu.
Bagi dirinya yang mengamalkan prinsip tidak suka membazir dalam hidup, sesekali memilih untuk berbelanja besar untuk sama-sama meraikan majlis ulang tahun kelahirannya bersama rakan-rakan.
"Saya memang suka berbelanja untuk rakan-rakan. Itu lebih baik daripada saya membazir tidak tentu hala. Apa pun, setahun sekali berbelanja besar seperti majlis ini saya rasa memang berbaloi.
"Apatah lagi, pada majlis ini bukan setakat rakan-rakan yang telah banyak membantu saya dalam perniagaan, tetapi juga turut dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
"Majlis ini bukan sahaja meraikan hari lahir saya tetapi juga saya buat sekali untuk hari lahir ibu saya, Datin Khatijah Abdul Rahman yang bakal menginjak usia 83 tahun Julai ini," kata anak ketiga daripada lima beradik itu lagi.
Selain dimeriahkan dengan nyanyian oleh juara Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor, serta pasangan artis Azie dan Syed Sobri, majlis turut dimeriahkan dengan pertandingan pakaian tercantik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: