Monday, April 20, 2009

Penyanyi Dwen kini jurulatih tae kwan-do

BENARLAH kata pepatah Melayu, sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitu jugalah dengan kehidupan ini.

Jika suatu waktu dulu, Dwen atau nama sebenarnya Ridzuan Abu Hassan, 50, lebih meminati bidang seni suara dan selesa menyanyi tetapi waktu telah mengubah segalanya.

Penyanyi berasal dari negara Brunei Darussalam, yang mula mencipta nama pada tahun 1986 dengan lagu Satu Penantian, tidak pernah menduga hidupnya akan berubah jauh daripada apa yang dicita-citakan.

Berbekalkan album berjudul Satu Penantian, Dwen merantau ke Kuala Lumpur dengan bantuan penerbit album itu, Fauzi Marzuki. Mereka menjaja album tersebut dengan harapan impiannya untuk menjadi penyanyi terkenal akan tercapai.

Siapa sangka album yang dijaja ke sana ke sini, akhirnya dibeli oleh syarikat rakaman EMI dengan bayaran sekali gus sebanyak RM17,000, di mana ia akhirnya telah meletakkan nama Dwen di persada seni suara tanah air.

"Masa itu memang tidak ada syarikat rakaman yang teringin nak beli album itu. Akhirnya Fauzi ajak saya berjumpa seorang pegawai di EMI, saya ditawarkan RM17,000.

"Walaupun tawarannya rendah tetapi saya terima kerana janji mereka jika album berkenaan mendapat sambutan, saya akan diambil menjadi artis EMI.

"Sudah memang rezeki saya, lagu Satu Penantian benar-benar mengubah hidup saya. Daripada seorang kerani di pejabat guaman di Brunei, akhirnya saya dikenali sebagai penyanyi rakaman," cerita Dwen yang ketika itu mengikat kontrak untuk tempoh tiga tahun dengan EMI.

Bersama EMI, Dwen muncul dengan dua buah album iaitu Suatu Waktu Dahulu (1986) dan Memburu Mimpi (1987)

Lagu ciptaan Fauzi Marzuki dengan lirik Habsah Hassan itu bukan sahaja telah mempopularkan Dwen malah ia turut dicalonkan dalam rancangan Muzik Muzik 1987.

Bagaimanapun pada tahun 1989 ketika namanya masih di puncak, Dwen meninggalkan bidang seni kerana mengikuti sebuah kumpulan tabligh.

Tetapi Dwen tidak lama di situ, apabila akhirnya dia meninggalkan kumpulan tersebut dan menjadi keluarga kerja di TV3 pada tahun 1997.

"Ketika itu saya bekerja bersama-sama kawan yang seangkatan dengan saya iaitu Aziz Desa, Nizam Mohamad, Omar Abdullah dan allahyarham Karim Mohamad.

"Bagaimanapun selepas tiga tahun saya ditukar ke bilik berita. Pada tahun 2000, apabila TV3 menawarkan penamatan perkhidmatan secara sukarela (VSS) saya terus terima kerana saya tidak minat dengan tugas tersebut," cerita Dwen ketika ditemui di kelas tae kwan-do.

Menurut Dwen, setelah berhenti dari TV3 dengan duit simpanan dan pampasan yang diberikan oleh pihak TV3 beliau membuka kelas tae kwan-do pada tahun 2001.

Bermodalkan RM40,000, Dwen memberanikan diri membuka kelas tae kwan-do, Independent Martial Art Academy yang bertempat di Jalan Wangsa Setia 1, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

Mungkin bagi mereka yang tidak mengenali Dwen menganggap penglibatannya dalam bidang seni mempertahankan diri terlalu baru.

Tetapi sebenarnya pada tahun 1990, Dwen sudah pun mula mengajar anak-anak Melayu yang meminati tae kwan-do.

Dengan latar belakang seni mempertahankan diri tae kwan-do, Dwen mendalami lagi ilmu tersebut sehingga dia memperolehi 7 dan Degree Black Belt (tali pinggang hitam) yang melayakkan dirinya menjadi tenaga pengajar dan Presiden Persekutuan Tae-kwan-do Antarabangsa Malaysia.

"Saya dapat tali pinggang hitam bukan dalam masa singkat tetapi selepas 25 tahun saya mendalami tae kwan-do. Semuanya bermula ketika saya masih di Brunei kerana sejak di sekolah lagi saya memang meminati seni mempertahankan diri.

"Kini dengan ilmu dan kelayakan yang ada, saya mempunyai pelajar lebih 300 orang yang mana kesemuanya Melayu dan ini memang menyeronokkan," kata Dwen.

Sememangnya ayah kepada enam orang anak - Nik Muhaimin,22, Mohd. Al-Jufri,20, Muhd. Abu Sufian,18, Umi Afiqah,17, Saidah Nafisah,15, Muhd. Aminullah,11, hasil perkahwinan dengan Dayang Junaidah Haji Awang,44, ini bangga dengan pencapaiannya itu.

Selain murid sekolah agama yang menjadi muridnya, Dwen juga mengajar tae kwan-do kepada 64 orang Penguatkuasa JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) sejak 1 April lalu.

"Syarat menjadi Presiden ITF bukan sahaja memiliki black belt tetapi saya juga mesti menghadiri kursus tenaga pengajar antarabangsa," kata Dwen yang meminati sukan motor berkuasa tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: